Biar mati anak, jangan mati adat, kata Cikgu Muhammad. Tetapi jika mati anak, akan ada lagikah generasi kita yang akan meneruskan adat? Inilah antara perkara yang disebut oleh cikgu Muhammad selaku wakil tuan rumah setelah bertanyakan hajat kami datang ke rumah mereka di Taman Sin Onn Tawau. Pakcik Majid memberitahu bahawa rombongan kami sebenarnya datang membawa hajat untuk memetik bunga mawar dalam jambangan.
Memetik bunga ada syaratnya, katanya setelah beliau memahami maksud kedatangan kami. Antara syarat yang diminta sebelum dibenarkan menyunting bunga dalam taman ialah supaya pihak lelaki menyediakan tiga ratus biji kuih penjaram.
Tiga ratus biji kuih penjaram (kuih tradisi suku kaum Bajau) mungkin tidaklah sukar untuk disediakan. Tetapi dengan meminta tiga ratus kuih penjaram itu, tentulah ada maksud tersirat kerana jika tidak, takkan orang-orang tua kita dahulu mensyaratkan begitu.
Kuih penjaram boleh melambangkan ketinggian tradisi budaya bangsa. Kuih penjaram tidak mudah dibuat jika kita tidak tahu ramuan resepi, sukatannya dan acuannya. Inilah telahan saya ketika itu.Tetapi kami mempersetujui permintaan itu.
Saya lihat pakcik Majid menandatangani `proposal' syarat-syarat peminangan itu. Nasib baik pihak perempuan tidak meminta setempayan hati nyamuk, jambatan emas dan sebagainya.
Selain tiga ratus kuih penjaram, pihak lelaki diminta menyediakan kuih dodol satu talam, satu kodi kain putih, kain pelikat, cincin berukir, mas kahwin RM100 dan wang hangus.
Wang hangus adalah istilah lain untuk belanja dapur atau berian. Kadarnya sekarang, paling rendahlah RM7,000 jika majlis perkahwinan dilakukan di bandar.Kadarnya boleh mencecah berpuluh-puluh ribu mengikut permintaan pihak perempuan dan kemampuan pihak lelaki.
Entah berapa kali saya mengikuti rombongan majlis peminangan, tetapi seingat saya inilah kali pertama pihak perempuan meminta disediakan tiga ratus kuih penjaram. Menarik juga jika dapat dikaji falsafah disebaliknya.
Satu ketika dahulu, di Kampung Likas, saya teringat satu majlis peminangan yang serupa.Pihak perempuan meminta disediakan selapa' (sirih pinang) bujak (tombak) dan pedati (sejenis meriam), Seriau dan sebagainya. Bagaimanapun, jika benda-benda itu tidak ada, nilainya boleh digantikan dengan duit.
Sebenarnya banyak hal menarik dalam majlis peminangan suku kaum Bajau.Adat yang diamalkan zaman dahulu lebih kompleks lagi.Misalnya jika kita meminag perempuan keturunan bangsawan, maka jumlah hantaran ditentukan dengan berapa jumlah tiang rumahnya.Jika tiang rumahnya 50 batang, maka pihak lelaki terpaksa mengeluarkan 50 ekor kerbau atau sapi. Tetapi dahulu, perkara ini tidak sukar kerana hampir semua orang memiliki kerbau, sapi atau kuda yang banyak. Bagaimanapun, sekarang ia tidak berlaku lagi.
Lain padang lain belalang, itu kata pepatah. Lain kampung lainlah adat istiadatnya.
1 comments so far
abg nad..
mmm..sedapnya penjaramm...boleh buat hantaran kawin plak. memang pernah dengar tp tak pernah melihat yang real...