Khamis, 9 April 2009

Respon rakyat terhadap kabinet baru Datuk Najib

Tags

Banyak reaksi yang saya terima sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinetnya yang baru. Saya gembira kerana hasrat (atau doa) sebahagian besar rakyat Sabah termakbul selepas Datuk Mohd.Shafie Apdal dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah iaitu sesuatu yang mereka harapkan dapat membawa keluar Sabah dari perangkap kemiskinan.

Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Saudara Jumat Haji Idris menghantar SMS selepas saya menanyakan pendapatnya.

Katanya, Pembentukan barisan kabinet yang baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai telah membariskan saf jemaah menteri yang amat menarik dan meyakinkan.

"Gabungan muka baru dan muka lama dengan membuat sedikit pertukaran menteri kanan seperti Tan Sri Muhyiddin ke Kementerian Pendidikan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Kementerian Dalam Negeri memperlihatkan betapa PM begitu peka dan prihatin dengan kehendak rakyat yang mahu melihat perubahan drastik dilakukan sesuai dengan konsep satu Malaysia.'
"Kita akan memberi sokongan dan akan bersama Perdana Menteri dan jemaah menteri berganding tenaga mengangkat negara dan memakmurkan rakyat melalui gagasan satu Malaysia dimana rakyat dibedri keutamaan," katanya.

Beliau berkata, dalam barisan kabinet kali ini, PM melibatkan semua kaum bagi mewakili parti dan masyarakat masing-masing.
Jumat juga menyifatkan pelantikan Datuk Seri Mohd.Shafie Haji Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah amat tepat bagi memantapkan peranan Kementerian tersebut dalam membantu masyarakat di Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan banyak pembelaan.
Beliau juga yakin semua pihak berpuas hati dan menyifatkan Perdana Menteri sudahpun memberikan ganjaran kepada UMNO Sabah yang mantap di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
"Kita berharap, semua yang diberi mandat bekerja keras bagi merealisasikan impian rakyat di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Marudu, Liman Kassim berkata golongan akar umbi mengalu-alukan pembentukan kabinet baru itu yang memberikan tempat kepada pemimpin-pemimpin Sabah untuk berperanan dengan lebih berkesan di peringkat nasional.
Katanya, selain Datuk Shafie, pemimpin Sabah yang turut dilantik ialah Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin yang bertukar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Timbalan Menteri, Datuk Abdul Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Datuk Rosnah Rashid Shirlin sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Pemimpin Sabah lain yang turut dilantik dalam kabinet ialah Datuk Dr.Maximus Ongkili sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Datuk VK Liew, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik, Musram Haji Rakunman berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan Datuk Najib dalam barisan kabinetnya.
"Kalau adapun perubahan, ia tidak dilakukan secara bersunguh-sungguh.Apa yang berubah ialah nama-nama jawatan tetapi orang-orangnya tetap orang yang sama," katanya.

1 comments so far

Salam Hormat..
secara peribadi,saya gembira dengan bertambahnya bilangan orang Sabah dalam kabinet namun berharap perlantikan ini adalah berdasarkan kepada prestasi kerja dan kepimpinan yang dimiliki dan bukan atas dasar tertentu.

DSN berkata bahawa ini adalah Kabinet Rakyat.Bagaimana DSN begitu yakin bahawa ini adalah kabinet rakyat? dan apa yang paling ketara dalam pemilihan kabinet baru2 ini adalah banyak unsur kronisme di dalamnya. contohnya perlantikan Datuk Mukhriz sebagai Tim.Menteri dan Dato Shaharizat(Yg kalah dlm PRU)
Ketara sangatlah..nilai kerja mereka ini baik tapi kita lihat dari sudut pandang orang intelektual..banyak persoalan.
Perlantikan Mukhriz adalah titik tolak kepada perlantikan beliau sebagai PM suatu hari nanti selepas DSN..kita tunggu dan lihat.
apa pun saya berharap kabinet baru ini bukan sesuatu yang akan membawa kejatuhan kepada kerajaan kerana terdapat banyak ramalan seperti ini meniti di bibir rakyat.

All the best la..