Rabu, 8 April 2009

Menanti gesekan biola Datuk Shafie

Tags


Apakah agaknya jenis biola yang akan digesek Datuk Mohd.Shafie Afdal malam ini? Pengumuman rombakan kabinet yang dijangka diumumkan petang tadi tidak berlaku sebaliknya hanya akan diumumkan jam 3.00 petang esok.

Seluruh rakyat Sabah mengharapkan agar Shafie diberikan jawatan menteri kabinet yang dapat membantu penduduk di negeri ini, terutamanya masyarakat yang berada di luar bandar untuk dapat mengecap nikmat pembangunan. Datuk Shafie, kata mereka sudah tentu terbiasa dengan jalan berlopak dan berlumpur, dan sering melihat malah merasai kehidupan orang-orang desa yang tertinggal dan masih tidak dapat keluar dari putaran ganas kemiskinan?

Berikanlah kepada Datuk Shafie, kata mereka, satu kedudukan yang boleh membantu rakyat Sabah. Apatah lagi, beliau telah menang salah satu kerusi Naib Presiden UMNO, yang sudah tentu mampu memperkuatkan lagi keyakinan rakyat di negeri ini kepada parti itu untuk membela nasib dan masa depan mereka.

Ahli Parlimen Semporna ini sudah pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna dan kini Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Beliau sudah membuktikan kemampuannya untuk berkhidmat sebaik mungkin sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Sayang sekali kerana kesemua kementerian yang disebutkan itu kurang membantu secara langsung untuk membawa Sabah keluar dari kemiskinan tegar malah masih menjadi salah satu negeri termiskin di negara ini.
Saya kira Datuk Shafie memang seorang yang berkebolehan dan berkemampuan. Shafie mampu menggesek biola untuk menghibur hati rakyat Sabah yang masih gundah gulana menanti ihsan kerajaan supaya mereka tidak lagi merasa berada di pinggiran.

1 comments so far

Setuju sekali. Berikanlah kepada Datuk Seri Shafie Hj. Apdal. Sama-samalah kita tunggu.