Isnin, 20 April 2009

Lama Tidak ke Rampayan Ulu

Tags











Lama tidak ke Rampayan Ulu. Bertahun-tahun iaitu sejak jalanraya ke kampung itu masih belum berturap lagi. Paling akhir kunjungan saya ke sana ialah ketika si Roy membawa saya untuk melihat keadaan jalan raya yang berlumpur dan berlubang dan melihat keluarga petani yang patut menerima bantuan PPRT.

Jadi apabila Ustaz Daiman, senior dan jiran saya sewaktu masih kecil, mengundang saya untuk membuat liputan acara Majlis Ikhtifal dan Khatam Al-Quran Peringkat Daerah Kota Belud 1 bagi kawasan Tempasuk dan Kadamaian pada Ahad lepas, saya berbesar hati untuk datang.

Kira-kira jam 7.00 pagi, saya menumpang kereta amai bibi yang kebetulan balik kampung untuk menghadiri acara itu. Saya rasa gembira kerana pada malam sebelumnya, hati saya risau kalau-kalau tidak dapat datang dan gagal menepati janji yang saya berikan kepada Ustaz Daiman yang saya hormati itu.

Sebaik memasuki simpang ke Marampayan, saya agak terkejut kerana jalan raya itu sudah diaspal. Perjalanan yang dulu memakan masa hampir setengah jam, kini hanya memakan masa kurang 10 minit untuk sampai ke kampung. Sayangnya, ketika itu jalan raya itu sedang ditampal sana sini untuk diperbaiki.

Wajah pertama yang ingin saya cari tentulah Akak Mala. Sudah lama saya tidak ke rumahnya. Dahulu sewaktu belia, saya sering ke kampung Rampayan Ulu untuk merapatkan diri dengan keluarga sebelah ibu, dan di rumahnya saya menginap. Saya dapat merasai suasana kekeluargaan yang erat malah arwah suaminya, akan ke kuala sungai untuk mencari ikan untuk santapan kami. Saya rasa begitu dimuliakan oleh keluarga itu. Ada kalanya pada waktu lapang, kami berpiknik di Pantai Lok Lunsung dan Lok Padang.

Ketika kami sampai, orang sudah ramai. Pertandingan Bercerita Kanak-Kanak sedang dilangsungkan di Masjid Lama manakala tilawah al-Quran sedang berlangsung di Dewan Serbaguna. Syukurlah kerana saya dapat berjumpa ramai saudara mara, antaranya Amai Maimun, Takedir,bagid, Haji Aris, Muflin, Haji Jailun, Matli, Paalan, Jamlaun dan ramai lagi. Juga berjumpa dengan sahabat saya Nasdin atau saya lebih kenali Kastum. Juga ramai kawan lama, Idaman Bilang, Taat dan lain-lain. Cuma saya tidak ternampak Cikgu Nazlan. Saya mencari Cikgu Ramlah tetapi hanya suaminya, Bat yang saya terjumpa.

Kampung Rampayan Ulu yang dahulunya amat terpencil ini kini sudah maju. Kampung yang melahirkan ramai lepasan universiti antaranya Kamlun Haji Pasal, mantan Pegawai Daerah Kunak, Sailun Haji Aris, Pegawai Hidupan Liar di Tawau, Awang Salleh Haji Makmud, Jurutera di JPPS, Ahmad Fitri Karbain, lulusan Institut Pertanian Bogor (IPB) kini pensyarah di Institut Pertanian Sabah (IPS), Musli Andalan, kini pendidik di Maktab Sabah dan ramai lagi orang Rampayan yang berjaya.

Saya masih ingat, pekerjaan utama penduduk di Kampung Rampayan, yang sebahagian besarnya masyarakat Iranun ialah bertani dan menjadi nelayan. Hanya sedikit yang bekerja di Jabatan Kerajaan. Satu ketika dahulu hanya boleh dikira dengan jari. Adlin Mail, Baki, Mohd.Intam, Sayuran Haji Rajun. Kalau yang menjadi pendidik Cikgu Hujud, Cikgu Tiardek, tidak ramai sebenarnya. Namun kini, Kampung Rampayan telah mengeluarkan ramai graduan, dan ramai yang bekerja dalam agensi kerajaan dan swasta.

Perlu diakui bahawa memang banyak yang berubah. Kemajuan berputar melalui jalanraya waktu. Nilai-nilai murni mungkin sedikit demi sedikit tergeser bahkan terbawa oleh arus zaman.
Tetapi di Kampung Rampayan, saya dapat memuji sikap penduduknya yang sentiasa mengamalkan sikap berkerjasama dan semangat gotong royong. Kesudian Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Musbah Haji Jamli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk memang amat dihargai oleh penduduk kampung. Bahkan beliau sempat juga memulakan Majlis Khatam Al-Quran sebelum ikut sama berjemaah di Masjid Rampayan.Kesediannya meluluskan beberapa permintaan penduduk dan jawatankuasa juga amat melegakan. Wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Shaiful Khair Simpun, yang juga Penyelia KAFA Sabah memuji penganjuran majlis itu sebagai yang antara yang terbaik.

Di tengah kesibukan itu saya sempat juga ke rumah Akak Mala (Inai Gamlah). Bahkan saya sempat makan tengahari dengan berselera walaupun saya tahu, ada makanan siager, daging ayam dan berbagai jenis makanan yang disediakan untuk para tetamu di majlis itu.

Tetapi saya masih merindukan Rampayan Ulu yang dahulu.