Sabtu, 18 April 2009

Kupu-kupu kuning bertaburan sepanjang jalan

Tags

Dalam perjalanannya menuju ibu kota, seorang sahabat penyair mengirimkan sistem mesej singkat (SMS) yang mengisahkan satu panorama yang indah sewaktu melalui kawasan berdekatan Kampung Pandasan Kota Belud.

"Kereta kami semacam membelah kawanan kupu-kupu kuning.Banyaknya.
Berterbangan dan bertaburan di atas jalan.Sepanjang jalan.".

Saya jarang sekali melihat pemandangan seperti itu. Tetapi sahabat saya itu berpeluang melihat betapa agungnya panorama ciptaan Tuhan Rabbul Alamin. Saya kira pemandangan seperti ini jarang-jarang sekali kita nikmati.

Beberapa minggu lalu, ketika melalui sebatang jalan di Kampung Pintasan, saya melihat ribuan burung bangau hinggap di tengah bendang.Sebahagian mengikuti traktor yang sedang membajak tanah, ada pula yang bertenggek di belakang kerbau.

Banyak pemandangan indah sebegitu.Terjadi tanpa disangka. Saya terkesan dan cepat berasa tersentuh melihat pemandangan cantik. Saya terharu kerana betapa sedikitnya kita menghargai kurnia alam yang dianugerahkan, betapa sedikitnya kita menghargai kasih sayangNya terhadap kita dalam segala bentuk rahmatnya. Bahawa tak ada satupun kejadian di dunia, walaupun setetes embun di hujung daun yang terlepas dari perhatianNya. Bahawa ada di antara kita yang lalai menterjemahkannya dalam bentuk perlakuan kita seharian terhadap alam dan lingkungan kita. Bahawa kita kadangkala bersikap teramat kasar terhadap mahkluk ciptaanNya.

Entah mengapa pula saya tiba-tiba teringat sebuah sajak John Comford dalam Huesca:

Remember all the good you can;
don't forget my love.

Ingatlah sebisamu segala yang baik
Dan cintaku yang kekal-terjemahan Chairil Anwar 1959.

1 comments so far

abg nad,

indahnya pagi yang dikerumuni kupu-kupu kuning..mereka ibarat dedaunan kering berterbangan ke tingkap kereta, namun setelah diamati, rupanya mereka sang kupu-kupu yang sedang menikmati kedinginan pagi yang mengharum. Di kiri kanan, penumpang sedang lena dibuai mimpi, tapi aku terpegun melihat begitu banyak kupu-kupu kuning yang berterbangan di atas jalan. bila melintasi kampung itu nanti sewaktu embun masih dihujung rumput, cuba perhatikan ..anda pasti melihatnya, amazing..so amazing..