Sehari di Pulau Mantanani adalah pengalaman yang penuh bermakna. Inilah buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke pulau itu walaupun sejak kecil lagi sudah mengimpikan untuk ke sana. Apatah lagi, Pulau Mantanani sering kelihatan berbalam-balam di pantai di kampung kami.
Saya sudah lama berhasrat ke pulau itu, iaitu ketika pertama kali saya mendengar ada orang yang melahirkan anak dalam perahu dalam perjalanan mereka untuk ke tanah besar. Ada yang melahirkan anak tidak cukup bulan kerana perahu mereka ditimang gelombang. Pulau yang mempunyai kira-kira seribu penduduk termasuk anak-anak itu perlukan klinik. Bahkan saya sempat mengunjungi sebuah keluarga yang daif dan tidak memiliki kad pengenalan terpaksa membiarkan anak mereka yang terlantar sakit, lebih sebulan lamanya kerana tidak dapat menghantar anak ke hospital KB.
Sebenarnya, saya hanya menunaikan janji kepada cikgu Sabli yang mengajak saya melawat pulau itu sejak beliau mula-mula ditugaskan di pulau yang agak terpencil itu. Jadi sebelum beliau ditukarkan ke tanah besar, saya mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pulau itu.
Sebelum berangkat pulang, saya sempat merakamkan gambar kenangankenangan bersama cikgu Sabli,cikgu Kukung Emang, Cikgu Samri Garam dan sebahagian pelajar-pelajar di sekolah itu.