Sabtu, 21 Februari 2009

Ketua Kampung berlakon teater

Tags







Pementasan teater Menambalang oleh Anak Teater Keningau (ATK) di Dewan Masyarakat Keningau baru-baru ini mencatatkan satu lagi kejayaan baru dalam pementasan teater di negeri ini.
Buat pertama kalinya, teater yang diarahkan Saudara Nandra Hitong itu telah berjaya membawa ketua kampung untuk turut berlakon dalam teater yang mengisahkan perjuangan suku kaum Dusun di Lembah Pinguku menentang penjajah.
"Barangkali inilah pertama kalinya seorang ketua kampung (Ketua Kampung Tangkangon) berlakon dan terlibat dalam produksi sebuah teater," kata Nandra.
Beliau juga terharu dengan kesudian orang-orang tua untuk turut terlibat dalam pementasan sebagai penari adat Menambalang.
Menurut Pengurus ATK, Nuraini Booh Abdullah, teater itu menampilkan lebih 40 pelakon termasuk pengamal-pengamal tari tradisi yang turut ditonton oleh Pegawai Daerah Keningau, Amat Mohd Yusof dan Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas.
"Aki Gapaiung dan Aki Rumaat, dua ketua suku yang disegani dan terbilang telah berjaya menyatupadukan suku-suku yang sering bertelingkah melalui `menambalang'.

"Mereka bersatu tenaga menentang penjajah sehingga ke titisan darah yang terakhir. Persoalanya, berjayakah mereka menentang kezaliman dan menghapuskan tali barut British di kalangan sukuan mereka".

Pementasan teater menambalang itu, yang merupakan sebuah teater yang mengisahkan tarian dan nyanyian menambalang yang menyajikan satu upacara unik dalam perkahwinan suku kaum Kwujau dan Gana.

" Menambalang ini dikhuatiri akan pupus jika tidak diketengahkan, dipulihara dan diturunkan kepada generasi muda," katanya.

Sseramai 40 pelakon terlibat dalam pementasan yang bercirikan sebuah epik perjuangan manakala skripnya ditulis oleh Nandra Hitong yang dibantu Jalil Sulai, yang juga Jurulatih Kebudayaan dan Kesenian Negara yang banyak menggunakan gerak tari simbolik.

Selain itu, teater itu juga menampilkan Jumatin Kuman, seorang aktivis teater yang hebat diawal 1980-an. Penampilan khas Kumpulan Gana Kampung Tangkungan Bingkor yang diketuai Adus Teroi bakal mempersembahkan tarian dan nyanyian Menambalang.

"Warga Dusun suku Kwujau dan Gana, yang tinggal di Kampung Bingkor, Binaong dan sekitarnya patut merasa bertuah dan bangga kerana adat `menambalang' yang mula dilupakan oleh generasi masa kini diangkat sebagai satu warisan budaya yang patut dikekalkan dan dipulihara.
Gambar ihsan ATK menunjukkan sesi latihan Teater Menambalang

1 comments so far

Wow...terharu BlueHope dgn usaha ketua kpg tuh. Ini lh di antara cara2 nak mengekalkan warisan budaya bangsa, kan? Yg veteran bergabung tnga dgn yg muda...baru umphhh!