Rabu, 10 Disember 2008

Tuan Guru Hamka, Saya mahu tanya

Tags


"Tuan Guru Hamka, saya mahu tanya. Apa hukumnya kalau ada orang mengerjakan yang disuruh dan pada masa yang sama, dia juga membuat perkara yang ditegah?"
Sambil mengutip ayat-ayat al-Quran,Buya Hamka menjawab bahawa orang itu tidak mendapat apa-apa hanya kosong.
"Kenapa pula kosong? Kalau begitu Tuhan tidak adil sebab kalaupun semua tanaman ubikayu kita dimakan tikus, tetap saja ada ada satu dua pokok yang menjadi".
"Ini bukan peraturan pak Hamka, ini peraturan daripada Allah" kata Buya Hamka. Tetapi orang itu tidak berpuas hati.Barangkali setelah menyedari bahawa orang yang bertanya itu, sebenarnya hanya mahu menimbulkan kekecohan, Buya Hamka tidak melayaninya.
Keesokan harinya, penduduk Kampung Taun Gusi di Kota Belud gempar kerana orang yang menyoal pada malam sebelumnya itu ditemui mati dalam tidur, setengah orang menyatakan dia mati kerana mencuri.
Itulah antara cebisan cerita Haji Mastun Abbas kepada saya ketika menghimbau semula kunjungan ulama terkenal itu ke Sabah pada tahun 70-an. Haji Mastun bersama ayahanda saya-Haji Shaiddin- mungkin orang yang pertama di Kota Belud membaca buku Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wick yang terkenal itu. Mereka pulalah yang mengiringi Buya Hamka sepanjang beliau berada di Kota Belud.
Haji Mastun yang dilahirkan pada 10 April 1940, merupakan seorang penulis veteran di negeri ini. Beliau mula menulis pada tahun 1962 ketika bertugas sebagai guru. Selepas itu, kariernya menanjak naik sehingga menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan sabah, Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor. Beliau telah menghasilkan banyak cerpen dan kini, novelnya, rambutnya Ikal Mayang, disiarkan secara bersiri di akhbar Utusan Borneo sejak beberapa bulan lalu.
Kenangan bersama Buya Hamka ini diceritakannya ketika mengajak saya minum petang sambil menikmati roti canai di kedai mamak di bawah pejabat kami. Penulis ini merupakan seorang penulis yang berfikiran kritis dan sering meluahkan pandangan dan pendapatnya secara terbuka.
Beliau yang menggunakan nama pena Maha Sabah, seangkatan dengan Ismail Abbas atau Amil Jaya. Mereka pernah terlibat dalam polemik penggunaan Bahasa Inggeris di suratkhabar pada tahun 1960an dulu. Namun kehadiran di persada kesusasteraan kita kini, walaupun tidak banyak disedari, memberikan banyak manfaat sastera di negeri ini.