PENDUDUK TONGOD BINCANG HAK ASASI DENGAN SUHAKAM
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
Hujan turun dengan lebat sebaik saja Tan Sri Simon Sipaun dan Dato' Siva Subramaniam tiba di Rumah Rehat IPS Telupid. Cuaca yang agak dingin itu menghapuskan keletihan di wajah kedua-dua pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang baru tiba dari Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan kira-kira empat jam ke Telupid.
"Pernah ada cadangan untuk menjadikan Telupid sebagai ibu negeri Sabah ketika era Tun Mustapha kerana daerah ini terletak di tengah-tengah peta Sabah," kata Tan Sri Simon membuka perbualan kami pada malam itu. Beliau menyingkap semula kisah bagaimana timbulnya cadangan menjadikan Telupid sebagai ibu negeri, yang bagi kami satu cerita baru. Sebagai seorang bekas pegawai kanan kerajaan (jawatan terakhirnya Setiausaha Kerajaan Negeri) Tan Sri Simon sudah tentu seorang yang kaya pengalaman.
Tetapi perkara yang paling menarik ialah kisah-kisah sepanjang kariernya bergelut dalam isu-isu berkaitan Hak Asasi Manusia di negara ini. Naib Pengerusi Suhakam ini memiliki pelbagai cerita mengenai cebisan pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai pesuruhjaya Suhakam. Betapa asyiknya mendengar cerita mereka, bersama Dato Siva meninjau perkampungan orang asli di Semenanjung, orang penan di Sarawak, dan penduduk luar bandar di Sabah dan berbagai-bagai lagi tempat yang mereka kunjungi untuk memberikan kesedaran mengenai hak asasi manusia. Ada yang menggelikan hati, misalnya cerita mengenai seekor monyet yang menunggang anjing di perkampungan orang asli, cerita mengenai sekolah yang besar dan boleh memuatkan kira-kira 1,800 orang di perkampungan orang asli tetapi hanya ditempati kira-kira 180 pelajar, kisah mengenai tanah penduduk yang dirampas, mengenai rumah yang dibakar di Koiboton dan berbagai-bagai lagi cerita mengenai pencabulan hak asasi manusia.
Tongod yang akan dikunjungi keesokan harinya merupakan daerah yang ke 26 , yang dikunjungi Suhakam untuk mengadakan program Suhakam Bersama Rakyat dan dianjurkan bersama oleh Suhakam Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tongod.
Program kali ini agak istimewa kerana kehadiran pegawai-pegawai dari Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Ketua Menteri dan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keesokan hari, Khamis 7 Ogos, selepas menikmati sarapan, kami berangkat ke Tongod. Kereta yang dipandu Setiausaha Suhakam Sabah, Jasmih Slamat meluncur laju tepat jam 6.40 pagi. Pada mulanya kami melalui jalan raya yang kurang baik dan berlumpur manakala sebahagian lagi dalam pembinaan.Kalau dahulu perjalanan ke Tongod mengambil masa empat hingga lima jam tetapi kini tidak lagi mengambil masa yang begitu lama. Kami tiba jam 8.05 minit pagi kerana sebahagian jalan raya ke Tongod telahpun diaspal. Mungkin tidak lama lagi, masyarakat di daerah yang terbesar dan terluas di negeri Sabah itu akan menikmati kemudahan sistem jalan raya yang memuaskan.
Program Ceramah dan Dialog Kesedaran Hak Asasi Manusia itu bermula kira-kira jam 9.10 pagi. Sambutan masyarakat Tongod amat menggalakkan. Bahkan ada penduduk yang sanggup datang dari Pinangah, dari Kampung Masaum yang agak jauh dan hanya boleh dihubungi kira-kira empat atau lima jam lagi dari Tongod.
Namun kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri N.47 Kuamat, Masiung Banah dari awal hingga akhir program itu amatlah membanggakan. Beliau juga mengambil kesempatan menjelaskan beberapa isu berkaitan masalah kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan sebagainya. Beliau juga memberi jawapan mengenai persoalan penduduk yang mahukan supaya Kerajaan dapat menempatkan doktor perubatan di Tongod.
Apabila penduduk di Pinangah memberitahu betapa tenaga elektrik dibekalkan hanya ketika ada lawatan Menteri di kampung itu, atau ketika wakil rakyat pulang kampung, Masiung berkata, beliau menyedari masalah itu dan mengakui bahawa ia tidak adil kepada rakyat.
Beliau turut simpati dan menjelaskan betapa kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengatasi masalah bekalan elektrik itu.
Bagaimanapun, persoalan yang paling banyak ditimbulkan adalah isu tanah. Mantan ADUN Kuamut, Johnny Intang menimbulkan perkara itu apabila tanah-tanah adat penduduk kini diduduki oleh syarikat-syarikat besar manakala penduduk terus diketepikan.
"Kawasan ini pernah didiami penduduk tetapi kini kami dianggap penceroboh," katanya."Sampai sekarang isu tanah di Tongod belum ada penyelesaian," kata Johnny. "Ini adalah isu utama penduduk," katanya lagi.
Selain itu, turut ditimbulkan penduduk ialah isu mengenai PPRT yang sehingga kini belum lagi selesai. Lain lagi isu yang dihadapi penduduk di Kampung Masaum. Wakil penduduk, Inggam bin Karukau memberitahu forum bahawa seramai 446 penduduk telah mendiami kampung itu pada awal 1970-an dan kemudian permohonan tanah. Waktu itu, arwah Haji Malik Chua (mantan ADUN Kuamut) menggalakkan supaya rakyat mengusahakan tanah terbiar dan jangan tunggu kelulusan sebaliknya mengerjakan tanah kosong untuk pertanian.
Bagaimanapun, sekitar tahun 1997, tanah itu dipohon oleh sebuah sebuah agensi kerajaan untuk tanaman getah. Sebaliknya selepas tanah itu disukat, penduduk kampung mendakwa hak asasi mereka dicabuli kerana mereka kini kehilangan tanah selepas kawasan tanah mereka juga termasuk dalam kawasan yang disukat itu.
"Saya sangat terkejut, habislah kita punya kampung, di mana lagi kita cari nafkah," katanya."Penduduk kampung rata-rata miskin,dan tidak berdaya," katanya."Kini kami satu apapun tidak ada, tanah juga tidak ada," katanya. Anehnya, tanah yang diluluskan untuk tanaman getah itu, bukan pula ditanam getah sebaliknya dipenuhi kelapa sawit.
Masalah penduduk kampung, yang mewarisi fenomena permasalahan tanah itu, kini sedang dicari jalan penyelesaiannya oleh kerajaan, kata Masiung. Beliau meminta masyarakat supaya lebih banyak bersabar kerana usaha-usaha sedang dijalankan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Antara objektif program "Suhakam Bersama Rakyat" itu diadakan adalah untuk memberitahu masyarakat Sabah mengenai kewujudan pejabat SUHAKAM di Sabah, menerangkan peranan dan fungsi SUHAKAM dan memperluaskan dan mempertingkatkan kesedaran hak asasi manusia di kalangan masyarakat Sabah terutama yang berada di luar bandar, kata Tan Sri Simon dalam ucapannya. Dalam majlis itu juga,Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam a/l Nagaratnam menerangkan fungsi dan peranan Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam manakala Puan Moines menerangkan fungsi Biro Pengaduan Awam Negeri JKM manakala Claire William Sorimpok memberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.
Terdahulu dalam ucapannya, Masiung berkata hak asasi adalah satu benda baru bagi kita tetapi merupakan perkara yang amat perlu dalam hidup kita.
Beliau berkata, program anjuran Suhakam itu merupakan satu usaha untuk mendekati semua lapisan masyarakat bagi memahami masalah dan perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia.
Katanya, sebagai sebuah daerah yang membangun, sudah tentu pengetahuan dalam hak Asasi Manusia dapat membantu kita sebagai masyarakat untuk turut sama menikmati pembangunan ini.
"Ia juga memberi peluang kepada saya sebagai wakil rakyat untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan isu-isu yang mereka bangkitkan," katanya sambil menyifatkan perkara itu amat baik .
"Langkah Suhakam Sabah mengadakan program ini adalah amat tepat dalam usaha untuk menjadikan satu budaya masyarakat yang menghormati hak asasi manusia hak orang lain, kerana secara tidak langsung hak kita sendiri pun akan dihormati orang lain," katanya.
Program itu merupakan satu cara mendidik dan menyebarkan maklumat betapa perlunya hak asasi manusia. Katanya, budaya menghormati hak asasi, saling hormat menghormati dan sayang menyayangi akan membawa kita kepada keamanan manusia seperi yang diinginkan seluruh rakyat Malaysia.
Penolong Pegawai Daerah Tongod, Abd.Manaf Abd.Ruhim yang mewakili Pegawai Daerah Tongod, Duadi Goroh berkata, program itu, yakin usaha yang dibuat oleh SUHAKAM khususnya Cawangan Sabah untuk mengadakan program ini adalah amat tepat dalam usaha untuk menjadikan masyarakat Sabah amnya dan masyarakat di Tongod secara keseluruhannya faham tentang Hak-Hak Asasi yang digunapakai oleh masyarakat kita di Malaysia.
Beliau juga mengemukakan cadangan supaya Suhakam dapat menubuhkan Huma Rights Desks di pejabat-pejabat kerajaan khususnya di pejabat daerah kerana ini akan dapat membantu proses meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia sekaligus dapat mempertingkatkan kerjasama yang erat di antara Suhakam dan jabatan-jabatan serta agensi kerajaan.
Barangkali masih banyak lagi persoalan yang ingin dikemukakan dalam majlis yang dijalankan di Dewan Serbaguna Tongod itu tetapi masa agak singkat manakala isu-isu mengenai hak asasi manusia akan terus timbul di belahan bumi ini selagi hak-hak asasi manusia tidak dihormati.
1 comments so far
Saudara,
Saya amat mengalu-alukan usaha serta perkongsian maklumat saudara berhubung dengan lawatan SUHAKAM ke Tongod baru-baru ini.
Walaubagaimanapun, selepas lawatan tersebut, adalah diharapkan agar satu hasil atau bentuk penyelesaian dapat digaris-pandukan sebagai susulan. Ini adalah kerana, isu tersebut telah pun menular sejak sekian lama dan tidak ada satu pihak pun yang bertindak mencari jalan penyelesaian, khususnya dari ADUN yang berkenaan. Yang menjadi mangsa ialah penduduk kampung. Apa yang selalu didengar ialah 'kerajaan mencari jalan penyelesaian', 'simpati', 'tidak adil' dan sebagainya hinggalah kehari ini, masih cari jalan penyelesaian. Ini bermakna, isu tersebut masih KIV dan akan terus KIV, kerana tiada tindakan susulan (tight follow-up) dari pihak tertentu (khususnya ADUN).
Masalah tersebut tidaklah begitu rumit dan tidak perlu memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Hanya bergantung bagaimana ADUN berkenaan bertindak dengan efektif dan efisien.
Sebagai penduduk Kg Tongod, saya amat sedih bila melihat masalah tersebut gagal menemui penyelesaian.
sekian.
Titus Janis@Kumindik
Kg Lilingkuan, Tongod.