Rabu, 19 November 2008

Hajah Siti Shukra menanam Tebu

Tags




TANAM TEBU BERIKAN PULANGAN LUMAYAN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

HAJAH Siti Shukra Mantar menanam tebu hanya sebagai tanaman yang diusahakan secara kecil-kecilan. Seperti para pekebun tebu yang lain di Kampung Tamau Kota Belud, penanaman tebu diusahakan hanya sebagai tanaman sara diri. Namun tebu mampu memberikan pulangan ekonomi yang lumayan sekiranya ia ditanam secara besar-besaran.

Tidak syak lagi, penanaman tebu menjadi salah satu sumber pendapatan utama di kalangan penduduk di beberapa buah kampung di Kota Belud. Kebanyakan petani menjual tebu kepada para peraih dengan harga 17 sen sebatang. Selepas itu, para peraih akan membawanya ke Kota Kinabalu dan bandar-bandar lain di negeri ini untuk dijual dalam bentuk minuman air tebu.

Minuman air tebu merupakan sejenis minuman yang popular. Oleh sebab itu, permintaan untuk bekalan tebu di ibu negeri amatlah tinggi. Hajah Siti Shukra juga menjual tebunya kepada para pembeli di antara 100 hingga 300 batang setiap kali bergantung kepada permintaan.

Bagaimanapun, beliau juga menjual gula tebu kepada para pelanggannya. Gula tebu yang dijual RM3.00 dalam satu paket kecil boleh digunakan untuk membuat kuih tradisional seperti wazit, penjaram dan sebagainya. Ia juga boleh dimakan begitu saja bersama ubi rebus.

"Proses untuk membuat gula tebu mengambil masa yang cukup lama," kata Hajah Siti Shukra,63 tahun.

"Mula-mula sekali, tebu dtebang dari pokoknya sehingga mencapai jumlah kira-kira 300 batang. Ia kemudian dibersihkan sebelum di dimasukkan ke dalam mesin penggiling tebu.

"Kemudiannya air tebu tadi akan dimasak dari pagi hingga ke petang sebelum ia menghasilkan gula tebu," katanya.

"Gula tebu yang pekat itu tadi akan dimasukkan ke dalam tin besar sebelum ia dibungkus dan sedia untuk dijual kepada pelanggan," katanya.

Menurutnya, gula tebu yang siap dibungkus dijual dengan harga RM3.00. Gula tebu itu nanti akan dibawa ke ke pasar tamu mingguan atau pasar tani.

Hajah Siti Shukra mampu menjual antara 20 hingga 30 bungkus gula tebu setiap hari tamu. "Jika tidak laku, gula tebu itu akan digunakan untuk tukar barang para penjual lain," katanya.

Beliau memberitahu, satu tin besar gula dijual di antara RM120 hingga RM150. "Kalau pelanggan sedia mengambil gula tebu di rumah, ia dijual dengan harga RM120 sahaja".

Sebenarnya, menurut sejarah, gula tebu mula-mula ditemui oleh orang-orang Polynesia sebelum ia di bawa ke India. Ketika memerintah benua India pada tahun 510 sebelum masihi, Raja Darius dari Parsi telah menemukan tebu yang dikatakannya sebagai "batang rumput yang menghasilkan madu tanpa lebah".

Penemuan itu bagaimanapun dirahsiakan daripada orang ramai tetapi produk yang dihasilkan daripada tebu dieksport dan menghasilkan keuntungan yang lumayan.

Rahsia tanaman tebu yang disembunyikan sebelum ini akhirnya terbongkar apabila orang-orang Arab mengembara pada abad ke tujuh selepas masihi. Ketika mereka menguasi tanah Parsi pada tahun 642, orang-orang Arab menemui tanaman tebu yang sedang tumbuh dan kemudiannya mempelajari cara pembuatan gula.

Ekoran daripada itu, orang-orang Arab kemudian membina tempat memproses gula di beberapa wilayah yang mereka kuasai termasuk di Afrika Utara dan Sepanyol.

Di kalangan masyarakat Eropah, gula hanya dikenal selepas Perang Salib pada abad ke 11. Para perajurit yang pulang dari berperang menemui sejenis `rempah baru' yang enak. Menurut sejarah, gula pertama yang diketahui tercatat di Britain ialah pada tahun 1099.

Pada abad-abad berikutnya, Barat mulai berdagang dengan dunia timur dan gula merupakan salah satu komoditi utama yang diperdagangkan. Dalam satu catatan pada tahun 1319, harga gula di London ialah "dua syiling tiga pound" iaitu sama dengan gaji buruh untuk beberapa bulan. Ketika itu, gula merupkan barangan yang mewah.

Oleh kerana ia dianggap barangan mewah, orang-orang kaya sangat menyukai pembuatan patung-patung dari gula sebagai hiasan meja mereka. Bahkan ketika Henry II dari Perancis berkunjung ke Venice, sebuah pesta yang diadakan untuk menyambutnya menampilkan barangan perak, pinggan dan kain linen yang semuanya dibuat daripada gula.

Bahkan gula dianggap sebagai ubat. Banyak panduan kesihatan dari abad ke-13 hingga ke-15 menyatakan bahawa pemberian gula kepada orang-orang cacat boleh menambahkan kekuatan mereka.

Jika pada abad ke-15, gula Eropah umumnya diproses di Venice, tetapi kemudian keadaan ini mula berubah apabila Vasco da Gama berlayar ke India pada tahun 1498 dan mendirikan pusat perdagangan di sana.

Bagaimanapun, sejarah juga mencatatkan bahawa Christopher Columbus dalam salah satu pengembaraannya telah membawa tanaman tebu untuk di tanam di kepulauan Caribean seperti Barbados, Antigua dan separuh dari Tobago. Ekoran permintaan yang banyak dari Eropah, tanaman tebu diusahakan secara besar-besaran menyebabkan jutaan orang dari Afrika dan India dikerah untuk bekerja di penggilingan tebu.

Gula menjadi sangat penting sehingga seluruh dunia Barat mulai menjajah pulau-pulau kecil menyebabkan berlaku perempuran untuk menguasai pulau-pulau tersebut.Selanjutnya, tebu juga diusahakan di berbagai perkebunan besar di India, Indonesia, Filipina dan kawasan Pasifik bagi memenuhi keperluan Eropah dan tempatan.

Mengikut catatan sejarah, pada tahun 1750, terdapat 120 kilang gula yang beroperasi di Britain dan mampu mengeluarkan 30,000 tan setahun. Ketika itu, gula masih merupakan barangan mewah dan memberi keuntungan yang besar sehingga gula juga dikenali sebagai "emas putih" mengakibatkan kerajaan kolonial mengenakan kadar cukai yang tinggi.

Namun pada akhir abad ke-19, para pemerintah mulai mengurangkan atau menghapuskan cukai terhadap pengeluaran gula dan warga biasa mampu membelinya. Pada masa kini, penggunaan gula setahun ialah sekitar 120 juta tan manakala India, Kesatuan Eropah dan Brazil merupakan tiga pengeluar terbesar gula di dunia.

Penanaman tebu seperti yang diusahakan oleh Hajah Siti Shukra Mantar dan para petani lain di Kampung Tamau dan beberapa kampung sekitarnya sebenarnya dikomersilkan sekiranya kerajaan dengan pelbagai jabatan dan agensinya, prihatin terhadap nasib dan masa depan para petani di negeri ini.