Selasa, 26 September 2023

Perihal Raitan, Pagagandang itu

Tags

Di tangan Raitan Kasa, pukulan gendang menjadi sesuatu yang mengasyikkan, menarik dan dramatik. Setiap majlis gkulintang, kehadiran Raitan dan rakan-rakannya sentiasa ditunggu-tunggu. Jika bertemu pasangan yang tepat, Raitan boleh  memainkan tangannya di udara sebelum memalu gendang dengan irama yang cepat dan biarpun tanpa berpandangan sesama sendiri, mampu menghentikan paluan gendang secara serentak. Sungguh luar biasa. Permainan kulintangan menjadi meriah, dan sentiasa dimainkan pada majlis-majlis keramaian sukubangsa Iranun.



Selain dua pemukul gendang, dua pemalu gong, dua pemalu bebendir dan seorang pemain kulintangan yang mahir, Kumpulan kebudayaan Iranun Sabah yang didatangkan khas ke Cotabato City, Mindanao memiliki kelebihan yang tersendiri.



Meskipun Raitan tidak dapat bermain secara maksima, mungkin kerana diserang sakit pening, dan muntah, tetapi beliau masih dapat beraksi. Mungkin kerana tidak biasa berjalan jauh ataupun mungkin kerana perut kosong, beliau rasa mual dan pening.

Sejak penerbangan dari Manila ke General Santos City, beliau beberapa kali diserang pening. Keesokan harinya beliau sempat ikut rombongan ke Parang dan Matanog, dan sekembalinya dari sana, sakitnya kambuh lagi dan sempat dibawa ke hospital swasta pada malam itu. Terima kasih kepada Sdr Zaiddani, Syamil dan tuan Marawan yang membawa ke hospital dan juga ramai yang terlibat membantu  yang tak sempat dicatat nama mereka satu persatu.

Di zaman remajanya, Raitan bersama Bur memang terkenal sebagai pagagandang di Kampung Tamau. Selain mereka juga ada juga nama-nama seperti Manap, Sulaiman dan beberapa lagi yang terkenal. Setiap kali ada majlis kulintangan, pasti meriah dengan kehadiran mereka.

Selain terkenal sebagai `pagagandang’ Raitan juga terkenal sebagai penunggang kuda dengan kuda bernama Tinai’ yang selalu menang jika ada pertandingan sukan  lumba kuda pada tamu mingguan yang diadakan di padian Lalan A Kuda sekitar awal 80-an. Padian itu menjadi terkenal bukan saja kerana sukan lumba kuda tetapi menghidupkan peluang niaga bagi penjaja-penjaja kecil di sekitar Pintasan.

Namun Raitan lebih terkenal sebagai tukang gendang terbaik. Video persembahannya boleh dilihat di youtube.

Malang sekali, hasratnya untuk memberikan persembahan terbaik tidak kesampaian kerana didera rasa pening berkepanjangan. Mujurlah, dengan sisa kudratnya boleh dapat membuat persembahan pada malam akhir di Cotabato City.