Jumaat, 29 September 2023

#MapiyaBuldon dan sambutan meriah masyarakat Iranun Buldon yang tak dapat dilupakan

Tags

#MapiyaBuldon, tagline Buldon, sebuah Municipality atau Perbandaran di Maguindanao del Norte, yang kami kunjungi pada hari kedua berada di Mindanao. Terletak kira-kira 35.28 kilometer dari Cotabato City, Buldon yang terletak pada ketinggian 408 meter dari permukaan laut, adalah satu daerah yang indah seluas 392.61 kilometer berpenduduk seramai 39,684 orang (banci 2020), majoritinya dari sukubangsa Iranun.

Ketibaan kami disambut dengan begitu ramah dan sukacita. Beberapa penari mempersembahkan tarian tradisi Iranun yang kemudian disusuli dengan persembahan kulintangan. Ada juga persembahan Kalalakaw sa Darangen. Pemuda pula memperlihatkan persembahan permainan sipa sa lama-lama.

Di atas meja terhidang pelbagai kuih tradisi seperti kuih dodol, amik dan tiadtag. Juga ada tapai, pais a kamais dan juga buah-buahan.

Municipality of Buldon dipimpin Mayor Hon Pahmia A.Manalao-Masurong, seorang wanita. Beliau menang pilihan raya tahun 2022 dengan undi sebanyak 13,966 undi. Manakala vice Mayor dimenangi oleh abangnya, Hon. Abolais A.Manalao yang menang dengan undi 13,896 undi. Kedua-duanya dari Nasionalista Party.

Sebelum ini, Datu  Abolais A Manalao, cucu kepada bekas Vice Mayor Datu Manalao Karim Aratuc terpilih sebagai Mayor Buldon pada 1998, menggantikan bapanya, Datu Macarampat P Manalao. Beliau terpilih sekali lagi sebagai Mayor pada Mei 2001. Pada tahun 2004, ketika pilihanraya diadakan secara serentak di seluruh Filipina, Abolais terpilih sekali sebagai Mayor hingga penggalnya berakhir pada tahun 2007.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya pada  2007, Bae Ya Panonoroganan Ruth “Tata” Aratuc Pembabaya-Tomawis, dan juga salah seorang cucu Perempuan bekas wakil rakyat, Hadji Bangon Ulod Aratuc, dan isteri kepada mantan Mayor Barira, Alexander Dagalangit Tomawis terpilih sebagai Mayor dan terpilih sekali lagi pada 2010. Dalam pilihanraya 2013, Sultan Abolais Aratuc Manalao dan Sultan Atty Cairoden Pandatan Pangunotan terpilih sebagai Mayor dan Vice Mayor dan sekali lagi terpilih pada pilihanraya 2016.

Inged a Buldon juga  terkenal sebagai medan perjuangan Bangsamoro. Terdapat banyak peristiwa berdarah yang tercatat dalam sejarah penentangan Bangsamoro, antaranya ialah pada Ogos 1971  dan kemudian yang paling besar ialah Battle of Buldon selama 10 hari di Barangay Kabayuan dan Garigayan  atau dikenal juga Battle of Reina Regente pada 16 hingga 25 Januari 1997.

Tetapi peristiwa pahit itu tidak perlu diulang lagi. Sekarang, Buldon mulai menikmati rasa aman .

Datu Abolais berkata, kalau  bukan kerana perang dan perjuangan, Buldon dan Kawasan sekitarnya   dalam kawasan` Iranun Country’  mungkin mampu menjadi sebuah Kawasan metropolis kerana  Kawasan itu adalah antara paling awal bersentuhan dengan kemajuan di Mindanao.

Dalam ucapannya, beliau menyarankan-setengah serius, setengah bergurau- akan perlunya meningkatkan perhubungan antara Iranun di Sabah dan di Mindanao melalui hubungan perkahwinan.

Tan Sri Pandikar dalam ucapannya menyambut baik saranan itu, sambil menyatakan ramai yang sedia untuk menetap di Buldon dan di kalangan anggota delegasi ramai yang masih bujang.

Suasana menjadi cair dan ceria. Tan Sri Pandikar menceritakan bagaimana beliau amat tertarik untuk berkunjung ke `inged a Iranun’ dan beliau menyatakan beliau sendiri adalah Iranun tulin.

Namun Tan Sri Pandikar berpegang kepada teori bahawa Iranun memang berasal dari Borneo.. Dalam sejarah Filipina, terdapat kisah mengenai kedatangan 10 datu dari Borneo. Beliau juga menyatakan beberapa kisah dalam darangen, kisah raja inderapatra,, yang banyak jejaknya di Borneo.

Selain itu, beliau mengisahkan juga mengenai persamaan dan perbezaan antara Iranun di Sabah dan di Mindanao.

Tetapi sesuai dengan tagline #OneIranun, sesungguhnya semua orang Iranun itu `peraranuna’ dan bersaudara.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Congresswoman, Bai Dimple Mastura, Director PNP Maguindanao del Norte, Col Sultan  Salman S Sapal, Mayor Barira, Hon Abdulraof D Tomawis, Mayor Sultan Mastura, Hon Zulficar Ali H Panda, Vice Cancelor UMS, Prof Datuk Dr Kassim Mansor, Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim dan kenamaan lain.

Hon Datu Abolais A Manalao, salah seorang tokoh Iranun Buldon





Sultan Rico Pelandoc, Naib Presiden Iranun Sultan League of Philippines sedang berucap
Special Envoy BIMP-EAGA Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sedang menyampaikan ucapan

Congresswoman, Bai Dimple Mastura menyampaikan cenderakenangan kepada Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sambil disaksikan Mayor Buldon Hon Pahmia A Manalao 
 Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kassim Mansur menerima cenderamata dari Mayor Buldon sambil disaksikan oleh Congreswoman Bai Dimple Mastura dan Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim

Wakil delegasi, Marawan Yassin menerima cenderamata dari Hon Abolais A Manalao, Vice Mayor Buldon sambil disaksikan oleh Congreswoman Bai Dimple Mastura dan Hon Pahmia


Tan Sri Pandikar Amin, Hon Pahmia , Congrewoman Bai Dimple Mastura dan kenamaan lain bergambar kenangan