Sabtu, 1 Januari 2022

kuntuman putih bunga dan tahun 2022 yang lebih menyerlah

Tags


Kuntumnya putih. Bunga raya menguntum pada hari terakhir penghujung tahun sebelum tahun 2022 membuka lembaran baru. Bersamanya mekar harapan bahawa kehidupan akan lebih putih dan cerah berbanding tahun sebelumnya.

Memang benar saya sengaja menghindari kehadiran tahun baru ini. Beberapa detik sebelum pergantian tahun , saya masuk kamar dan memeluk erat isteri saya, sehingga kemudian menjadi tidak peduli lagi  dentuman dan percikan  bunga api itu.

Saya terbangun sebelum Subuh pada hari pertama 2022 sambil merenung tahun yang baru saja pergi. Banyak yang perlu diperbaiki. Banyak yang perlu ditingkatkan.Banyak yang perlu dipersegarkan. Banyak masa terbuang siasia dan kurang dimanfaatkan, semoga itu tidak akan terulang lagi.

Tahun 2021 meninggalkan juga banyak kenangan. Selepas 27 tahun bertugas sebagai wartawan di Utusan Borneo, akhirnya pada penghujung Mei, tanpa sebarang upacara dan ucapan selamat tinggal, status saya berubah daripada seorang wartawan sepenuh masa kepada seorang wartawan bebas.

Saya menyangka dapat keluar daripada kesibukan, ternyata selepas itu menjadi bertambah sibuk lagi meskipun waktu bekerja lebih anjal. 

Kami mendirikan sebuah portal berita sabah360online.com. Bersama saudara Hassim dan beberapa rakan lain mantan Utusan Borneo. Sebagai sumbangsih kepada bangsa, kami mewujudkan juga iranunnusantara.net. sebuah portal mengenai Iranun di nusantara. Saya juga memberi imej baru kepada blog saya dari abdnaddin.blogspot.com kepada abdnaddin.com.

Selain itu, saya terikat pula sebagai pegawai media di salah sebuah agensi dan bertugas antara lain membantu kluster sosial budaya dan pendidikan.

Kehidupan ini sesungguhnya sebuah berkah. Wajib disyukuri. Selalu bersikap positif, melihat sisi sisi baik dalam sesuatu peristiwa. Memang perlu banyak p- perbaiki, pertingkat,perkuat, perkukuh, pererat, perhalusi, perdalami, perhati, persegar, perolehi, perbuat dan banyak p yang lain. 

Tapi saya ingin satu p iaitu putih. bunga putih, kuntuman putih, hidup yang putih, tujuan yang putih, destinasi yang putih. Pokoknya segalanya putih.


 

Artikel Terkait

This Is The Newest Post