PW II (B) HASSAN IBRAHIM, DULU PEGANG PELURU MERIAM
KETIKA berkhidmat dalam tentera, salah satu kemahiran
yang dimilikinya ialah memasang peluru meriam. Beliau mengenali apa saja jenis
meriam kerana ia adalah sebahagian tugasnya ketika berkhidmat sepanjang 25
tahun di Rejimen Artileri Diraja (RAD).
Kini beliau sudahpun bersara dan memilih bidang jahitan sebagai salah
satu jenis perniagaannya. Bahkan beliau memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
yang membolehkannya mengajar dalam bidang jahitan.. Dari urusan meriam, kini
beliau mahir urusan jarum dan benang.
PW II (B) Hassan Ibrahim dilahirkan pada 15 Jun 1971
di Kampung Kalabakan Tawau. Anak ketiga daripada lapan adik beradik ini
mendapat pendidikan rendah di SRK Kalabakan dari darjah satu hingga enam
sebelum meneruskan pendidikan menengah di SMK Kuhara Tawau hingga tingkatan lima. Beliau pernah bekerja
dalam pelbagai bidang termasuk menjadi jurujual, pekerja kilang papan sebelum
berkhidmat dalam bidang ketenteraan iaitu bidang yang amat diminatinya. Selepas
menjalani latihan di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson (kini dikenali Pusat
Latihan Asas Tentera Darat) selama enam bulan, beliau ditempatkan di 21 Rejimen
Artileri Diraja (RAD) Kem Paroi selama lima tahun. Kemudian beliau ditugaskan
di 6 RAD Kem Lok Kawi dari tahun 1995 hingga awal 2011. Pada pertengahan tahun
2011, beliau dipindahkan ke Markas Medan Tentera Darat Kuala Lumpur di Sungai
Besi.. Selepas itu, beliau ditempatkan di 61 RAD Kem Mahkota Kluang pada awal
2012 atas dasar kenaikan pangkat. Selepas berkhidmat selama 25 tahun dalam
bidang ketenteraan, beliau bersara pada tahun 2013. Sebelum itu, beliau
menjalani latihan di Akademi Jahitan Kota Kinabalu dan memiliki Sijil Kemahiran
Malaysia (SKM) Tahap 3 yang membolehkan beliau mengajar dalam bidang jahitan.
Beliau juga aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk meneruskan perjuangan dalam
politik bagi membela nasib masyarakatnya.
Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN
berpeluang mewawancara PW II (B) Hassan Ibrahim di salah sebuah premis di Jalan
Gaya Kota Kinabalu untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan kerjayanya sejak
sekolah hingga menceburi perkhidmatan tentera dan kemudian bersara.
UTUSAN BORNEO (UB): Boleh
ceritakan sedikit latar belakang tuan?
HASSAN IBRAHIM (HI): Saya
dilahirkan pada 15 Jun 1971 di kampung
Kalabakan.Anak ketiga daripada lapan adik beradik.
UB: Kalau
boleh tahu, orang tua bekerja sebagai apa?
HI: Ayah
saya, Ibrahim Piah, kerja sebagai seorang nelayan manakala ibu, Puan Jamilah
Ukang, kerja sebagai suri rumah.
UB: Di mana
tuan mendapat pendidikan awal?
HI: Saya mendapat
pendidikan awal di SRK Kalabakan dari darjah satu hingga enam sebelum
melanjutkan pelajaran menengah di SMK Kuhara dari tingkatan satu hingga lima.
UB: Mungkin
ada pembaca di luar sana khususnya di luar Sabah yang masih belum tahu di mana
letaknya Kalabakan? Apa yang menarik di sana?
HI: Kalabakan
ialah sebuah daerah di sebelah barat daerah Tawau, yang terletak kira-kira 106
kilometer dari Tawau. Kalabakan juga
terkenal sebagai tempat berlakunya peristiwa Kalabakan ketika Konfrontasi
Malaysia-Indonesia yang berlaku pada 29
Disember 1963. Menurut cerita, peristiwa itu menyebabkan seorang pegawai dan
tujuh anggota Platun Kompeni A3 Rejimen Askar Melayu Diraja terkorban. 18 lagi
anggota tercedera. Sampai sekarang masi ada Tugu Peringatan Konfrontasi
Malaysia- Indonesia 1963. Di Kalabakan juga ada Air Terjun Batu 9 yang cantik.
Jika mahu ke Kalabakan, ada resort yang boleh ditempah iaitu Resort Felda
Kalabakan.
Di Kalabakan juga terdapat bekas lombong Arang Batu
Silimpoponn yang wujud tahun 1920 dan banyak lagi.
Kebanyakan penduduk di sana terdiri dari suku Tidong
dan Murut. Saya sendiri dari suku Tidong.
UB: Apa makna
Kalabakan menurut Bahasa Tidong?
HI: Ada kisah
mengatakan Kalabakan adalah berasal dari perkataan Kalap angkan dari Bahasa
Tidong yang bermaksud `dapat makan’. Sebagaimana yang dimaklumi, kaum Tidong adalah penduduk asal di kampung
ini.
UB: Jadi tuan
mendapat pendidikan awal di SRK Kalabakan kemudian ke SMK Kuhara. Siapa antara
rakan sekolah yang seangkatan masa itu?
HI: Antara
Jumadi, Aripah Kuraga, Yahya Ahmad. Ramai lagi yang tak sempat disebutkan nama
mereka.fy
UB: Oh
ya.Waktu itu berapa bekal ke sekolah?
HI: Tidak
tentu. Kadang kadang 40 sen. Pada zaman kanak-kanak dahulu, duit 40 sen itu,
boleh digunakan untuk membeli mee dan air oren.
UB: Selepas
tingkatan lima, tuan terus masuk perkhidmatan tentera?
HI: Tidak.Selepas
tamat SPM tahun 1987, mula-mula saya bekerja di KFC, dekat panggung Empress di
Tawau, berdekatan pejabat pos lama. Masa itu saya tinggal di Tawau. Selepas
satu tahun, saya kerja sebagai jurujual Singer. Kami masuk kampung ke kampung
untuk mempromosi Singer. Dulu, susah dapat kerja. Tapi seorang yang tidak
memilih kerja. Selepas itu, saya bekerja di sebuah kilang papan di Pasir Putih.
Gaji masa itu RM225 sebulan. Kerjanya susun papan dan sebagainya.Saya sudah
terbiasa dengan kerja orang kampung kerana saya sendiri datang dari kampung.
UB: Bagaimana
pula tertarik dalam perkhidmatan tentera?
HI: Saya
terdengar pengumuman juruhebah radio mengenai pengambilan rekrut. Ada
pengambilan rekrut baru yang diadakan di Kem Kukusan Tawau. Tahun 1990. Saya
pun pergi dan Alhamdulillah terpilih untuk menjalani latihan.
UB: Siapa
antara rakan dari Tawau yang turut terpilih?
HI: Antaranya
Mumin, Hussin Dulahim, Omar Salleh, Syed Samalah. Ada lagi tapi itu antara yang
saya ingat.
UB:: Di mana
tuan menjalani latihan?
HI: Kami
menjalani latihan di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson, kini dikenali sebagai
Pusat Latihan Asas Tentera Darat selama enam bulan.
UB: Selepas
itu, dimana tuan ditempatkan?
HI: Saya
ditempatkan di Unit Artileri iaitu 21 Artileri di Kem Paroi selama lima tahun.
Rejimen Artileri adalah salah satu cabang dalam Tentera Darat Malaysia.
UB: Mungkin
ada yang ingin tahu peranan Rejimen Artileri. Mungkin tuan boleh tolong
jelaskan berdasarkan pengalaman tuan?
HI: Peranan
Rejimen Artileri Diraja sebenarnya adalah untuk memberi bantuan tembakan yang berkesan kepada pasukan
tempur di medan pertempuran, supaya pasukan musuh tidak dapat mengganggu operasi.
UB: Apa
antara tugas yang diberikan jika boleh tahu?
HI: Antaranya
memasang peluru meriam. Artileri secara umum adalah pasukan tentera yang
mengendalikan meriam-meriam.
UB: Selepas
itu, dimana tuan bertugas?
HI: Saya ditugaskan di 6 Rejimen Artileri Di raja di
Kem Lok Kaw dari tahun1995 hingga 2011. Kemudian pada tahun 2012, saya
ditempatkan di Markas Medan Cawangan Bantuan Tempur di Kem Sungai Besi selama
enam bulan. Kemudian dipindahkan pula 61 Artileri Diraja di Kem Kluang kerana
dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II
UB: Apa
pengalaman pahit manis dalam tentera? Mungkin boleh sebutkan salah satunya?
HI: Masa kami
menjalani latihan, ancaman komunis masih ada. Suasana masih menegangkan masa
itu. Itu mungkin pengalaman pahit, Pengalaman manis pula antaranya ketika menjalani latihan
menggunakan peluru hidup di padang sasar.
UB: Bila tuan bersara dari perkhidmatan?
HI: Selepas
25 tahun dalam perkhidmatan, saya bersara pada tahun 2013. Sebelum itu, kami
diberikan latihan 18 bulan sebagai persediaan untuk kehidupan awam.
UB: Apa
bidang yang tuan pilih?
HI: Saya
memilih bidang jahitan. Selama 18 bulan, saya menjalani latihan di Akademi
Jahitan Kota Kinabalu dan selepas itu membuka kedai jahit. Saya juga memiliki Sijil Kemahiran Malaysia
(SKM) Tahap 3 yang membolehkan saya mengajar menjahit.
UB: Selepas
bersara, apakah tuan menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan kehidupan
seperti orang awam?
HI: Tiada
masalah. Apatahlagi kerana sebelum bersara, kami diberi latihan kemahiran dalam
pelbagai bidang yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan.
UB: Pernah
terfikir menjadi seorang anggota tentera sebelum ini?
HI: Ketika
saya masih di bangku sekolah, saya sudah berminat menjadi anggota tentera.Di
sekolah, saya menyertai Persatuan Kadet Tentera. Saya memang aktif. Dalam
bidang sukan pun saya aktif.
UB: Apa yang
mendorong tuan menceburi bidang politik?
HI: Bagi saya
politik adalah perjuangan.Saya ingin membela masyarakat di tempat saya yang
masih serba ketinggalan dalam pelbagai segi. Kalau bukan kerana masyarakat,
buat apa saya bersusah-susah. Saya lihat, pemimpin pemimpin politik masih
mengabaikan kebajikan rakyat. Saya lihat dalam kehidupan, tidak ada perubahan
atau peningkatan taraf hidup. Mereka masih mundur. Itulah antara sebab mengapa
saya tertarik menceburi politik. Kalah menang perkara biasa, tetapi yang
penting kita sudah berjuang. Saya akan meneruskan perjuangan melalui pelbagai
cara demi masyarakat agar nasib dan masa depan mereka diberikan perhatian
kerajaan.