Sabtu, 30 Januari 2021

MOHD KHANAFEH RASHKIN, PELAJARI KESILAPAN UNTUK BANGKIT SEMULA

Tags

 

MOHD KHANAFEH RASHKIN, PELAJARI KESILAPAN UNTUK BANGKIT SEMULA

 

MESKIPUN pernah jatuh teruk selama 10 tahun sehingga hampir kehilangan segala-galanya Mohd Khanafeh Rashkin tidak kehilangan asa. Angkara kesilapan diri, beliau terperosok dalam kancah derita. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit kembali.

 


“Saya menjadi seorang runner penghantaran parcel di sekitar ibu negeri sehingga membuka perniagaan sendiri dalam bidang yang berkaitan,” kata Mohd Khanafeh, 49 tahun.

 “Mulanya memang agak sukar. Saya bersama isteri dan rakan kongsi terpaksa menghantar sendiri parcel yang dikirimkan kepada penerimanya.

 Kira-kira sebulan selepas itu, perniagaan mulai berkembang dan syarikatnya terpaksa mencari pekerja atau istilah dipanggil `runner’.

 



Kini beliau berjaya memberi peluang pekerjaan kepada lebih 30 orang runner. “Mereka berjaya menjana pendapatan sendiri dalam situasi pandemik yang melanda dunia sekarang,” katanya.

 Selepas pandemik Covid-19 menular menyebabkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bulan Mac, ramai yang kehilangan pekerjaan.  Kehidupan mereka terjejas kerana hilang sumber pendapatan. Mujurlah, ramai yang dapat peluang kerja menjadi runner penghantaran parcel, penghantaran kurier, penghantaran makanan dan sebagainya.

 “Alhamdulillah, sedikit sebanyak syarikat kami dapat membantu membuka ruuang pekerjaan kepada mereka yang hilang pekerjaan,” kata Mohd Khanafeh yang kini  memiliki syarikat YBe Group yang bergiat dalam pelbagai bidang termasuk penghantaran parcel.



 Sebagai seorang usahawan bumiputera, Mohd Khanafeh melalui YBe Group bergiat sebagai sub agen penghantaran kurier.




 Berkat kegigihan dan ketabahan beliau yang tidak mengenal lelah dan mengaku kalah, Mohd Khanafeh berjaya membuka beberapa jenis perniagaan lain seperti perkhidmatan am dan sebagainya.

 Beliau juga menjadi rakan kongsi dalam perniagaan butik dan perunding perkahwinan. “Kami juga membuka peluang kepada peniaga lain yang berkaitan dengan perunding perkahwinan seperti catering, pengusaha kanopi dan sebagainya.



 

Kini syarikatnya, YBe Group mulai berkembang dengan pelbagai jenis perniagaan. Tiada siapa yang dapat menjangka, seorang  yang dulu pernah terkapar dalam kejatuhan, namun berjaya bangkit semula memajukan diri dan bukan itu satu saja, mampu pula membuka ruang pekerjaan kepada yang lain.

 “Perniagaan yang ditubuhkan juga memberi peluang menjana pendapatan kepada  golongan yang kehilangan pekerjaan,” kata Khanafeh ketika ditemui di sebuah kafe di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

 “Bukan mahu bercerita berkenaan kejayaan sebab saya mengakui ianya masih jauh namun apa yang ditekankan ialah semangat untuk bangkit dari sebuah kejatuhan itu,” katanya.

 Serta bagaimana  kita  mampu memberi manfaat kepada orang lain serta bagaimana untuk kita belajar daripada setiap kesilapan juga kegagalan, kata Khanafeh.

 Walaupun boleh dikatakan sukses dalam usahanya, Mohd Khanafeh tidak melupakan tanggungjawab sosialnya.

Beliau menjadi penasihat serta Pengerusi dua buah NGO yang mefokuskan membantu golongan bekas-bekas penghuni penjara untuk memulakan serta mendapat kehidupan semula.

 Golongan ini sering mendapat label yang kurang elok juga peminggiran  atas sejarah kehidupan mereka.

 “Jika tidak dibantu ianya akan mengembangkan kadar jenayah atas faktor jenayah berulang akibat tiada pergantungan. Saya juga fokus  kepada kempen kesedaran akibat jenayah di dalam masyarakat,” kata Khanafeh.

 “Saya juga melakukan kerja-kerja kebajikan dengan membantu mereka yang memerlukan dengan penglibatan pelbagai pihak serta NGO lain terutama dalam situasi pandemik ini,” jelasnya.

 Selain menjadi seorang usahawan yang berjaya, Khanafeh juga tidak melupakan bakatnya dalam bidang seni.




 

Dalam bidang seni, Khanafeh atau nama glamournya, H.R Nafie @ YBe yang bergabung di bawah jenama YBe Production, adalah seorang Komposer sambilan.

 

Sebagai seorang komposer sambilan, beliau sudah mencipta lebih 130 lagu pelbagai genre(Melayu&etnik tempatan Sabah dengan 54 daripada lagu-lagu ini dirakamkan oleh pelbagai artis. Lagu-lagu ini sering berkumandang di radio.

Kini beliau juga aktif dalam penulisan. Beliau menghasilkan buku motivasi, novel, himpunan cerpen tetapi belum diterbitkan.

 “Salah satu buku yang akan diterbitkan pada tahun ini bertajuk ‘Dunia Disebalik Tembok ’yang juga akan diterbitkan oleh sebuah syarikat ke dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk ‘World Behind The Wall’.

 Ketika ditanya apa yang menjadi pegangan beliau dalam proses perjuangan untuk kembali bangkit semula itu, Khanafeh berkata beliau  sering mengingati dan belajar dari kesilapan.

 “Sentiasa bersangka dan berbuat baik,ikhlaskan hati dan terpenting jaga solat 5 waktu serta sentiasa ingat kepadaNya,” katanya.

 Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga terutama anak-anak(Shasha,Iqa,Ozir,Azmer) yang sentiasa memberi sokongan.Begitu juga kepada adik beradik serta saudara mara yang lain.

 “Kepada Siniah Padasian yang sentiasa menyokong dalam susah dan senang. Juga kepada seorang sahabat yang saya tidak akan lupakan jasanya yang terlalu banyak membantu dalam saat susah iaitu Saudara Alexzandra.

 “Juga kepada teman yang banyak membantu Asri,Musdi,Azral,Ezwan,Samzali,Firdaus serta ramai lagi yang saya tidak dapat sebutkan semuanya,” katanya.

 Ditanya mengenai apa perancangan masa depan. Mohd Khanafeh berkata, beliau ingin mengembangkan perniagaan dengan kepelbagaian operasi yang mampu memberi manfaat kepada orang lain dengan konsep  ‘Perkongsian rezeki’.

 “Saya bertekad untuk lebih aktif dalam perkara-perkara kebajikan yang mampu memberi senyuman kepada lebih ramai orang.

 Selain itu, saya ingin bergerak lebih jauh dalam bidang seni dengan penciptaan lagu-lagu yang berkualiti serta memberikan mesej yang baik kepada pendengar

 “Semoga apa yang diusahakan ini akan berjaya dan sentiasa mendapat sokongan dan peluang daripada semua pihak. Itulah harapan saya,” katanya.

 “Hidup ini harus dilayari dengan baik. Dalam pada ia terisi dengan perkara-perkara bahagia,adakalanya derita itu menjelma atas pelbagai cara. Berhati-hatilah pada setiap kata,langkah dan keputusan.

 

“Niat harus baik. Hati mesti bersih. Berusahalah dapatkan keberkatan dalam apa jua perkara. Carilah rezeki yang halal walau sedikit. Hindari kesilapan dan belajar daripadanya,” katanya.