Rabu, 25 November 2020

RAKYAT DI HATIKU, MOTTO CIKGU HARUN UNTUK DUN BENGKOKA

Tags

 RAKYAT DI HATIKU, MOTTO HARUN DURABI UNTUK BENGKOKA

 



Namanya lebih dikenali sebagai Cikgu Harun di kalangan masyarakat Bengkoka. Sejak menceburkan diri dalam politik, Cikgu Harun sentiasa menempatkan kepentingan rakyat sebagai teras perjuangannya. “Rakyat Di Hatiku,” katanya ketika ditanya apa mottonya ketika berkhidmat kepada masyarakat.

Namun pengalamannya sebagai seorang guru juga sangat menarik. “Saya pernah rasa hampir mati tapi tidak mati. Saya pernah jatuh ke gaung bersama motosikal yang saya naiki. Saya pernah dihanyutkan air deras akibat banjir berpuluh puluh kilometer jauhnya.Perasaan memang sudah mati tetapi tidak mati. Ada lagi satu peristiwa menyayat hati apabila kenderaan yang sepatutnya kami naiki terjatuh ke dalam jurang dan mengorbankan semua penumpangnya.  Ketika ditanya apa pesan orang tua yang masih diingatinya, Cikgu Harun memberitahu nasihat ibunya.“Kalau tidak dapat buat yang terbaik, janganlah buat yang tidak baik. “

 YB Harun Durabi dilahirkan di Kampung Kusilad Pitas pada 11 Januari 1963. Beliau anak bungsu daripada tujuh adik beradik. Mendapat pendidikan awal di SRK Kusilad Pitas sebelum meneruskan pelajaran di SMK Abd Rahim  Kudat. Selepas tamat SPM, beliau sempat bekerja sebagai seorang buruh kasar sebelum menerima tawaran memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dari tahun 1984 dan lulus Diploma Perguruan 1986. Kemudian beliau ditugaskan sebagai guru di daerah Pitas, pernah bertugas sebagai Guru Penolong  di SK  Pantai Pitas (Jan -Dis 1987) , Guru Penolong SK Dandun  (Jan-Dis 1989), Guru Pendidikan Khas SK Pekan Pitas (Jan-Dis 1990) Guru Besar SK Nibang  (Jan 1991 -Dis 1996) Pegawai Penyelaras  Pusat Kegiatan Guru (PKG) (Jan  1997 -Julai 1998) Guru Besar SK Dandun (Ogos 1998 hingga Dis 2011) Guru Besar SK Kusilad (Jan 2012-Dis 2014) dan Guru Besar SK Pekan Pitas II (Jan 2015 - 15 Mei 2017).  Ketika berkhidmat, beliau juga mengambil Diploma Pengurusan Perniagaan pada tahun 2006. Pada tahu 2017, beliau mengambil keputusan bersara secara pilihan.  

 Dalam politik, beliau bermula sebagai AJK Pemuda Bahagian Marudu (1995-2000), Naib Ketua Pemuda Bahagian Kudat (2000-2004) AJK UMNO Bahagian (2004-2008) Naib Ketua Bahagian  (2008-2013) dan kemudian  kini AJK UMNO Bahagian Kudat (2019-kini)). Dalam PRN ke-16 yang lepas, beliau memenangi kerusi DUN  N.2 Bengkoka dalam pertandingan sebelas penjuru. Selain tugasnya sebagai wakil rakyat Bengkoka, beliau juga dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar .

 Dalam kegiatan kemasyarakatan, beliau juga adalah Naib Presiden Persatuan Etnik bangsa Sungai Negeri Sabah (PSBS), Presiden Persatuan Bangsa Sungai Pitas, Timbalan Pengerusi Masjid Daerah, Majlis Al-Amin Pitas dan Ahli Jawatankuasa Badan Dakwah Islam Daerah Pitas. Beliau  menguasai bahasa Sungai, bahasa Rungus, kimaragang, Tembonuo dan bahasa Bajau.

 Beliau menerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Daerah Pitas (2012, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Guru Besar Peringkat Negeri Saah (2002) dan Anugerah Khas Tawaran Baru kepada Pengetua dan Guru Besar (NKRA Pendidikan) 2010.

 Atas jasa baktinya , beliau dikurniakan pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada 2005 dan Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2012.

 Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Wisma KPLB kota Kinabalu pada satu petang yang jernih. Ikuti petikan temubual bersama beliau.




 UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?

YB TUAN HARUN DURABI (HD): Saya dilahirkan di Kampung Kusilad Pitas pada 1 November 1963. saya anak ke-7 atau yang paling bungsu dalam keluarga.

 UB: Dimana YB mendapat pendidikan rendah? Berapa jauh jarak sekolah dari rumah?

HD: Saya bersekolah rendah di SRK Kusilad Pitas. Jauhnya kirakira 7 km dari rumah.

 UB: Bagaimana YB ke sekolah? Jam berapa bertolak dari rumah?

HD: Saya bertolak dari rumah kira-kira jam 5.00 pagi kerana mesti sampai ke sekolah sebelum loceng masuk dibunyikan. Jenis pengangkutan ke sekolah masa itu adalah menggunakan sampan. Kami terpaksa naik sampan ke sekolah. Mendayung sampan di tengah kedinginan dan keheningan subuh. Selepas berdayung sampan, kami mendarat di tebing sungai. Dari sana, kami terpaksa meredah hutan belukar sebelum menaiki jambatan gantung. Kira -kira dua jam perjalanan, barulah kami sampai ke  sekolah. Itulah rutin harian kami.

 UB: Siapa antara rakan sekolah satu kampung pada masa itu?

HD: Antaranya Ninang Payang, Ibrahim Amin

 UB: Berapa bekal sekolah?

HD: Kadang-kadang ada 20 sen.  Keluarga kami adalah petani . Ayah saya meninggal pada tahun 1974 menyebabkan kami hilang pergantungan dan terpaksa bergantung kepada ibu.Saya tamat sekolah rendah pada tahun 1977.

 UB: Selepas itu dimana YB meneruskann persekolahan?

HD: Saya meneruskan pelajaran di SMK Abdul Rahim Kudat dari tahun 1978 hingga 1982.  Sepanjang bersekolah di Kudat, saya tinggal di asrama dan menjadi ketua pelajar asrama.Kebetulan jalan perhubungan dari Pitas ke Kudat pada waktu itu agak sukar.

 UB: Kalau YB mahu ke Kudat masa itu,naik apa?

HD: Zaman dulu guna kapal. Kapal adalah  istilah orang kampung kepada motobot yang sebesar bot nelayan. Itulah kenderaan dari Pitas ke Kudat. Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam. Masa itu belum ada jalan darat. Tambang lebih kurang tiga ringgit. Balik kampung pun hanya sewaktu cuti sekolah.

 UB: Mungkin masih ingat nama rakan-rakan sekolah?

HD: Antaranya Ahmadin Narudin, Chong Thau Kong, Jubin Antau dan lain-lain lagi.

 

UB: Di mana YB bekerja selepas tamat sekolah menengah?

HD Selepas tamat SPM, saya bekerja sebagai buruh kasar di Kota Kinabalu. Gaji pada masa itu ialah RM10.00 sehari. Saya sempat bekerja selama satu tahun sebagai buruh kasar di beberapa syarikat. Saya pernah juga menjadi seorang general cleaner di sebuah public area di KK sekitar awal 80an.

 UB: Pengalaman yang menarik dan menunjukkan Yb memahami perasaan golongan pekerja. Selepas itu dimana YB bekerja?

HD: Saya berjaya memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dari tahun 1984 hingga 1986.

UB: Mungkin masih ingat rakan-rakan semaktab?

HD: Antaranya Cikgu Minggu Amat, Abduhul Amantul orang Semporna, Sulaiman Hamzah, Rasidah Ag Besar, sekadar menyebut beberapa nama.

 UB: Di mana YB mula ditugaskan selepas tamat  maktab?

 HD: Sebaik tamat diploma perguruan di Maktab Perguruan Kent pada 1986, saya ditempatkan sebagai Guru Penolong  di SK  Pantai Pitas (Jan -Dis 1987)  dan seterusnya , Guru Penolong SK Dandun  (Jan-Dis 1989), Guru Pendidikan Khas SK Pekan Pitas (Jan-Dis 1990) Guru Besar SK Nibang  (Jan 1991 -Dis 1996) Pegawai Penyelaras  Pusat Kegiatan Guru (PKG) (Jan  1997 -Julai 1998) Guru Besar SK Dandun (Og0s 1998 hingga Dis 2011) Guru Besar SK Kusilad (Jan 2012-Dis 2014) dan Guru Besar SK Pekan Pitas II (Jan 2015 - 15 Mei 2017).

 UB: Apa pengalaman pahit manis sepanjang bertugas sebagai guru?

HD: Kalau bercerita pengalaman, memang banyak pengalaman pahit manis. Terasa hampir mati tapi tidak mati. Saya pernah jatuh ke gaung bersama motosikal yang saya naiki. Saya pernah dihanyutkan air deras akibat banjir berpuluh puluh kilometer jauhnya.Perasaan memang sudah mati tetapi tidak mati.

 Tetapi yang paling pahit ialah pengalaman pada tahun 1996.Ketika itu hujung tahun, ia berlaku sewaktu mahu balik bercuti. Begini ceritanya.Satu-satunya kenderaan yang ada ialah lori pengangkut balak. Apabila lori sampai, kami dahulukan orang kampung. “Jangan dulu kita naik, biar orang kampung naik dulu,” saya beritahu rakan setugas. Jadi kami terpaksa menunggu lagi kalau kalau ada kenderaan yang datang. Sampai di pertengahan jalan, kereta logging yang mereka naiki, yang sepatutnya kami naiki,jatuh ke dalam jurang. Semua terkorban, Enam orang semuanya. Yang terselamat hanya seorang anak kecil.

 Itulah yang menyebabkan saya meminta pindah dari sekolah itu, Bila mengingatkan peristiwa itu, hati dan perasaan menjadi sedih dan hiba. Saya berjumpa pegawai dan memohon pertukaran. Sampai tahap saya mahu berhenti jika permohonan saya tidak diluluskan.Perasaan saya mati tetapi mati saja belum.



 UB: Pernah terfikir menjadi seorang wakil rakyat?

 HD: Sebenarnya saya tidak termimpi untuk menjadi seorang wakil rakyat. Saudara tahukah bahawa pada saat akhir sebelum pengumuman calon, saya masih tidak tahu sama ada dicalonkan atau tidak. Saya dapat tahu nama saya terpilih selepas diminta datang ke pejabat UMNO pada malam sebelum nama-nama calon diumumkan keesokan harinya.

 UB:   Setahu kami, nama tuan sering tersenarai sebagai calon setiap kali PRU.

HD: Itulah sebabnya saya katakan tadi saya tidak termimpi kerana saya sudah biasa mendengar khabar angin nama saya tersenarai, apatah lagi kali ini kelihatan tidak banyak peluang untuk terpilih. Saya bersyukur kerana pada akhirnya saya terpilih sebagai calon dan dengan kuasa rakyat, saya terpilih sebagai wakil rakyat Bengkoka walaupun terpaksa bertembung dalam pertandingan sembilan penjuru.

 UB:  Tahniah YB. Sejak bila YB menyertai UMNO?

HD: Saya menyertai UMNO sejak tahun 1992, apabila Umno mulai rancak mengembangkan sayapnya di Sabah. Umno masuk ke Sabah pada masa itu kerana beberapa masalah dan kepincangan kerajaan pada masa itu. Saya terpilih sebagai  Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Marudu. Kemudian terpilih sebagai  Naib Ketua Pemuda Bahagian Kudat (2000-2004) AJK UMNO Bahagian (2004-2008) Naib Ketua Bahagian  (2008-2013) dan kemudian  kini AJK UMNO Bahagian Kudat (2019-kini)). Dalam PRN ke-16 yang lepas,saya  memenangi kerusi DUN  N.2 Bengkoka dalam pertandingan sebelas penjuru. Alhamdulillah, dalam pembentukan barisan jemaah kabinet, saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar .

 UB: Apa cita-cita YB ketika kecil?

HD: Sejak awal memang saya suka menjadi pemimpin. Ketika sekolah rendah, saya sering memegang jawatan ketua darjah. Di sekolah menengah, saya pernah menjadi ketua pelajar asrama. Ketika menuntut di maktab, saya menjadi salah seorang ahli majlis perwakilan guru pelatih.

 

UB: Apa motto YB dalam perkhidmatan?

HD: Rakyat di hatiku. Motto ini saya amalkan dari dahulu.

 UB: Mungkin ada yang bertanya, apa beza tugas ketika menjadi seorang guru dan ketika menjadi seorang wakil rakyat?

HD: Kalau menjadi guru , khidmat saya terhad hanya kepada anak-anak sekolah. Kalau dalam politik, saya dapat berkhidmat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Saya berbesar hati kerana ada peluang untuk menyumbangkan perkhidmatan kepada masyarakat secara menyeluruh. Saya dapat bantu rakyat.Sebagai orang kampung saya rasa aspirasi orang kampung kerana hidup bersama mereka.

 UB:  Bagaimana YB mengagihkan masa antara tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Bengkoka dan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar?

HD: Hari Isnin  hingga Rabu, saya menjalankan tugas sebagai seorang Pembantu Menteri di Kementerian Pembanguna Luar Bandar, Setiap hari Khamis hingga hari Ahad, saya memperuntukkan masa untuk  berada di kawasan saya di Bengkoka.

 UB: Apa misi dan visi YB untuk DUN Bengkoka?

HD: Salah satunya saya akan berusaha untuk memastikan Bengkoka diwujudkan sebagai sebuah daerah kecil. Inilah antara harapan dan cita cita saya

 UB: Apa pesanan orang tua yang masih dingat sampai sekarang.

HD: Pesan ibu saya, kalau tidak dapat buat yang terbaik, janganlah buat yang tidak baik. Itu yang saya ingat sampai sekarang.

 UB: Apa hobi YB di masa lapang?

HD: Saya suka ke kebun. Ada tanam sikit pokok sawit dan getah. Saya pandai tombak buah sawit sendiri walaupun menoreh getah saya belum mahir.

 UB: Terima kasih banyak YB kerana sudi memberi ruang untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang guru dan kini menjadi seorang wakil rakyat. Setinggi tahniah dan selamat bertugas.

HD: Terima kasih kembali.Semoga bermanfaat.

 

 

Artikel Terkait