SELAMAT BERANGKAT,MESKI ADA KATA-KATA YANG TAK SEMPAT TERUCAP
-Obituari untuk arwah Mohd Zain AH (23 Jun 1955-2 Julai 2020)
AKHIRNYA percakapan hanya sebiji nol di atas keunguan horison. Begitulah tulismu suatu hari. Bahawa “daun-daun, pohon-pohon dan lerengan gunung, telah memulangkan salamku kembali, kebun bunga dan pelangi telah bersatu, di siang yang basah ini, semua telah dan akan pergi”.
Dan hari itu, kau telah pergi, meninggalkan kami, juga meninggalkan segalanya. “Yang tinggal hanyalah, dakwat yang tak sempat kering, kata-kata yang tak sempat terucap, mimpi yang tak sempat ditiduri, juga siasat yang tak sempat terbukti”
Percakapan Hanya Sebiji Nol Di Atas Keunguan Horison, adalah karya Mohd Zain Assoh atau lebih dikenali sebagai Mohd Zain AH yang dihasilkannya pada Julai 1978, tepat 42 tahun yang lalu.
Mohd Zain AH adalah penulis Kudat yang kewibawaannya tidak perlu dipersoalkan lagi. Beliau sering memenangi pelbagai hadiah sastera di peringkat negeri dan kebangsaan.Namanya terpahat sebagai salah seorang penerima Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Puisi Sempena Hari Kebangsaan Shapadu/GAPENA dan hadiah saguhati Peraduan Menulis Cerpen Berunsur Islam 1993 anjuran Jabatan Perdana Menteri dan DBP Kuala Lumpur.
Mohd Zain AH lahir di Kudat pada 23 Jun 1955. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Kudat dan kemudian melanjutlan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tun Perak Muar Johor dan seterusnya ke Sekolah Menengah Dato Seri Amar Di Raja Muar Johor.
Sungguhpun lebih menyerlah dalam bidang puisi, beliau juga meminati genre cerpen, novel dan rencana
Beliau mula menulis pada 1974. Sejak itu, karya-karyanya mengisi halaman majalah terbitan Biro Kesusasteraan Borneo, Sabah Times, Daily Express, Berita Minggu, Mastika, Dewan Sastera, Dewan Pelajar, Pelita Bahasa dan Wadah.
Puisi-puisinya juga termuat dalam antologi bersama Gema Lembah Kinabalu,Perkasihan Musim, Taman Bahasa Ibunda, Nafas Utara Borneo dan Suara Anak Merdeka.
Cerpen beliau turut termuat dalam antologi Sebuah Tugu di Tengah Kota dan Pesan Nenek. Selain itu, beliau juga pernah menghasilkan sebuah novel bertajuk Syeikie Shiu dan diterbitkan di DBP KL.
Selain itu, beliau juga terlibat dalam Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Kudat dan pernah mengikuti Program Integrasi Penulis anjuran DBP Cawangan Sabah 1988.
Beliau adalah antara penulis Kudat yang paling berpengaruh kepada penulis muda pada satu ketika dan mendorong kelahiran ramai penulis berpotensi pada akhir 80-an dan awal 90-an di Kudat. Puisi-puisinya sering menjadi parameter bagi penulis-penulis baru untuk menghasilkan karya yang baik dan berkualiti.
Kritikan dan ulasannya sentiasa tajam dan bernas.Sering pula membuat kuping penulis muda merah. Beliau seorang yang teliti dalam menghasilkan karya puisi. Diksi-diksi yang dipilihnya sentiasa memikat dan bertenaga.
Beliau pernah menjadi seorang guru dan kemudian beralih profesion sebagai kerani sekolah. Untuk beberapa lama, beliau tidak berkarya kerana kurang sihat.
“Nama Mohamad Zain AH itu sudah lama tertinggal,dia sudah lama hilang dalam hutan puisi,” katanya.Hanya nostalgia saja.Karyanya tidaklah hebat. Dia sudah berada di luar gelanggang,” katanya satu ketika kepada Kasmah Osingang yang sering menemuinya.
“Sejak jumpa arwah 2018, ada 10 kali kami berjumpa.Yang terakhir selepas PKP pertama,” kata Kasmah.
“Saya kenal arwah sejak umur 17 tahun lagi, beliau macam abang saya,” kata Kasmah yang mengakui arwah merasa seolah-olah dipinggirkan dalam dunia sastera.
“Dia macam merajuk. Paling saya ingat dia sebut satu pertandingan.. Dia bertungkus lumus siapkan karya dan hantar tapi baru dua hari hantar, sudah ada pemenang dia merasa karya-karyanya belum dinilai,” kata Kasmah,
Katanya,semasa pelancaran Persatuan Karyawan Sastera Utara Sabah pada 21 Disember arwah tidak dapat menghadirkan diri kerana sudah mula sakit.
Persatuan Karyawan Sastera Utara Sabah dipimpin oleh Awang Karim Kadir, seorang penulis Sabah yang terkenal dan merancang pelbagai aktiviti untuk membangunkan dan memajukan sastera khususnya di utara Sabah.
“Saya agak terkilan kerana tidak dapat menyumbag tenaga dan material terhadap penubuhan persatuan itu. Saya ucapkan syabas di atas semangat tuan/puan yang bersungguh-sungguh,” catat arwah.
“Walaupun saya tidak dapat bersama-sama anda, tetapi saya tetap menyokong komitmen anda malah saya berbangga kerana anda bersemangat untuk meneruskan misi penulisan kita,” kata arwah melalui kumpulan whatsApp.
“Saya sangat kesal, arwah mau kumpul-kumpul baca puisi dan jumpa kawan dan kami rancang buat pada bulan Mac tahun ni tetapi PKP menghalang,” kata Kasmah kepada Utusan Borneo.
“ Arwah menyebut perkataan “Pungkad” untuk penulis utara Kudat juga untuk diri sendiri,” kata Kasmah lagi.
Mohd Zain AH meninggalkan kita pada 2 Julai 2020, ketika berusia 65 tahun. Penulis-penulis dari utara seperti Awang Karim Kadir, Siba Nita AS ,Nandrayanatirow, Norawi Haji Kata dan lain-lain sempat menziarahinya ketika dimakamkan. Semoga amal baiknya diterima, dosa-dosanya diampunkan Allah dan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Ya benar, katamu. “Yang tinggal hanyalah, dakwat yang tak sempat kering, kata-kata yang tak sempat terucap”.
1 comments so far