Isnin, 20 Julai 2020

PUSAT KEBUDAYAAN MURUT SABAH, BANGUNAN KAYU BELIAN TERBESAR DI BORNEO

Tags

PUSAT KEBUDAYAAN MURUT SABAH, BANGUNAN KAYU BELIAN TERBESAR DI BORNEO
-Catatan kunjungan ke Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom

Kami tiba di Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom kira-kira jam 10.30 pagi, hari Selasa, 7 Julai 2020. Cuaca agak cerah dan bersahabat. Perjalanan juga agak lancar. Berangkat kira-kira jam 7.45 dari Balai Seni Lukis Sabah, rombongan meluncur laju ke Tenom melalui jalan Papar Kimanis.
Inilah kali pertama saya ke Tenom tahun ini. Kunjungan kali ini adalah kerana menyertai Lawatan Kerja Jawatankuasa Pemasaran dan Korporat Lembaga Kebudayaan Sabah yang diketuai olehi Ahli Lembaga Pengarah, Hiew Vun Lip.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan Pengurus Besar (Sektor Pengurusan Korporat) , Puan Jennifer P Linggi dan Puan Sara Elisya Ahmad Shah, Ketua Bahagian Pemasaran  LKNS , Kurator Balai Seni Lukis Sabah, Puan Eva  Anani Baggai , wakil Sabah Tourism Board, Edmund Jokininn bersama beberapa staf Lembaga Kebudayaan  Negeri Sabah.
Setibanya di pusat itu , kami disambut Pengurus Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom, Mohd Soffriezan Yahya beserta stafnya. Kebetulan Pengerusi LKNS, Datuk Haji Ismaily Bongsu tiba lebih dahulu untuk satu program lain.
Selepas bersarapan, kami dibawa berkeliling melawat Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom yang juga dikenali sebagai 4B (The Biggest Belian Building of Borneo). Pusat yang terletak di Kampung Pulong, kira-kira 13 kilometer itu diiktiraf sebagai Bangunan Kayu Belian Yang Terbesar di Borneo).
"Bangunan ini mula dibina pada tahun 1994 dan siap sepenuhnya pada tahun 1996. Ia berfungsi sebagai pusat pameran, perkembangan dan pementasan suku kaum Murut," kata Pengurus, Mohd Soffriezan Yahya.

Katanya, bangunan yang terletak di tanah seluas 13.3 hektar  itu mempunyai keunikan dan membawa ciri-ciri etnik Murut dan juga dikatakan bangunan paling banyak menggunakan kayu belian di Borneo.
Tiangnya saja berjumlah 207 pokok kayu belian. Saya melihat sendiri betapa besarnya kayu belian yang masih kukuh. Kira-kira 90 peratus bangunan itu menggunakan kayu belian, sejenis keras, tidak mudah reput dan tahan lama.

Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom sering digunakan untuk Pesta Kalimaran dan Karnival Onsoi. Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan di pusat itu untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negeri.
Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke tempat itu adalah dari Eropah, Amerika, Jepun dan Australia.
Mohd Soffriezan berkata, antara aktivti yang diadakan ialah Persembahan Mingguan setiap Sabtu dan Ahad iaitu Setiap jam 10.00 pagi, 11.00 pagi dan 2.00 petang. Turut diadakan ialah demontrasi tarian magunatip dan menyumpit.
Selain itu, ada aktiviti jualan kraftangan di Kiosk PKMST, akiviti permainan tradisi seperti lansaran, menyumpit dan sakimpung, penyewaan pakaian tradisi untuk aktiviti bergambar penyewaan dewan auditorium dan Dewan Terbuka, katanya  yang bertugas di Pusat Kebudayaan itu sejak 2013.

Aktiviti Pameran ialah pameran lukisan dan arca, pameran pakaian tradisi sub-etnik Murut. Terdapat kira-kira 10 sub etnik Murut di Sabah. Pameran alat-alat muzik tradisi, pameran Replika Pelamin  untuk perkahwinan tradisi suku kaum Murut (Sangiang), Pameran Tajau yang berusia ratusan tahun dan Tajau mayat atau bangkalan, pameran kraftangan suku kaum murut dan pameran info dan maklumat suku kaum Murut.
Timbalan Pengurus Besar Sektor Pengurusan Korporat LKNS, Puan Jennifer P Linggi mengharapkan agar orang ramai termasuk NGO memanfaatkan Pusat Kebudayaan Murut Sabah untuk mengadakan program-program mereka.
Beliau berkata, perlu lebih banyak program diadakan untuk menghidupkan dan menjadikan PKMST sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung.
Katanya, PKMST adalah sebuah pusat kebudayaan yang unik dan menjadi salah satu ikon di Tenom dan sepatutnya menjadi salah satu tempat yang mesti dikunjungi jika berkunjung ke Sabah khususnya ke Tenom.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Korporat LKNS, Hiew Vun Lip melontarkan beberapa idea untuk menambahbaik Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom (PKMST) untuk menarik lebih ramai pengunjung ke pusat itu.
Kami juga dibawa meninjau pelbagai aktiviti kemudahan yang ada, pameran yang diadakan selain keperluan untuk membaik pulih PKMST bagi meningkatkan lagi kualiti dan kemudahan yang terdapat di pusat itu.
Mr Hiew juga mencadangkan agar tiket masuk untuk pelancong tempatan dan antarabangsa dinaikkan lagi supaya lebih memadai dan mampu menjana pendapatan untuk PKMST.
Kadar yang ada sekarang agak rendah iaitu RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) untuk pelancong antarabangsa dan RM5 (dewasa) dan RM3 (kanank-kanak) untuk warga tempatan.
"Kadar harga tiket masuk yang ada sekarang agak rendah jika dibandingkan dengan tiket masuk di premis pelancongan yang lain," katanya yang berpengalaman dalam bidang pelancongan.
"Jika harga tiket dinaikkan sedikit, sekurang-kurangnya kita dapat memberikan elaun atau upah yang lebih baik kepada penari budaya dan mampu membiayai pembaikan kerosakan dan sebagainya," katanya lagi.
Pengunjung atau pelancong boleh merasai sendiri pengalaman budaya Murut jika berkunjung ke PKMST. Sudah tentu, dengan menambahkan lagi pelbagai aktiviti yang diadakan setiap hari, ia pasti akan menjadikan Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom sebagai satu destinasi yang popular.
Banyak potensi yang boleh dimajukan untuk menjadikan PKMST sebagai pusat kebudayaan dan destinasi pelancongan sekaligus mampu menambahkan sumber pendapatan dan memberi pulangan lumayan bukan saja untuk Tenom bahkan untuk negeri Sabah sendiri.