SENDU MENDENGAR ANAK-ANAK MEMBACA AR-RAHMAN
KETIKA menulis ini, isteri tercinta dan anak-anak yang dikasihi sedang membaca surah Ar Rahman. Surah “Yang Maha Pemurah” turun di Madinah mengandungi 78 ayat. Kami semua berada di rumah untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19. Hari ini hari kedua. Setakat 19 Mac, seramai 112 orang disahkan positif COVID-19 di Sabah.
Kementerian Kesihatan Malaysia mengirimkan peringatan mengenai tiga langkah mencegah COVID-19 . Pertama; duduk di rumah, kedua; kerap basuh tangan & jaga kebersihan diri dan ketiga; kekal jarak 1 meter antara individu.
Rutin harian berubah. Selepas solat subuh, biasanya kami mengaji. Kemudian bersarapan. Isteri menggoreng cekodok atau jemput-jemput. Secangkir kopi pahit. Selepas itu menyiram bunga dan tanam-tanaman di belakang rumah. Mengemas buku-buku dan saya sendiri berdiam dalam studio kecil untuk menyiapkan artikel.
Menu tengah hari ini sup jagung dan ayam goreng. Sejak dua hari ini tak sempat membeli ikan atau lauk pauk yang lain kerana kami hanya berkurung di rumah. Dalam kekalutan sambil tergesa menyiapkan artikel, anak-anak membaca surah Ar Rahman.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?” Ayat itu diulangulang sebanyak 31 kali tentu ada sebabnya. Tiba-tiba saya merasa syahdu dan sendu. Banyak sekali nikmat atau kurnia Allah yang kita dustakan.
Padahal Allah mengajarkan Al-Quran, menciptakan manusia mengajarnya pandai berbicara. Dalam surah itu, Allah menciptakan bagaimana Matahari dan bulan beredar mengikut perhitungan dan tumbuhan dan pohonan sujud kepada Tuhan dan langit yang ditinggikan dan ciptaan neraca keseimbangan.
“Dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.Dan bumi telah dibentangkan untuk makhluknya di dalamnya ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang. Biji-bijian yang berkulit dan bunga-bunga yang harum baunya. (ayat 9 hingga 11)
Bayangkan jika tidak ada biji-bijian yang berkulit atau katakanlah tidak ada padi yang mengeluarkan beras. Bayangkan jika tidak ada bunga-bunga yang harum baunya? Betapa Allah menciptakan semuanya dengan keseimbangan dan manusia diperingatkan agar janganlah mengurangi atau merosakkannya.
Semua yang ada di bumi akan binasa. Itu sudah pasti seperti yang dinyatakan Allah dalam ayat ke 26 surah Ar Rahman. Bahawa hanya Allah yang memiliki kebesaran dan kemuliaan akan tetap kekal.
Sungguh. Banyak sekali pengajaran yang kita perolehi. Banyak sekali nikmat Tuhan yang kita ingkari.Banyak sekali yang kita tidak patuhi. Banyak sekali kurnia Allah yang kita remehkan. Padahal Allah mencipta segala sesuatu dengan teliti dan sempurna. Dari serangga yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besarnya. Dari embun di hujung daun semua ada maknanya. Peristiwa seperti COVID-19 ini seperti isyarat dari Tuhan agar kita segera insaf dan bertaubat. Fabi’ayyi a’la ’i rabbikuma tukazzibaan. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? Masih terngiang-ngiang la