Jumaat, 1 Mei 2020

MUIS PICHO, BEKERJA UNTUK KEPENTINGAN RAKYAT

Tags

MUIS PICHO, BEKERJA UNTUK KEPENTINGAN RAKYAT

MINATNYA dalam bidang automotif muncul sejak kecil lagi hingga mendorong beliau untuk mempelajari bidang itu hingga berjaya memperolehi Ijazah Kejuruteraan Automotif (1980). Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang perniagaan, pernah menjual ayam dan sayur-sayuran dan pelbagai kerjaya lain sebelum menceburkan diri dalam politik pada 1992. “Saya mahu berjuang untuk kepentingan rakyat,” katanya. Sukar membayangkan seorang tokoh yang ketika masa kanak-kanaknya suka mandi sungai dan suka memanjat kelapa, kini seorang wakil rakyat.”Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang YB” katanya. Namun kehendak Allah siapa yang tahu. Beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik selama tiga penggal sejak tahun 2008. Kini beliau adalah Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Datuk Haji Abdul Muis Picho lahir pada 20 Julai 1957 di Kampung Bombalai Tawau. Beliau mendapat pendidikan awal di  di SRK Bombalai dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran menengah di  Abaca Secondary School hingga lulus Lower Certificate Of Education (LCE) pada 1972. Selepas itu, beliau menyambung pelajaran dalam tingkatan empat hingga 5 di Holy Trinity Secondary School hingga lulus Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1974. Kemudian beliau  melanjutkan pelajaran di Federal Institute of Technology (FIT) dan berjaya memperolehi Diploma Kejuruteraan Automotif (1978)  dan Ijazah Kejuruteraan Automotif (1980). Sebaik tamat pengajian di FIT, beliau bekerja di Bengkel BAL Estate Bombalai selama dua tahun iaitu dari tahun 1983 hingga 1984 di Bahagian Kejuruteraan Automotif.Selepas itu, beliau bekerja sebagai CEO di Ladang Ternakan Manuk Mas dibawah Syarikat Rastamas Sdn Bhd selama 10 tahun (1984 hingga 1993).
Beliau pernah menjadi Pegawai Khas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, Menteri Dalam Negeri (2013 hingga Mac 2018).  Kini beliau memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah (2018 hingga kini).
Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (2015-2017).

Dalam politik, Abdul Muis pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO P.165 Tawau (1992-1993), Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian P165 Tawau (1993-1996) Ketua Pemuda UMNO Bahagian P165 Tawau (1996-1999), Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tawau (2001-2005) Naib Ketua UMNO Bahagian P191 Kalabakan (2006 -2008) Timbalan Ketua UMNO Bahagian P 191 Kalabakan  (2008-2018), Ketua Cawangan Parti Warisan Sabah Kampung Pasir Putih, Tawau.

Dalam kegiatan sukareka, beliau adalah Pengerusi Masjid Haji Salleh Musleh, Batu 2 Tawau, Penaung Masjid An Nur Kg Pasir Putih, Penaung SK Jambatan Putih, Tawau,Penasihat Persatuan 4 X 4 Tawau, Penasihat Persatuan Ping Pong Daerah Tawau, Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Tawau, Presiden Kelab Berbasikal Sebatik dan Penaung Kelab Pemotoran Bersaudara Tawau. Sebagai pengiktirafan atas jasa baktinya, beliau dikurniakan pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) Kesatria Mangku Negara (KMN) Ahli Setia Darjah Kinabalu ( ASDK ) Ahli darjah Kinabalu (ADK) Bintang Setia Kinabalu ( BSK )

Abdul Muis  mendirikan rumahtangga dengan  Datin Hajjah Hanawiah Binti Paressa dan dikurniakan seramai 12 orang cahayamata.

Wartawan Kanan UTUSAN BORNEO,ABD. NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara YB Datuk Haji Abdul Muis Picho di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Infrastruktur di Sembulan, petang kelmarin. Dalam wawancara itu, beliau menjawab pelbagai pertanyaan mengenai peristiwa masa kecil, pengalaman sekolah, pengalaman kerja sebagai wakil rakyat dan sebagainya. Beliau juga sempat menjawab soalan mengenai projek-projek pembangunan di DUN N60  Sebatik, kawasan yang diwakilinya sejak tiga penggal lepas.Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB Datuk?
DATUK HAJI ABDUL MUIS PICHO: Saya anak bungsu dari lima adik beradik. Ayah saya, Haji Picho bin Belu bekerja sebagai pekerja workshop kereta manakala ibu saya Hajah Saiba binti Beddu pula berniaga.Saya mula bersekolah di SRK Bombalai dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian saya ke Abaca Secondary School hingga lulus Lower Certificate Of Education (LCE) pada 1972. Kemudian saya menyambung pelajaran di Holy Trinity hingga lulus Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1974. Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Federal Institute of Technology (FIT) dan berjaya memperolehi Diploma Kejuruteraan Automotif (1978)  dan Ijazah Kejuruteraan Automotif (1980).

UB: Selepas tamat persekolahan, di mana datuk bekerja?
MUIS: Saya bekerja di Bengkel BAL Estate Bombalai selama dua tahun iaitu dari tahun 1983 hingga 1984 di Bahagian Kejuruteraan Automotif. Kemudian saya bekerja sebagai CEO di Ladang Ternakan Manuk Mas dibawah Syarikat Rastamas Sdn Bhd selama 10 tahun (1984 hingga 1993).


UB: Khabarnya masa dulu, YB suka main bolasepak? Apa posisi?
MUIS: Masa kanak-kanak dahulu saya memang aktif dalam sukan bola sepak. Namun pasukan kami Red Hawk. Saya bermain di posisi midfield. Saya pernah bermain di peringkat kampung di Bal Estate. Kemudian saya jadi kapten bola dan kami pernah bertanding bolasepak di peringkat kampung.

UB: Selain itu, apa lagi sukan masa kanak-kanak?
MUIS: Salah satu permainan yang saya suka ialah main guli. Permainan itu popular di zaman kami masih kanak-kanak. Saya juga suka mandi sungai, pulang panjat kelapa. Saya memang jadi tukang panjat kelapa. Selepas sekolah, saya suka memanjat kelapa, itu antara hobi saya masa itu.  Di kalangan rakan-rakan, mereka panggil saya ketua kampung. Walaupun boleh dikatakan nakal juga, tapi kenakalan remaja dahulu tidak seperti sekarang.

UB: Ada juga membantu ibu bapa?
MUIS: Dari kecil lagi, memang saya suka membantu ibu bapa bertanam sayur dan sebagainya. Saya ikut juga menjual sayur, bahkan saya pernah menjual sayur di Pasar Besar Tawau.  Kadang-kadang saya mampu memperolehi jualan hingga RM3,000 sebulan, semata-mata kerana jual sayur.Selain itu, jual ayam. Jual ayam memang antara bisnes keluarga. Kerja-kerja sebegini tidak asing bagi saya. Saya biasa di kebun. Kami bukan orang senang. Kami orang susah juga. Sebab itu, saya boleh bergaul dengan siapa-siapa saja kerana memang saya bukan dari orang yang senang.

UB: Apa nasihat yang selalu diberikan oleh orang tua kepada Datuk?
MUIS: Ibu bapa saya selalu menekankan supaya saya menjadi anak yang baik, belajar dengan baik, jangan lupa solat, jangan lupa mengaji dan sebagainya. Pesan-pesan ibu dan bapa  saya, saya ingat selalu. Tanpa didikan, bimbingan dan kasihsayang mereka, disiplin yang mereka terapkan, saya tak tahu apa jadi kepada diri saya.

UB: Apa cita-cita Datuk dulu?
MUIS:  Saya memang suka kerja workshop, bengkel baiki kereta. Sebab itu, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif. Ini mungkin kerana pengaruh ayah saya, yang kerja sebagai fitter di workshop, hingga mendorong saya kerja dalam bidang membaiki kereta dan sebagainya. Dulu orang kerja gaji dua kali sebulan, pertengahan bulan ada pinjaman. Kadar gaji masa itu sekitar RM100 ringgit sahaja. Memang agak kecil jika dibandingkan dengan sekarang.

UB: Hobi Datuk di masa lapang?
MUIS:   Jika ada masa lapang, saya suka berbasikal. Saya berbasikal di sepanjang jalan Tanjung Lipat hingga ke UMS. Jika tidak berbasikal , saya suka berjogging, ini antara hobi yang saya suka. Selain itu, saya juga suka memancing,membaca dan melancong.

UB: Sejak bila datuk mula terlibat dalam politik?
MUIS: Saya mula terlibat dalam politik sejak 1992. Mula-mula menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO P.165 Tawau (1992-1993), Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian P165 Tawau (1993-1996) Ketua Pemuda UMNO Bahagian P165 Tawau (1996-1999), Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tawau (2001-2005) Naib Ketua UMNO Bahagian P191 Kalabakan (2006 -2008) Timbalan Ketua UMNO Bahagian P 191 Kalabakan  (2008-2018), Ketua Cawangan Parti Warisan Sabah Kampung Pasir Putih, Tawau.

UB: Apa yang membuat datuk bergiat dalam politik?
MUIS:  Melalui politik, saya berharap dapat memperjuangkan dan membela nasib dan kepentingan rakyat.

UB: Pernah terfikir jadi wakil rakyat?
MUIS: Sebenarnya saya tidak pernah terfikir menjadi wakil rakyat. Walaupun dulu,ketika masih USNO, orang selalu suruh saya bertanding tapi saya tidak berminat. Masa itu, saya menumpukan perhatian dalam perniagaan. Selepas itu, barulah saya menyertai UMNO sebagai AJK Pemuda Bahagian. Kalau ditanya, pernahkah saya terfikir menjadi wakil rakyat, saya tidak pernah terfikir.Ketika  dinamakan sebagai calon  dalam pilihan raya DUN 2008, saya sendiri tidak pernah menyangka. Saya tidak menghantar profail seperti yang diminta. Sebab itu saya tidak menaruh harapan. Tetapi kemudian saya mendapat panggilan daripada rakan-rakan yang menyatakan nama saya disebut sebagai calon di DUN Sebatik. Masa itu, saya masih di Kota Kinabalu, tetapi dalam perjalanan pulang ke Tawau. Tidak lama kemudian, saya menerima lebih banyak panggilan telefon yang menyatakan hal yang sama. Akhirnya saya yakin bahawa saya dicalonkan dan kemudian menang DUN Sebatik dalam PRU12. Selebihnya adalah sejarah.

UB: Sejak terpilih sebagai wakil rakyat, bagaimana Datuk mengagihkan masa memandangkan Datuk juga dilantik sebagai Pembantu Menteri?
MUIS: Biasanya saya balik ke Tawau setiap petang Jumaat, jika tidak ada apa apa program kementerian atau mewakili menteri.Biasanya saya balik ke KK semula pada hari Isnin atau Selasa. Sepanjang berada di kawasan, jika tidak ada acara,  saya sentiasa turun padang, menemui rakyat di kawasan saya dan mengetahui permasalahan dan aspirasi mereka. Keutamaan saya ialah kepentingan rakyat.


UB: Mungkin Datuk boleh ulas sedikit mengenai Klinik Kesihatan Sebatik?
MUIS: Pembinaan Klinik Kesihatan Sebatik jenis Enam di Kampung Tamang Pulau Sebatik bernilai RM20 juta. Perancangan itu sebenarnya sudah lama. Peruntukan klinik sudah diluluskan pada penggal lepas.Hanya menunggu tender daripada Jabatan Kerja Raya Sabah dan akan dilaksanakan pada tahun 2020. Jika siap kelak ia akan mempunyai perkhidmatan doktor 24 jam sehari. Kita berharap ia akan siap dalam RMK12. Klinik Kesihatan itu amat penting kerana sekarang penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di bandar Tawau. Saudara bayangkan jika berlaku kes kecemasan pada waktu malam atau ketika air laut surut. Alhamdulillah, dengan adanya Klinik Kesihatan Sebatik ini kelak, ia akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk.

UB: Bagaimana pula mengenai kemudahan lain seperti pembinaan jalan raya?
MUIS:  Kita bersyukur kerana pembinaan jalan raya dari Sungai Pukul ke Sungai Bergusong sejauh 13 kilometer yang menelan kos sebanyak RM50 juta akan dilaksanakan dalam RMK 12.  Ada juga penyambungan submarine paip dari Tanah Besar Tawau ke Pulau Sebatik dengan kos RM50 juta.

Selain itu juga penyambungan  pair air bersih  juga akan dilaksanakan dalam RMK 12 melibatkan tujuh kampung dengan perbelanjaan sebanyak RM19 juta. Ini akan menyelesaikan masalah bekalan air di tujuh buah kampung iaitu Kampung Bergusong kecil, Kampung Sungai Limau,Kampung Lahat Lahat,Kampung  Pisak-pisak, Kampung Sungai Haji Kuning dan Kampung Sungai Melayu.

UB: Sebelum ini, Datuk pernah mengulas mencadangkan untuk mewujudkan bandar sempadan. Boleh tolong jelaskan sedikit?
MUIS: Kita mahu mengwujudkan Bandar Sempadan di Sungai Melayu. Jika ini menjadi satu kenyataan, kita akan mendapat limpahan dari segi ekonomi yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat kita di Sebatik. Sebagaimana yang kita tahu, pulau Sebatik di wilayah Indonesia mempunyai kira-kira 70,000 penduduk dan enam wakil rakyat manakala di Nunukan memiliki penduduk sebanyak 100,000 orang. Sudah tentu jika kita dapat membina bandar sempadan, ia membuka peluang  ekonomi dan perniagaan kepada kita untuk menjual barangan produk Malaysia kepada jumlah pasaran yang lebih besar.

UB: Terima kasih kerana sudi menerima pelawaan untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Minta maaf kerana mengambil sedikit masa Datuk walaupun saya diberitahu datuk ada mesyuarat penting di pejabat.
MUIS: Terima kasih banyak.