AMBIL PELUANG JIKA TIDAK MAHU KETINGGALAN: FMM
Pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantar Timur memberikan banyak ruang untuk investasi dan kerjasama ekonomi dan perdagangan. Kalimantan Timur dan wilayah wilayah di sekitarnya dijangka mengalami pertumbuhan pesat. Wilayah itu memang terkenal memiliki hasil pertanian dan perikanan yang melimpah, perlombongan arang batu, minyak dan gas, dan banyak peluang kerjasama boleh dirintis oleh golongan usahawan dan pelabur dalam pelbagai bidang ekonomi. Negeri Sabah yang terletak berdekatan dengan Kalimantan sudah pasti mempunyai banyak kelebihan. Cepat cari peluang, jika tidak mahu ketinggalan, kata Pengerusi Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), James Ha Haw Yew yang mengetuai delegasi FMM dalam misi kunjungan ke Tarakan dan Balikpapan pada 17-22 Februari.
James Ha Haw Yew,49, yang terpilih sebagai Pengerusi FMM Sabah pada Julai 2018 mengetuai rombongan seramai 12 ahli perniagaan yang bergiat dalam pelbagai bidang ekonomi. Antaranya Dong Sin Food Sdn Bhd,Powerco Trading (KK) Sdn Bhd, Sabah Softwoods Hybrid Fertiliser Sdn Bhd, Life Water Industries Sdn Bhd, Sika Kimia Sdn Bhd, Twinine Sdn Bhd,HKT Industries Sdn Bhd, Heera Food Industries Sdn Bhd, dan Taluwang Sdn Bhd. Syarikat-syarikat itu bergerak dalam bidang pelbagai bidang seperti makanan, pembungkusan pembuatan sos, mee kering, perabot, kimia dan sebagainya.
Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN berpeluang menemuramah Pengerusi FMM Sabah, James Ha Haw Yew di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Balikpapan, Kalimantan Timur mengunjungi kunjungan untuk menjalin kerjasama ekonomi dan perniagaan antara Sabah dan Kalimantan. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh terangkan sedikit mengenai FMM?
JAMES HA HY: FMM adalah nama singkatan Federation of Malaysian Manufacturers atau Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia. FMM mempunyai sembilan cawangan di seluruh negara, salah satunya ialah FMM Sabah. FMM Sabah ditubuhkan pada 1998 dan kini mempunyai ahli sebanyak 37 pengilang-pengilang. Sejak ditubuhkan FMM Sabah sudah memainkan peranan secara konsisten untuk menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negeri.
UB: Apa fungsi FMM Sabah?
JAMES: Antara fungsi FMM ialah menjadi suara kepada pengilang pengilang Malaysia. Ia menjadi penghubung kepada mereka yang menjalinkan hubungan dengan pengilang Malaysia untuk pelaburan, perdagangan dan perkhidmatan.
Kedua, kami juga menyediakan latihan bersama Human Resources Development Fund (HRDF) atau PSMB untuk memberikan kursus dan latihan dan persijilan kepada ahli dan orang awam. Antara objektif FMM adalah membantu untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam pelbagai kemahiran industri, kemampuan pengurusan yang baik dalam mendepani cabaran Malaysia yang bergerak untuk mencapai status negara maju.
UB: Apa beza antara Federation of Malaysian Manufaturers (FMM) dengan Federation of Sabah Industries (FSI)? Mungkin ada yang keliru?
JAMES: Kita boleh lihat pada namanya. FSI adalah persekutuan industri yang khusus di Sabah manakala FMM adalah persekutuan yang lebih luas di peringkat nasional.
UB: Mungkin ramai yang ingin tahu tujuan kunjungan ke Tarakan dan Balikpapan?
JAMES: Tujuan kunjungan kami ke Tarakan dan Balikpapan ialah untuk menjalin hubungan dan mencari peluang ekonomi dan perniagaan di Indonesia. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Ibu Kota Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur. Kita tidak mahu ketinggalan. Peluang ini perlu dimanfaatkan untuk mencari peluang baru dan mencari rakan niaga untuk melabur dalam pelbagai sektor. Sebelum ini, kebanyakan misi dagang kita lebih diarahkan kepada China, padahal banyak juga peluang yang terdapat di kawasan BIMP-EAGA.
Melalui kunjungan ini, FMM memberi peluang kepada ahlinya untuk meneroka atau mencari peluang dan mengambil bahagian dalam pembangunan di pulau Borneo. Saya fikir banyak peluang perniagaan terbuka, pasar terbesar di Asia Tenggara.
UB: Apakah misi kunjungan kali ini berjaya mencapai matlamatnya?
JAMES: Misi kita kali ini disifatkan sebagai berjaya. `Business matching’ yang diadakan membuka ruang kepada ahli FMM melalui saluran yang betul untuk melabur dan berniaga di Kalimantan.
Selain itu, misi kunjungan kali ini adalah untuk menyokong dan menyusuli langkah dan usaha yang dirintis oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Haji Apdal untuk menjalin kerjasama dengan Indonesia.
UB: Selepas berkunjung ke Tarakan dan Balikpapan, apa masalah yang tuan lihat dalam mengukuhkan hubungan antara Sabah dan Kalimantan?
JAMES: Salah satu masalah yang kita lihat ialah masalah pengangkutan kapal atau penghantaran barang. Kapal ada tetapi volume atau kuantiti barang yang diangkut tidak begitu banyak. Misalnya barang dari Tarakan ke Tawau lebih banyak daripada barangan yang dihantar dari Tawau ke Tarakan. Melihat situasi ini, kita mencadangkan supaya salah satu pelabuhan sama ada pelabuhan Tawau ataupun POIC, pelabuhan Sandakan ataupun pelabuhan Sepanggar sebagai transhipment hub. Barangan dari Tarakan atau Balikpapan dihantar ke Ini lebih dekat berbanding jika dihantar ke Surabaya atau Singapura.Pelabuhan-pelabuhan di Sabah memiliki potensi yang baik untuk menjadi transhipment hub untuk penghantaran barang dari kawasan BIMP Eaga seperti Tarakan dan Balikpapan kerana kedudukannya yang lebih dekat.
Setakat ini hanya, Sabah mencatatkan kira-kira 380,000 kontena yang keluar dalam masa setahun. Jumlah ini masih sedikit kerana Sabah mempunyai banyak produk tempatan yang menarik yang diusahakawan oleh usahawan Industri Kecil dan Sederhana. Kita berharap bilangan kontena yang yang keluar dari negeri ini mencapai 500,000 setahun seperti yang dikatakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau.
Pertumbuhan ini secara tidak langsung memberi galakan kepada syarikat untuk turut sama meningkatkan pengeluaran produk tempatan dari negeri ini. Kerajaan dan rakyat perlu menyokong dan membeli produk tempatan kerana ia setanding produk import malah negara maju turut mengimport teknologi dan produk Malaysia
Ini juga bagi mendukung usaha kerajaan untuk memajukan BIMP-EAGA Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia, Malaysia dan Filipina. Kerjasama sub regional ini sangat penting bagi pembangunan kawasan BIMP EAGA. Sebab itu, fasiliti seperti pengangkutan laut, kemudahan penghantaran barang dan sebagainya perlu lebih efesien. Pengangkutan laut adalah urat nadi yang menghubungkan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia khususnya di kawasan BIMP EAGA ini. Oleh sebab itu, perlu langkah yang lebih intensif untuk melicinkan lagi perdagangan dan meningkatkan konektiviti di Wilayah BIMP EAGA dan diharapkan ia mampu meningkatkan kerjasama ekonomi antara Sabah dan Indonesia.
UB: Apa usaha yang perlu dilakukan?
JAMES: Kita perlu lebih banyak pengeluaran produk tempatan untuk tujuan eksport. Kita perlu bergerak lebih pantas. Kerajaan perlu memberi lebih banyak sokongan kepada produk tempatan, misalnya memberikan insentif bagi mengurangkan kos pengeluaran. Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak kawasan untuk industri kerana KKIP tidak lagi mampu menampung keperluan pengilang.
UB: Mungkin ada cadangan yang perlu dikemukakan?
JAMES: Kita mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada produk tempatan. Gunakan produk tempatan. Selain itu, kita meminta kerajaan agar mengurangkan kos harga tanah untuk industri. Lebih banyak tanah diperlukan untuk mendirikan kilang dan sebagainya. Tanah yang sedia ada di KKIP tidak dapat menampung keperluan pengilang. Kita mencadangkan kawasan yang berdekatan dengan KKIP kerana infrastrutkurnya sudah ada. Jika kos tanah dapat diturunkan dan penggunaan produk mendapat sokongan, kita sudah boleh survive kerana mencipta iklim yang baik.
Utamakan produk Sabah.Kerajaan Sabah harus bertindak cepat .Jangan bertangguh lagi
UB: Terima kasih banyak kerana sudi berkongsi maklumat mengenai kunjungan FMM ke Tarakan dan Balikpapan.
JAMES: Terima kasih banyak.Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang membantu memfasiliti kunjungan ini. Terima kasih.