Hari Keluarga Ikatan Penulis Sabah (IPS)) dan Majlis Pertemuan Penghujung Tahun 2019 di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHa) menjadi salah satu program penting sebelum helai kalendar berganti halaman pada 31 Disember lepas
Sejak petang, penulis yang terdiri daripada ahli-ahli IPS, rakan dan sahabat IPS mulai berdatangan. Anak-anak tidak sabar lagi memainkan kompang. Sembari minuman petang dihidangkan, api dihidupkan menggunakan arang untuk memanggang ikan dan sayap ayam.
Beberapa jenis permainan kanak-kanak juga diadakan yang dikelola Puan Fauziyah Nurdin. Sambutan anak-anak Baitul Muqaddam dan anak-anak sekitar luar biasa.Mereka juga mengadakan persembahan nyanyian sebelum program dihentikan kira-kira jam 5.30 sambil menunggu azan maghrib.Hadiah-hadiah disumbangkan AJK Puan Amina Ali.
Dewan Baitul Muqaddam itu penuh. Semua saf terisi untuk menunaikan solat yang diimamkan Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin. Selepas itu diadakan majlis doa selamat dan bacaan tahlil sempena Sambutan Ulang Tahun 30 Tahun IPS (1990-2020). Ustaz Awang Abdul Muizz sempat menyampaikan tazkirah sebelum solat Isyak.
Kemudian diadakan majlis memotong kek ulang tahun. Lalu sekali lagi persembahan kompang sebelum dilanjutkan dengan persembahan baca puisi yang dimulakan oleh Norawi Haji Kata dan Mabulmaddn Hj Shaiddin.
Sebelum itu, Pengurus Rupha, Haji Sukor Usin atau nama penanya Hasyuda Abadi sempat memperkenalkan Rupha kepada khalayak pada malam itu serta beberapa program yang kerap diadakan.
Sebagai Ketua Satu IPS, Abd Naddin Haji Shaiddin mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli-ahli IPS yang hadir. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Rupha, khususnya kepada Hasyuda Abadi dan isteri, Hajah Sahara Jais yang sudi menjadi tuan rumah.
Kekuatan IPS sebenarnya bergantung kepada ahli-ahlinya. Semangat kesukarelawanan dan kesanggupan untuk memberikan sumbangan masa, tenaga dan juadah makanan dan minuman sesuatu yang wajar diapresiasi dan kekal sebagai pendekatan IPS yang lebih terarah kepada semangat kekeluargaan.
Beliau memberitahu beberapa program akan dilaksanakan sepanjang tahun 2020, tetapi beliau tidak memberikan perincian lanjut mengenai program yang dirancang sebaliknya akan diwarwarkan kemudian.
Sambil menunggu tayangan video mengenai Kembara Sastera IPS ke Belitong, Jakarta dan Bandar Seri Begawan pada 2 hingga 7 Disember, pembacaan puisi diadakan, antaranya oleh Dr Mohd Fuad Bebit atau Cfu Art.
Pembaca puisi lain antaranya Yatim Ahmad, Nelson Dino, Haji Gazali Suhaili, Puan Jaliha Jaman atau dikenali sebagai Kak Lya sempat mempersembahkan nyanyian dan sebagainya.
Pelbagai juadah yang disediakan pada malam itu. Selain sayap ayam yang disumbangkan puan Amina Ali, dan ikan, pelbagai judah yang disediakan tuan rumah, Mohd Izzuddin Fitri membawa juadah kuih muih, ada kuih yang dibuat sendiri oleh isterinya, Awang Abdul Muizz membawa kek dan minuman,Cikgu Fauziah Haji Moksin dan suami membawa penjaram, mee goreng dan tauhu sumbat ,tidak ketinggalan Yatim, Cikgu Norawi dan Mabulmaddin,Kak Lya dengan gulai batang keladi, kari kaki ayam, selain beberapa juadah yang disumbangkan oleh rakan dan sahabat IPS, Semuanya menjadikan majlis itu agak istimewa.
Kehadiran ramai ahli dan kerabat dan rakan IPS malam itu amat membanggakan. Memang tidak semua dapat disebutkan satu persatu. Antara yang turut hadir Puan Darmata Haji Matlan, Eco Prayitno Joko dan rakan-rakan, dan sebenarnya ramai lagi yang tak sempat disebutkan namanya.Majlis berakhir selepas pertunjukan bunga api kelihatan cantik dari jauh.
Kami sempat lagi bergambar kenangan bagi menyambut detik detik awal ketibaan tahun 2020.