PERTEMUAN DENGAN PAK SANEM, BUPATI YANG BAIK HATI
SEKIRANYA ada yang bertanya, apa antara pengalaman paling manis sepanjang kunjungan ke pulau Belitung, jawapannya ialah pertemuan dengan Bupati Belitung, Bapak H Sahani Salleh.
Beliau bermurah hati mengadakan majlis makan malam bagi mengalu-alukan kunjungan kami, peserta program Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) ke pulau yang terkenal dengan nama Laskar Pelangi itu.
Selepas tiba di Bandara Hanandjoeddin, kami terus dibawa melawat Danau Kaolin, sebuah tempat dengan air tasik yang membiru. Selepas itu, kami ke Rumah Adat Melayu Belitung sebelum dijamu makan tengahari oleh Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propinsi Bangka Belitung di Pondok Kelapa. Selepas itu kami melanjutkan kunjungan ke Wisata Aik Rusa Berehun Desa Terong, kemudian melihat keindahan pantai Tanjung Kelayang dan selepas itu, ke Tanjung Tinggi, lokasi syuting Laskar Pelangi.
Selepas mendaftar masuk di Havana Mutiara, sempat bersiram mandi sekejap sebelum bergegas ke Restoran Rumah Pandan (Pandan House Restaurant).
Majlis hanya bermula selepas ketibaan Pak Sanem, nama panggilan yang popular di kalangan masyarakat Belitung kepada Bupati yang terpilih sekali lagi memimpin Belitong 2018-2023.
Acara malam itu dimulakan dengan tarian bagi menyambut tetamu. Antara yang hadir dalam majlis itu ialah Kepala Dinas Pendidikan Belitung, Pak Junaidi, Pak Imanuddin Siregar, yang mewakili KJRI Kota Kinabalu, Ketua Satu IPS, Abd Naddin Shaiddin, Ketua Dua IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Ramli Jusoh, tokoh penulis Sabah bersama 17 lagi anggota rombongan penulis dari Sabah, Labuan dan Semenanjung Malaysia yang menyertai rombongan itu.
Antara yang turut serta dalam rombongan ialah Abdul Rahman Haji Halib, mantan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pendidikan Pahang, Cikgu Sahar Misron, mantan Pengetua dan Ketua Dua Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila), Haji Dzulkarnain HM, penulis Nostalgia Padang, Cikgu Norawi Haji Kata, pemenang Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan ramai lagi.
Selepas tarian, setiap tetamu dipersilakan untuk memakan sekapur sirih sebagai tanda penghormatan kepada tetamu. Kemudian disusuli ucapan oleh Pak Sanem. Beliau memberitahu mengenai keterikatan Belitung dengan pulau Borneo dari segi sejarah.
Hubungan Belitung dengan Borneo sangat dekat, katanya. Beliau sendiri memberitahu, bahawa nenek moyangnya Tok Letang, berasal dari angkatan Iranun yang pernah membantu Sultan mahmud III di Riau dan kemudian berlayar ke Belitong.
Tok Letang seorang pahlawan yang menjadi legenda zaman bahari. Beliau berkata, dari segi bahasa, ada beberapa nama tempat di Belitong, yang sudah tidak diketahui ertinya di kalangan masyarakat, setelah ditelusuri ternyata memiliki makna.
Beliau juga menceritakan kunjungannya ke kampung Rampayan Laut Kota Belud, ketika menjadi tamu kepada mantan Speaker Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi beberapa tahun yang lalu.
Pak Sanem menggesa hubungan baik antara dunia Melayu perlu diperkukuhkan lagi. Sambil itu, beliau mengundang peserta untuk hadir dalam satu pertemuan yang dianjurkan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang dijangka diadakan pada bulan Mac 2020.
Pak Bupati juga menyatakan rasa gembira menerima kunjungan penulis dalam Program Kembara Sastera IPS dan berharap rombongan meluangkan masa untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar Belitong.
Dalam ucapan balasnya, Ketua Satu IPS, Abd Naddin Haji Shaiddin menyampaikan ucapan terima kasih atas kesudian pak Bupati untuk menerima kunjungan penulis dari Sabah itu.
Selain itu, Abd Naddin juga menyampaikan penghargaan atas dukungan pak Bupati khususnya Pemerintah Daerah Belitung dalam bentuk penginapan dan transportasi, yang sudah pasti membantu melancarkan lagi program itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program Kembara Sastera IPS 3-7 Disember itu.
Sambutan yang luar biasa dan begitu baik itu tetap terpahat dalam hati sebagai satu kenangan manis di Belitong.Pengalaman yang diperolehi itu pasti akan dituangkan oleh penulis penulis dalam karya mereka mengenai keindahan dan keramahan orang Belitung.
Turut diadakan ialah majlis penyampaian cenderamata. Pak Sahani sempat mengalungkan selempang kepada Abd Naddin sebagai anggota kehormat masyarakat Belitong.
Beliau juga sempat membacakan beberapa sajak Norawi Haji Kata selepas menerima buku Kumpulan Puisi Akta Batin daripada penulis yang pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah itu. Selain itum H Dzulkarnain HM juga menyampaikan beberapa buku karyanya sebagai cenderamata kepada pak Bupati.
Waktu bergerak dengan begitu cepat. Kami meninggalkan Restoran Rumah Pandan itu sambil menikmati betapa indahnya kenangan. (Gambar ihsan Hussein Mohammad)