Jumaat, 11 Oktober 2019

ABUHURAIRA ABDURRAHMAN, MUFTI BANGSAMORO YANG TERUS BERDAKWAH

Tags

ABUHURAIRA ABDURRAHMAN, MUFTI BANGSAMORO YANG TERUS BERDAKWAH

NAMA Sahibussamahah Alfadhil  Ustaz Abuhuraira Abdurrahman adalah satu nama yang tidak asing lagi di negeri Sabah. Beliau pernah berbakti selama  38 tahun dalam bidang dakwah di negeri ini. Bagaimanapun pada tahun 2012, Ustaz Abuhuraira kembali ke Mindanao dan kemudian dilantik sebagai Mufti Besar Mindanao. Kini dalam usianya kira-kira 80 tahun, Ustaz Abuhuraira masih berkhidmat sebagai Mufti BARMM (Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao).

Ustaz Abuhuraira Abdurrahman Udasan  lahir di Kitango, Dulawan (kini dikenali sebagai Datu Piang), Wilayah Cotabato, Mindanao pada 1939. Beliau mendapat pendidikan awal di Kitango Primary School manakala pelajaran menengahnya  di Dulawan Central Elementary School dan kemudian di Cotabato High School pada 1948-1958.  Abuhuraira memperolehi pendidikan agama di Madrasah Rashidah (sekarang Ma'ahad Al Rahmaniyah,Maganoy, Sharif Aguak , Maguindanao pada 1958-1964. Selepas itu, Ustaz Abuhuraira melanjutkan pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah bermula tahun 1964 sehingga mendapat `Al-Ijazah Al-Aliah ' pada 1971.  Sekembalinya ke Mindanao, beliau dilantik sebagai Pengarah Ma'ahad Al Rahmaniah, Maganoy, Sharif Aguak pada 1971 hingga 1972. Dalam tempoh 1972-1974, beliau sempat masuk ke dalam hutan untuk menyertai perang  menentang kezaliman rezim pemerintahan Marcos.

Kerana kefasihan dan penguasaannya dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, Arab, Melayu dan Tagalog selain beberapa  bahasa tempatan seperti Maguindanao, Maranao, Davaonon dan Sulug, beliau diberi tugasan dalam urusan diplomatik dan hubungan luar negeri.

Selepas itu, pada tahun 1974 hingga 1986, beliau menjadi penyampai Suara Malaysia di RTM. Bagaimanapun, pada tahun 1986, Abuhuraira berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Islam atau Darul Ifta Arab Saudi sebagai mubaligh. Beliau pernah menyertai pelbagai persidangan Islam di peringkat antarabangsa. Selain itu, beliau pernah diutuskan untuk  bertemu dengan pemimpin terkemuka dalam dunia Islam seperti Prof Necmettin Erbakan, mantan Presiden Turki dan KH Abdul Rahman Wahid mantan Presiden Indonesia. 

Ustaz Abuhuraira juga pernah bertugas sebagai Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehinggalah beliau mengundurkan diri pada tahun 2012. Beliau kembali ke tanahairnya di Mindanao pada 2012 selepas Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan Kerajaan Filipina menandatangani Framework Agreement On The Bangsamoro pada 15 Oktober 2012. Walaupun diajak untuk terus berkhidmat dalam bidang dakwah di Sabah, tekadnya untuk pulang tidak dapat dihalang’ “I want to serve my country,” katanya. Kini beliau diamanahkan sebagai Mufti Kerajaan BARMM.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN SHAIDDIN sempat mewawancara beliau di Petagas ketika beliau bercuti untuk menjenguk cucunya di Sabah. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Bolehkah ustaz ceritakan apa bidang tugas mufti bangsamoro?
USTAZ:  Antara tugas mufti BARMM adalah untuk menentukan waktu melihat anak bulan untuk permulaan puasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, Mufti juga menentukan penentuan 10 Zulhijjah. Mufti juga diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil halal. Mufti juga menentukan mengenai mana-mana budaya Islam yang mengikut syariat Islam dan mana yang bertentangan dengan agama dan sebagainya.

UB: Ustaz, ramai yang ingin tahu bagaimana penerimaan umat Islam di Mindanao terhadap perkembangan politik terutama selepas Bangsamoro Organic Law (BOL) diluluskan dan seterusnya Pentadbiran Transisi Bangsamoro dibentuk?

USTAZ: Sambutan dan sokongan yang diberikan oleh orang Islam di Mindanao terhadap pelaksanaan BOL dan pembentukan BTA adalah amat memberangsangkan sekali. Selepas BOL diluluskan , sebenarnya cabaran utama ialah ketika plebiscite dimana semua rakyat  diminta memilih sama ada menyokong atau tidak. Sesuatu yang diluar jangkaan apabila sokongan yang diterima sangat luar biasa.
Kemudian Kerajaan BARMM (Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao) dibentuk yan diketuai 41 orang yang dilantik oleh MILF dan 39 yang dinamakan oleh Kerajaan. Kabinet yang terdiri daripada 15 menteri diketuai Ketua Menteri, Al Haj Murad Ibrahim dibentuk dengan dua timbalan ketua menteri, satu mewakili Lanao dan satu lagi mewakili wilayah kepulauan. Selepas pemergian Ustaz Ghazali Jaafar, kini tempatnya sebagai Speaker diambil alih oleh Timbalannya, Pangalian Balindong yang kini dilantik sebagai speaker baru.

UB: Bagaimana ustaz melihat perkembangan terbaru di Mindanao? Apakah ia boleh keamanan berkekalan di Mindanao?
USTAZ: Saya yakin dengan sokongan luar biasa yang diberikan oleh rakyat, keamanan dan kedamaian akan  berkekalan seterusnya kemajuan dan kesejahteraan rakyat  akan dapat dinikmati.

UB: Bagaimana pandangan Islam terhadap keganasan? Kita lihat masih ada unsur dalam masyarakat yang ekstrem seperti apa yang berlaku di Marawi City misalnya?

USTAZ: Islam memang melarang umatnya daripada melakukan sebarang bentuk kekerasan dan keganasan kepada orang lain. Islam sendiri adalah agama kedamaian. Islam tidak boleh memerangi orang lain kecuali jika mereka diperangi. Sebab itu, saya pernah ditanya mengenai apa tindakan terhadap kumpulan yang mendorong orang melakukan keganasan. Saya keluarkan fatwa bahawa mereka boleh diperangi. Keganasan atau terorism tidak ada tempat dalam Islam, bahkan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

UB: Oh ya. Sebelum ini ustaz pernah berkhidmat sebagai mubaligh di Sabah. Boleh ceritakan sedikit?
USTAZ: Saya pernah berkhidmat selama 38 tahun dalam bidang dakwah di negeri Sabah. Saya mula bertugas sebagai penyampai Suara Malaysia di RTM pada 1974 hingga 1986. Selepas itu,, saya berkhidmat di bawah Darul Ifta atau Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi sebagai Mubaligh hinggalah saya bersara ketika usia mencapai 63 tahun. Kemudian saya dilantik pula sebagai Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang ketika itu dipimpin oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai. Saya memegang jawatan sebagai Pengarah Dakwah Usia sehinggalah saya mengundurkan diri pada 2012 untuk kembali ke Mindanao dan menceburkan diri dalam bidang dakwah di sana.

UB: Sebelum itu, di mana Ustaz belajar?
USTAZ: Selepas lulus di Madrasah Rashidah (sekarang Ma'ahad Al Rahmaniyah,Maganoy, Sharif Aguak , Maguindanao pada 1958-1964) saya melanjutkan pengajian di  Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah bermula tahun 1964 sehingga mendapat `Al-Ijazah Al-Aliah ' pada 1971. Saya juga pernah belajar bidang pengajian agama di Jerusalem  pada tahun 1966 iaitu sebelum pendudukan Israel pada 1967.

UB: Ketika belajar di Madinah, siapa antara rakan seangkatan dengan ustaz di sana?
USTAZ: Antaranya Hashim Nuh, Ali Ismail. Di Kaherah masa itu, pelajar dari Mindanao yang belajar disana ialah Ustaz Hashim Salamat,Khalifah Anando, Duli Ahmad dan sebagainya.

UB: Masa itu, siapa pelajar Malaysia di sana?

Dari Malaysia, antara pelajar yang belajar di Madinah , ialah Ustaz Tuan Guru Datuk Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, Allahyarham, Datuk Dr Abdullah Mohd Zin, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Alllahyarham Ustaz Haji Harun Taib, dan  mantan mufti negeri Sabah, Datuk Haji Ismail Abbas.

UB: Selepas balik dari Universiti Islam Madinah, apa kerja yang ustaz lakukan?
USTAZ: Saya balik mengajar dan menjadi Pengarah Ma’ahad Al Rahmaniah, Maganoy, Sharif Aguak pada 1971 hingga 1972. Apabila Rejim Marcos menguatkuasakan undang-undang tentera, Martial Law, saya ikut bergerila di hutan pada 1972 hingga 1974. Tetapi kemudian  kerana  kemampuan saya yang baik dalam penguasaan pelbagai bahasa seperti Arab,Inggeris, Tagalog dan pelbagai bahasa tempatan, saya lebih banyak ditugaskan dalam diplomatik dan urusan luar negeri dengan dunia Islam.

UB: Menarik sekali kisah hidup ustaz. Selepas itu, bila pula mula bertugas di Sabah?

USTAZ: Saya mula bertugas di Sabah pada tahun 1974, sebagai penyampai Suara Malaysia RTM dalam siaran bahasa Maguindanao dan kemudian Tagalog.

UB: Mungkin Ustaz boleh ceritakan apa pengalaman manis sepanjang berada di Sabah?

USTAZ: Banyak kenangan dan pengalaman sewaktu berkhidmat di Sabah. Pernah satu ketika  Almarhum Tun Datu Mustapha  membawa kami ke Arab Saudi untuk mengunjungi King Fahd. Sekitar tahun 1975 atau 1976. Ketika itu , beliau bertanya siapa ustaz yang paling mahir bercakap bahasa Arab.Kawan-kawan kemudian menunjuk saya.. Selepas itu,beliau mengajak saya dan Datuk Dr Hasbollah untuk bersama mengiringi beliau untuk melawat Arab Saudi seterusnya menunaikan umrah. Jika ikut rombongan beliau, kita tak perlu susah hati kerana beliau Tun selalu menjaga kebajikan kita, dan kita tidak pernah rasa lapar kalau ikut rombongan beliau.  

Ada satu peristiwa yang saya ingat sampai sekarang.Sebelum balik ke Sabah,beliau memberikan saya duit  USD300, duit   untuk anak-anak, katanya .Kemudian kerana sudah duit,  saya membeli sebuah mesin taip dengan  huruf arab untuk kegunaan saya. Kemudian tidak semena-mena mesin taip itu tidak berfungsi. Apabila beliau tahu mengenai hal itu, beliau berkata, itulah saya sudah pesan, duit itu untuk anak-anak.
Tun Mustapha seorang yang amat prihatin. Kadang-kadang beliau bercakap dalam bahasa Suluk dengan saya.

UB: Selepas pulang ke Mindanao,apa antara perkara yang ustaz rindukan di Sabah? Makanan misalnya?
USTAZ: Saya lama tak makan roti canai. Bila berada di Sabah, saya mesti cari roti canai

UB: Terima kasih ustaz kerana sudi diwawancara.
USTAZ: Terima kasih kembali.