Jangan kalah kira oleh kira-kira
Yang banyak kira-kira, menjadi kura-kura. Barangkali itulah kata-lata yang tepat untuk menggambarkan situasi yang alami sekarang. Banyak berkira-kira sehingga sesuatu langkah yang perlu dibuat, keputusan yang patut diambil, lambat dilaksanakan.
Seperti kura-kura. Lambat kerana mungkin banyak berkira-kira.Meskipun dalam cerita rakyat, kita temui kisah bagaimana kura-kura dapat mengalahkan sang kancil yang begitu pintar, dalam satu perlumbaan yang sengit. Kancil yang kudratnya lebih cepat tangkas, tertidur di tengah jalan ketika perlumbaan itu, sehingga dapat dikalahkan oleh kura-kura yang meskipun berjalan lambat, tetapi tetap bergerak juga ke garis penamat walaupun perlahan.
Dalam ungkapan Melayu, memang ada dinyatakan bahawa “Berkira patut, berkira-kira bantut”. Ini saya kutip dari buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau yang dikarang oleh Pak Tenas Effendy.
“Berkira-kira pada tempatnya, berkira-kira pada patutnya”. Lihat bagaimana kearifan dan kebijaksanaan orang tua tua kita dahulu.
Berhitung, kata orang bijaksana, mesti oada hadnya, sementara berhitung-hitung pada takatnya. Had dan takat, sebenarnya hampir sama maksudnya.Kedua-duanya merujuk kepada batas. Semua ada hadnya, ada takatnya, ada batasnya.
“Yang patut dipatutkan, yang tua dituakan”. Jika kita mengikuti petua dan nasihat orang-orang tua kita, rasanya tidak banyak masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita sehari-hari.
Dalam soal patut yang dipatutkan, dalam soal yang tua, dituakan, kita perlu meletakkan “ yang berbangsa dibangsakan, yang berbahasa dibahasakan”,
“Yang baik cepat-cepatkan, yang buruk lambat-lambatkan”. Apabila kita terfikir untuk berbuat sesuatu kebaikan, maka lakukanlah segera.Jangan lagi bertangguh. Bersegeralah buat kebaikan, sebab mungkin jika kita tunda-tunda, mungkin kita tidak lagi berpeluang untuk melakukannya pada masa depan.
Yang baik cepat-cepatkan, yang buruk lambat-lambatkan.
Satu lagi petua pak Tenas dalam buku yang dikarangnya itu ialah cakap berhingga-hingga, kasih berkira-kira. Kerana sekali selera diturut, seumur hidup merana perut. Yang sedikit pada-padakan, yang banyak lebih-lebihkan. Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekal.Kalau makan berhingga-hingga, kalau hilang cari mencari.
Kalau terbakar kayu, pastilah rumput tertumpang layu. Kalau terbakar ladang, pastilah terbakar belalang, kalau terbakar tunggul terbakarlah pula cendawannya.
Semua pastilah ada risikonya. Janganlah pula kalah kira, oleh kira-kira. Yang banyak kira-kira menjadi kura-kura.Makan mulakanlah sekarang. Bersegeralah berbuat kebaikan.