Ahad, 10 Mac 2019

DATUK SERI PANGLIMA HAJI LAJIM, TERPAKSA BERHENTI SEKOLAH UNTUK CARI KERJA DI KK

Tags

DATUK SERI PANGLIMA HAJI LAJIM, TERPAKSA BERHENTI SEKOLAH UNTUK CARI KERJA DI KK

SEJAK kecil,beliau  sudah menjadi piatu. Ibunya meninggal ketika usianya  tiga bulan.Beliau terpaksa tinggal bersama neneknya. Masa kanak-kanaknya banyak diwarnai pelbagai cabaran. Tetapi beliau tetap cekal. Walaupun terpaksa berhenti sekolah ketika berada dalam tingkatan empat, namun semangatnya untuk belajar tidak pernah luntur. Sambil bekerja, beliau mengikuti kelas malam di Maktab Sabah hingga lulus MCE. Tiada siapa menyangka, anak kampung yang pernah menempuh banyak kepahitan dalam hidup, pernah bekerja sebagai pemeriksa tiket di panggung wayang, menoreh getah, kontraktor kecil, mandur, penyelia ladang, akhirnya menjadi salah seorang menteri kabinet malah pernah menjawat jawatan  Timbalan Ketua Menteri Sabah. Beliau memiliki peranan penting dalam menentukan arah kompas politik Sabah. Meskipun sibuk dalam bidang politik yang digelutinya, beliau mampu lulus sarjana dalam bidang sains politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tokoh ini pernah menjadi Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (Sanya) 1992-1996 dan dilantik Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) yang pertama tahun 1996-2001. Beliau juga pernah menjadi  Timbalan Presiden Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Beliau juga adalah  Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dan dikenali  sebagai “Janang Gayuh” pemimpin besar di kalangan  masyarakat Bisaya.

Datuk Haji Lajim Haji Ukin dilahirkan pada 15 Jun 1955 di Kampung Kebatu Beaufort, Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Mempagar dari darjah satu hingga darjah enam sebelum melanjutkan pelajaran menengah di  St John Secondary School Beaufort hingga tingkatan empat. Selepas itu beliau bekerja di Kota Kinabalu sambil mengikuti kelas malam di Maktab Sabah hingga lulus Malaysia Certificate of Education (MCE). Beliau pernah bekerja di sebagai pembantu pejabat, mandur, penyelia ladang sebelum dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat Klias.

Dalam Pilihanraya umum 1985, beliau bertanding sebagai calon PBS di Klias tetapi kalah. Setahun kemudian, apabila pilihanraya baru diadakan, beliau menang kerusi Klias. Selepas itu, bintangnya terus gemerlap apabila dilantik Menteri Belia dan Sukan. Namun beliau mengambil keputusan drastik meninggalkan PBS untuk menyertai UMNO. Apabila kerajaan baru terbentuk,  beliau dilantik , kemudian dilantik Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan. Selepas itu, beliau  juga pernah dilantik  sebagai  Timbalan Ketua Menteri  merangkap Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Selepas itu, pada tahun 2004 hingga 2008, beliau kemudian dilantik Inspektor Projek Kerajaan bertaraf Menteri.  Pada tahun 2008, beliau bertanding kerusi Parlimen Beaufort seterusnya memenangi kawasan itu. Beliau menjadi Ahli Parlimen Beaufort (2008-2013) , kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008 sebelum   dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2009 hingga 2012. Beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO 2009-2011.
Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan keluar UMNO BN pada Julai  2012 dan kemudian menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) (2012- 2016) .Selepas itu, beliau mendirikan parti baru iaitu Parti Harapan Rakyat dan diluluskan ROS pada 25 Oktober  2016. Beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Sabah pada 2013-2018
Ketika masih menjawat jawatan menteri, Beliau sempat mengikuti kuliah di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga memperolehi sarjana dalam sains politik. Beliau mendirikan rumah tangga dengan  Datin Seri Hajah Normilah Siong dan dikurniakan tujuh orang anak dan 13 cucu.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Beliau bercerita masa kecilnya di Beaufort dan sedikit liku-liku perjalanan hidupnya.Ikuti petikan temubual bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi menerima pelawaan kami untuk sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu, Utusan Borneo
DATUK SERI PANGLIMA HAJI LAJIM HAJI UKIN: Terima kasih kembali.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?
DSPHL: Saya lahir pada 15 Jun 1955 di Kampung Kebatu Beaufort. Saya anak bungsu dari tiga adik beradik seibu sebapa. Ibu saya meninggal ketika saya berusia tiga bulan. Kemudian saya dijaga oleh nenek (datuk) sebelah bapa, Bakar bin Kula dan nenek Siah binti Sunggoh.

Ketika kecil, saya pernah lemas di Sungai Kampung Kebatu. Nasib baik ada  pakcik saya, Whin bin Bakar, dia tunggang terbalikkan saya sehingga  air keluar.
Kemudian saya tinggal bersama nenek di kampung Kubu. Masa itu kampung masih hutan belantara.Tidak ada orang lagi..Beliaulah yang mula mula menerokanya pada tahun 1955. Selepas setahun, iaitu pada tahun 1956, saya dibawa pindah ke sana.  Kemudian saya pindah randah antara rumah pakcik  dan makcik saya.

UB: Berapa jauh jarak rumah dari sekolah?
DSPHL: Jarak rumah dengan sekolah agak jauh, nenek kata tak payah sekolah. Lebih baik belajar mengaji. Tahun 1962, makcik saya iaitu sepupu bapa saya, kahwin orang Jawa. Suatu masa, suami makcik saya, Ahmad bin Usman  datang ke rumah. Dialah yang beritahu nenek saya, si awang ini katanya mesti sekolah. Waktu itu umur saya sudah tujuh tahun. Beliaulah yang pujuk arwah nenek saya agar pergi sekolah.

Selepas diterima masuk sekolah, saya perlu berjalan kaki kira-kira 12 batu satu hari, enam batu pergi sekolah dan enam batu pulang dari sekolah. Jam 4.00 pagi, saya sudah bertolak dari rumah. Jalan agak teruk. Basikal pun tidak boleh lalu.

UB: Dimana Datuk tinggal pada waktu itu?
DSPHL: Saya tinggal dengan pakcik saya. Saya jadi anak angkat mereka.Kebetulan mereka tak ada anak. Ada anak tapi bila lahir meninggal.

UB: Tahun berapa datuk mula bersekolah?
DSPHL:  Tahun 1962, saya bersekolah di GPS Takuli tapi hanya satu hari. Selepas itu saya bersekolah di GPS Mempagar sehinggalah darjah enam.

UB:  Berapa bekal ke sekolah?
DSPHL: Sepuluh sen. Masa itu nilai 10 sen itu agak besar. Dengan duit lima sen, boleh dapat dua bungkus mee goreng. Aiskrim empat bungkus, harganya lima sen. Kadang-kadang bila pakcik bagi 20 sen, saya gunakan sepuluh sen. Sepuluh sen lagi , belanja saya ke sekolah agama di Kebidang pada sebelah petang.

Bagaimanapun selepas tiga tahun, saya tinggal semula dengan nenek saya di kampung Kubu pasal saya kasihan dengan nereka tak ada teman di rumah.

UB: Bagaimana pula suasana kampung Kubu masa itu. Boleh ceritakan?
DSPHL: Suasana di kampung Kubu masa itu masih sepi. Tak ada hiburan. Satu-satunya radio yang ada ialah radio di rumah jiran kami.

UB: Jadi Datuk tidak tinggal dengan ayah?
DSPHL: Pernah. Masa itu ayah saya menetap di kampung Limbawang. Sudah kahwin. Ada anak dua masa itu. Jadi sekolah tambah dekat. Hanya kira-kira dua batu.

Ayah saya tidak bersekolah secara formal. Beliau hanya ikut kelas dewasa. Beliau pandai menulis jawi. Masa itu dia dilantik imam. Satu hari pendapatannya sekitar RM2.00. Manakan mencukupi dengan anak yang begitu ramai. Dengan isterinya yang kedua, beliau punya tujuh orang anak. Kami semua adik beradik satu bapa sepuluh orang, lima lelaki lima perempuan.

UB: Selepas bersekolah rendah di GPS Mempagar, di mana datuk bersekolah menengah?
DSPHL: Tahun 1969, saya bersekolah di St John Beaufort. Masa itu, hanya ada dua sekolah menengah di Beaufort iaitu Sekolah St John dan St Paul. St Paul dianggap sekolah yang terbaik tetapi saya tidak terpilih ke sana walaupun keputusan peperiksaan saya masa itu boleh dikatakan agak bagus iaitu 89 peratus.
Pengetua St John masa itu ialah Mr John Moi. Sebelum itu tahun 1968 hingga 1969, seperti biasanya murid dari sekolah melayu, saya terpaksa ikut kelas peralihan atau bridge class. Cuma satu tahun saja. Saya terus naik tingkatan satu. Saya tidak payah mengulang kerana saya boleh menguasai bahasa Inggeris.Ketika saya dalam darjah empat, ada guru bahasa Inggeris dari Australia. Beliau datang di bawah rancangan pesco. Namanya Miss Luck So. Beliaulah yang mengajar kami bahasa Inggeris.

UB: Bagaimana datuk pergi ke sekolah? Naik bas?
DSPHL: Saya naik basikal ke sekolah.Sebenarnya ada juga bas,Padas Transport tapi kalau lewat bangun 5.30 pagi, kenderaan sudah tak ada. Hanya sekali itu saja ada bas ke pekan.

UB: Siapa rakan sekolah di St John?
DSPHL: Antaranya Ah Fook Lai Toi, Edmund Teo, Pegawai Daerah Kuala Penyu, Nazir idoh, Chin Yuk Lin, Datuk Julie Yap, Chin Si Pung.

UB: Apa kegiatan datuk selepas sekolah?
DSPHL: Lepas sekolah saya tolong bapa ambil getah sekerap. Saya juga pasang bubu. Betul betul orang kampung. Saya juga pernah ambil upah bersihkan kebun limau cina. Saya dapat upah 30 sen sepokok. Bolehlah menampung belanja sekolah masa itu.

UB: Semasa bersekolah, apa jenis sukan yang datuk minati?
DSPHL: Di sekolah, saya ikut sukan olahraga. Selain bolasepak.Di sekolah saya pernah jadi wakil lumba lari 100 meter, 400 meter dan acara lompat tinggi.

UB: Berapa tahun datuk bersekolah di Sekolah St John?
DSPHL: Saya bersekolah di sana dari tingkatan satu hingga tingkatan empat.

UB: Di mana datuk bersekolah selepas itu?
DSPHL: Saya berhenti sekolah, cari kerja di Kota Kinabalu. Mula-mula saya bekerja di panggung wayang capitol sambil belajar sambilan di Maktab Sabah.

UB: Berapa gaji satu hari?
DSPHL: Masa itu gaji saya RM10.00 satu hari. Saya bekerja di sana, sambil cari peluang kerja di tempat lain. Kemudian saya dapat tawaran di syarikat swasta Osman Yusof Sdn Bhd sebagai messenger. Kemudian kerja di Acme Gas, sebagai Messenger juga. Banyak kerja yang saya pernah lakukan.Walaupun begitu, pada sebelah malamnya saya bersekolah di Maktab Sabah dalam aliran Inggeris. Tahun 1973. Tiga tahun kemudian saya lulus MCE atau Malaysian Certificate of Education.

UB: Bagaimana ceritanya hingga  nekad berhenti sekolah dan cari kerja hingga sampai ke KK?
DSPHL: Saya memikirkan perlu cari kerja. Masa itu, ayah saya menyara  keluarga yang ramai. Saya terpaksa membuat pilihan untuk  berhenti sekolah di Beaufort, cari kerja dan sambung belajar di KK.

UB: Bagaimana caranya hingga sampai ke KK?
DSPHL: Saya jual anak pisang kepada pakcik Osman bin Songop. Dapatlah saya duit sebanyak RM12.00. Itulah belanja saya di KK. Masa itu tambang keretapi dari Beaufort ke KK hanya  RM1.30.  Tekad saya masa itu ialah sambil kerja sambil belajar.

UB: Masa itu tinggal di mana?
DSPHL: Masa itu kami menyewa di Kampung Tanjung Aru Lama Tahun 1974. Kami empat orang iaitu saya, Datuk Rashid Gador,Rashid Yusof dan Cikgu Kimsin Japarudin. Masa itu sewa RM15 seorang. Ada dua bilik. Ertinya sewa bulanan ialah RM60 sebulan. Boleh dikatakan murah untuk ukuran masa itu.

UB: Selepas itu, kerja dimana?
DSPHL: Pada Tahun 1975, saya berjumpa Datuk Haji Mohd Dun Banir, masih pangkat pakcik saya. Saya  minta kerja. Ketika itu beliau pengerusi SLDB.

UB: Permohonan kerja itu berjaya?
DSPHL: Alhamdulillah. Beliau melantik saya jadi mandor SLDB di Rancangan Klias. Selepas kira-kira lima bulan, saya dilantik sebagai Field Assistant. Ketika Kerajaan USNO tumbang dikalahkan oleh parti Berjaya, masa itu jawatan saya ialah Field Supervisor.Bila Usno kalah pada 1976, saya dibuang kerja oleh pengerusi baru SLDB masa itu.

UB: Selepas itu, datuk kerja apa?
DSPHL: Saya terpaksa menjadi penganggur sekitar tahun 1976-1977. Saya buat apa saja kenis kerja. Saya memandu kereta pairit atau kereta sapu. Saya menyewa kereta RM30 sehari, dan saya dapat pendapatan RM70 hingga RM80 sehari. Masa itu saya sudah berkeluarga.Inilah sumber pendapatan saya untuk menghidupkan keluarga. Di samping itu, saya juga buat kerja kerja kontrak, macam macam kerja kontrak. Saya belajar untuk dapat sumber pendapatan.

UB: Bagaimana pula kisah hingga datuk dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat Klias?
DSPHL: Pada tahun 1978, salah seorang pakcik, Haji Zamzam Abdul Rahman meminta saya menghantar beliau ke rumah Tan Sri Harris di Kampung Bingkul. Masa itu ada kenduri. Sambil menunggu, saya duduk duduk di tingkat bawah sehingga majlis selesai. Kemudian pakcik saya memanggil saya untuk memperkenalkan saya kepada Tan Sri Harris, yang kebetulan turun ke bawah untuk menghantar mertuanya.
Tan Sri Harris bertanya  apa kerja saya. Saya beritahu Yang Amat Berhormat, dulu saya bekerja di SLDB tapi kena buang kerja kerana dituduh penyokong USNO. Sedangkan bagi saya, saya menyokong kerajaan yang berkuasa.
Saya beritahu juga saya pernah menghadiri ceramah parti Berjaya di Kota Klias. Ketika itu hujan lebat dan sayalah yang memayungi Tan Sri Harris dan Tun Fuad masa itu. Ternyata Tan Sri Harris juga ingat peristiwa itu.
Tidak lama selepas itu, Pakcik saya membawa saya ke KK jumpa Tan Sri Harris. Saya diminta isi borang kekosongan jawatan. Kebetulan ada kosong, saya dlantik sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat di N25 Klias.

Selepas itu saya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Parti Berjaya. Pada tahun 1978, saya dipilih sebagai Ketua Pemuda Bahagian. Saya juga  menjadi Exco Pemuda Pemuda Pusat sehinggalah tahun 1984. Pada 1983, saya salah seorang yang dihalau dalam kongres Berjaya kerana dituduh buat hal. Masa itu Tan Sri Pairin juga dipecat. Saya meletakkan jawatan sebagai PPM dan Exco Pemuda Pusat ada 24 Disember 1984.

Pada 1985, saya ikut menjadi pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) dan termasuk dalam barisan jawatankuasanya  yang pertama.

UB: Tahun berapa datuk mula bertanding pilihan raya?
DSPHL: Saya bertanding pilihanraya umum 1985 tapi kalah dengan undi 101. Pada 1986 apabila diadakan pilihanraya semula, saya menang dengan 97 undi.
Saya jadi Ahli Majlis Tertinggi  dan kemudian Naib Presiden Kanan PBS hingga 1994. Ketika itu saya dilantik Menteri Belia dan Sukan. Tetapi saya lihat, situasi masa itu tidak mengizinkan saya untuk terus berada dalam PBS. Akhirnya saya meninggalkan parti itu.
UB: Ada orang mengatakan datuk lompat parti?
DSPHL: Saya tidak pernah lompat parti. Jika saudara teliti saya keluar dari parti pemerintah dan  jadi pembangkang. Itu bukan lompat parti. Antara sebab yang mendorong saya keluar parti masa itu ialah janji 100 hari manifesto BN, antaranya menubuhkan UMS dan sebagainya. Bagi saya era gemilang Sabah ialah 1994 hingga 2003, ketika Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri. Beliau banyak membawa kemajuan di Sabah. Selepas itu, Pak Lah dan Datuk Najib sekadar menjadi penerus.
Saya bertukar dari parti kerajaan kepada parti pembangkang.

UB: Apa jawatan yang pernah datuk sandang?
DSPHL: Saya menjadi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan kemudian jadi TKM dengan portfolio Menteri di Jabatan Ketua Menteri hingga 2004.
Tahun 2004 hingga 2008, saya dilantik sebagai Inspektor Projek Kerajaan Negeri Sabah.
Pada tahun 2008, saya bertanding Parlimen Beaufort. Selepas menang saya dilantik Timbalan Menteri Pengangkutan hingga 2009. Apabila Pak Lah melepaskan jawatan tahun 2009, saya dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada ketika yang sama saya mengambil MA pada tahun 2009 di Universiti Putra Malaysia. Saya berjaya mendapat MA pada 2012. Tesis saya berkaitan Perbandingan Pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dengan Presiden Suharto. Saya buat kajian hingga ke Indonesia, tinggal beberapa minggu di sana menemubual mantan mantan menteri kabinet Suharto Presiden  untuk tesis saya.

UB: Apa cita-cita datuk masa kecil dulu?
DSPHL: Saya berminat jadi polis. Masa kecil saya suka melihat orang beruniform.Lagipula sewaktu di sekolah saya pernah ikut pengakap dan St John Ambulance. Saya pernah temuduga polis dan lulus tetapi nenek saya tidak membenarkan dengan bermacam alasan. Saya juga pernah ditawarkan guru tapi saya menolak.

UB: Apa hobi masa lapang datuk?
DSPHL: Saya suka bermain golf dan memandu kereta. Dulu saya suka sukan bermotor tapi setelah terjatuh saya melupakan minat motorsikal.Dulu saya ada motorsikal besar 1250 cc Harley Davidson.Sekarang ada satu lagi di kampung.

UB: Berapa anak datuk dan jumlah cucu?
DSPHL: Anak saya tujuh orang dan cucu 13 orang.

UB: Mungkin datuk boleh ceritakan beza sekolah dulu dan sekarang?
DSPHL: Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, jelas fasiliti dan kemudahan asas di sekolah dulu jauh lebih teruk. Tapi kualiti pembelajaran dulu bagi saya lebih baik. Masalahnya sekarang kerajaan sering mengubah dasar pembelajaran. Bagi saya kualiti pembelajaran dahulu lebih baik berbanding sekarang.

UB: Terima kasih datuk kerana sudi berkongsi pengalaman bersama Utusan Borneo
DSPHL: Terima kasih kembali.



Artikel Terkait