Ahad, 30 Disember 2018

YB ASSAFFAL P ALIAN, AKAUNTAN YANG JADI AHLI POLITIK

Tags

YB ASSAFFAL P ALIAN, AKAUNTAN YANG JADI AHLI POLITIK

ORANGNYA sederhana. Akauntan bertauliah yang terjun dalam bidang politik untuk memenuhi panggilan hati nuraninya untuk berkhidmat kepada rakyat. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam politik. Ayahnya Panglima Alian bin Som adalah seorang petani dari suku Dusun Begahak manakala ibunya Jaliha Salahudin dari suku Bajau, adalah pemimpin masyarakat yang dihormati. Dalam Pilihan raya lepas, beliau memenangi Kerusi DUN N49 Tungku dan  kemudian dilantik sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

YB Assaffal @ Samsul Kamal PAlian dilahirkan di Kampung Tanjung Labian pada 27 November 1964. Anak keloma dari enam adik beradik ini  mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan  (SRK) Tanjung Labian dari darjah satu hingga lima dan kemudian berpindah ke SRK Pekan Lahad Datu hingga darjah enam. Beliau adalah antara pelajar angkatan pertama Sekolah Menengah Ugama Sabah dari tingkatan satu hingga lima. Beliau melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam di Maktab Sabah. Selepas itu beliau menuntut di YS ITM Menggatal hingga menghabiskan diploma pengajian perniagaan di ITM Semenggok Sarawak. Selepas itu, beliau membuka firma perakaunan di Tawau sebelum memutuskan untuk menyambung pelajaran dalam Bachelor in Accounting, juga UiTM Menggatal. Beliau sempat membuka firma perakaunan   di Kota Kinabalu bersama YB Azhar Matussin (kini ADUN Karambunai dan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian) sebelum balik ke Lahad Datu untuk membuka firmanya perakaunannya sendiri. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Sabariya Tahir dan dikurniakan 5 cahaya mata.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Silam dan Bendahari UMNO Silam sebelum melepaskan jawatan dan kemudian bergiat dalam NGO seperti Persatuan Kebajikan Anak-Anak Tungku (PAATU) dan Persatuan Pekebun Sawit Tungku. Selepas itu, beliau terpilih sebagai calon Parti Warisan Sabah (PWS)  N49 Tungku dan berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,001 undi. Untuk rekod, Assaffal memperolehi  sebanyak 6,295 undi mengalahkan pencabar terdekat, calon BN Mizma Apehdullah yang mendapat 5,294, Bulangan Panasi dari Parti Harapan Rakyat 928 undi manakala Abdul Rahman Taggoh mendapat 102 undi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual YB Assaffal di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Gaya. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO (UB): Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?

YB: Saya dilahirkan di Kampung Tanjung Labian, sebuah perkampungan Nelayan di Tungku Lahad Datu pada 27 November 1964. Saya anak kelima dari enam adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tanjung Labian dari darjah 1 hingga 5. Ketika darjah enam, saya berpindah  di SRK Pekan Lahad Datu.

UB: Di mana YB melanjutkan pendidikan menengah?
YB:  Saya sempat bersekolah di SMK Agaseh Lahad Datu tetapi hanya tiga bulan. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Sabah, pada masa itu masih menumpang di SMK Menggatal.
Kami adalah pelajar angkatan pertama di sekolah menengah ugama yang baru dibuka. Jika tidak silap terdapat seramai 70 hingga 80 pelajar dari seluruh Sabah yang belajar di sekolah agama.

UB: Siapa antara rakan YB, maksud saya rakan seangkatan masa itu?
YB: Antara rakan saya masa itu ialah Nasbi Lasai ,Ayub Ahmadi,jJamani Darimin, Jamalia  Zainal, Azizah kassim, Siti Arina , Haji Salman Ismail,Rahim Sarpin dan lain- lain lagi.

UB: Sampai tingkatan berapa di sekolah agama?
YB: Saya belajar di Sekolah Menengah Ugama hingga tingkatan lima. Dari tingkatan satu hingga tiga, kami menumpang di SMK Menggatal, seperti yang saya beritahu tadi.
Tetapi ketika tingkatan empat, kami berpindah ke SMK Limauan yang baru dibuka. Sebelum itu,SMK Limauan ialah bekas Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

UB: Selepas lulus tingkatan lima,  di mana YB melanjutkan pelajaran?
YB: Saya melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di Maktab Sabah. Antara rakan saya di sana ialah Serasa Tosel @ Amego, Basri Jali @ Zoos , Kimjak Kuntam, Hamidah Harun,Suzie Martin, , Widji Utomo Radjikin, arwah Rosli Idris, Hefni Kadri.

UB: YB kemana selepas itu?
YB:  Saya balik kampung. Satu tahun saya tolong beliau (ayah) , masa itu  di kebun. Saya juga tolong  ayah untuk membantu kerja-kerja kontrak di Felda.

UB: Kerja kerja lasak?
YB: Saya biasa kerja kerja lasak. Tiada masalah

UB: YB tidak bersekolah lagi selepas tingkatan enam?
YB: Saya melanjutkan pelajaran di UiTM, masa itu dikenali sebagai YS-ITM pra perdagangan di Kampus Sembulan. Semua pelajar masa itu dimestikan mendapat CGPA 3.5 ke atas untuk menyambung ke peringkat diploma. Jika mereka tidak dapat mencapai keputusan sekurang-kurangnya 3.5, mereka terpaksa sambung satu tahun lagi di pra perdagangan.

UB: Siapa antara rakan YB di YS ITM?
YB:Antara  rakan saya ialah Samsudin Erang, Daud Tampokong, Ramlan Manan, Albert Aguir, Petty Kiok.

UB: Bidang pengajian?
YB: Saya ambil Diploma in Business Studies (DBS) pengkhususan bidang pemasaran selama dua tahun. Kemudian kami menghabiskan tahun akhir  ITM Kampus  Semenggok Sarawak. Kami juga adalah pelajar pertama dari Sabah.

UB: Selepas lulus ITM, dimana YB bekerja?
YB: Sekembalinya saya dari Sarawak, selepas lulus ITM, saya dengan kawan, Freddy Jailani  membuka firma akauntan percukaian di Tawau.

Namun kemudian, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di UiTM Menggatal dalam Bachelor in Accounting. Selepas lulus, saya berkolabari dengan saudara YB Azhar ( kini ADUN Karambunai) untuk menubuhkan Chartered Accountant di Kota Kinabalu. Selepas itu, barulah kembali ke Lahad Datu, membuka firma sendiri di Lahad Datu. Masa itu, belum ramai lagi golongan bumiputera yang terlibat dalam ini.Saya mungkin yang pertama di Lahad Datu.

UB: Melihat latar belakang YB, yang berasal dari bidang profesional, bagaimana YB tertarik dalam bidang politik?
YB: Keluarga saya memang terlibat dalam politik sejak sekian lama. Arwah ayah saya memang seorang yang aktif dalam politik. Beliau orang  dalam parti USNO, yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. Beliau seorang penyokong USNO yang setia. Apabila USNO kalah, dan parti Berjaya pimpinan Tan Sri Harris Salleh menang, beliau tetap setia dalam USNO. Begiti juga ketika Berjaya kalah dan PBS naik ke tampuk kuasa, beliau tetap setia dalam perjuangannya bersama USNO. Hanya apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah dan pimpinan USNO bersetuju untuk diserapkan dalam UMNO , barulah beliau  bergiat dalam UMNO dan menjadi salah seorang penaja UMNO di bahagian Silam.

YB: Khabarnya YB juga pernah bergiat dalam UMNO sebelum menyertai Parti Warisan Sabah (PWS)?
YB: Ya, saya pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Silam, selepas itu saya menjadi Bendahari UMNO Bahagian Silam sebelum mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan.

UB: Apa yang menyebabkan YB melepaskan jawatan masa itu?.
YB: Masa itu, saya nampak hala tujunya jauh dari hala tujunya yang sebenar. Saya lihat parti itu kehilangan roh perjuangan.

UB: Sepanjang masa jeda dalam politik itu, apa yang YB lakukan?
YB: Selepas melepaskan jawatan saya aktif dalam NGO seperti Persatuan Kebajikan Anak-Anak Tungku (PAATU), Koperasi Pekebun Sawit Tungku dan sebagainya.
Saya juga aktif mengembangkan usaha sendiri, buka kebun, buka kolam udang dan sebagainya.

UB: Apa yang menarik YB aktif semula  dalam politik?
YB: Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dikenakan tindakan, dipecat dan sebagainya, masa itu  saya rasakaan akan ada satu perubahan.  Apatahlagi, mantan Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir, yang kini kembali menjadi Perdana Menteri, turut serta dalam arus perubahan itu.

UB: Kenapa pilih  Parti Warisan Sabah?
YB: Warisan adalah sebuah parti tempatan, yang dianggotai oleh rakyat Sabah berbilang kaum di negeri ini. Saya melihat komposisinya kepimpinannya seimbang. Saya merasakan di Sabah, parti nasional kurang sesuai untuk memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah. Kenapa saya katakan kurang sesuai? Kerana jika parti nasional, Ketua Menteri hanya sebagai pengerusi perhubungan negeri, tidak mempunyai kuasa mutlak dan terpaksa merujuk ke peringkat atasan untuk mengambil keputusan. Itu adalah antara sebab saya menyertai parti Warisan, dan saya fikir lebih baik rakyat memilih parti tempatan, yang ahli-ahlinya adalah terdiri dari pelbagai kaum yang ada di Sabah.

UB: Apa langkah YB selanjutnya?
YB: Saya mengadakan aktiviti di kampung Tanjung Labian. Saya kumpul masyarakat untuk menghadiri perjumpaan itu. Saya tidak sangka lebih 1500 orang datang mendengar sendiri amanat Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Sambutan orang ramai terhadap program-program parti amatlah memberangsangkan. Begitu juga program jelajah parti Warisan di Jalan Assam juga mendapat sambutan ramai. Kita buat perjumpaan, jelajah parti Warisan,Datuk Mohammadin Ketapi hadir, dimana rakyat memberikan sambutan luar biasa. Saya tak pernah tengok sambutan ramai.

UB: Pernah terfikir menjadi calon?
YB: Saya lebih fokus untuk memastikan parti Warisan menang. Itulah keutamaan saya. Saya tidak pernah melobi jadi calon, walaupun profail saya pernah diminta oleh Haji Abdullah Minun. Kami bekerja untuk memastikan aspirasi rakyat Sabah yang mahu berubah dapat direalisasikan.
Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, kempen reformasi begitu kuat. Sokongan rakyat begitu besar tetapi mereka masih kalah dalam pilihanraya? Apakah kerana jentera kerajaan yang kuat atau dana kewangan yang banyak? Berdasarkan pengalaman ini, kami memastikan agar proses pilihanraya dapat dijalankan dari adil  dan telus. Jika sokongan rakyat begitu banyak, tidak logik kalau masih kalah. Mulai dari itu, kami memastikan proses pilihanraya dari pembuangan undi hingga pengiraan undi dapat dilaksanakan dengan benar dan betul.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai bapa YB yang juga banyak mempengaruhi kehidupan YB?
YB: Satu yang tak boleh saya lupa ialah beliau masih menyimpan buku tulis, sejak beliau berada dalam darjah satu  hingga darjah enam dengan tersusun dan rapi. Buku-buku itu hanya hilang apabila rumah kamu terbakar di Tanjung Labian.

UB: Beliau suka membaca? Apa buku yang dibacanya?
YB: Buku suka membaca. Saya masih ingat, salah satunya buku Revolusi Mental. Rumah kami penuh suratkhabar. Setiap hari beliau menulis, sama ada menulis diari atau catatan perbelanjaan harian.

UB: Mungkin ada peristiwa yang tidak boleh dilupakan?
YB: Ada satu kali saya tidak hadir ke sekolah kerana lupa cuci baju.Baju kami hanya ada satu masa itu. Bila beliau tahu, dibawanya saya ke sekoah, dan dirotan pakai lidi di depan kelas. Satu ayat yang tidak boleh lupa, dia katakan “ini adalah demi masa depanmu”.

UB: Kalau ibu pula? Apa yang YB ingat?
YB: Saya rapat dengan ibu saya. Ibu saya menanamkan cita-cita agar saya jadi orang besar, supaya boleh bantu orang lain.  

UB: Oh ya, Bagaimana YB mengatur masa, sebagai ADUN Tungku dan sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar?
YB: Saya balik ke Tungku, setiap petang  Khamis atau pagi Jumaat. Pagi hari Isnin baru saya terbang semula ke KK meneruskan tugas di kementerian pula.

UB: Mungkin YB boleh ceritakan secara ringkas mengenai Tungku?
YB: InsyaAllah, kini semuanya berjalan dengan baik dan dapat ditangani. Ada masalah yang kita warisi dari pemerintahan lama seperti pembinaan Tungku, SMK Binuang yang terbengkalai, kita cari jalan.
UB: Apa antara keutamaan YB?
YB: Antara keutamaan di DUN Tungku adalah membina kemudahan infrastruktur yang baik. Kita ingin membina jalan coastal highway dari Kampung Dengan ke Pantai Tambisan. Seperti mana yang kita tahu, kampung-kampung di daerah Tungku terletak di sepanjang pantai. Bola ada jalan raya, kita dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air. Apabila semua itu ada nilai tanah akan meningkat. Kita akan membantu menyelesaikan masalah hak milik tanah, yang masih belum selesai selesai. Ada tanah yang masih PT, tak ada geran. Ada juga permohonan bertindih ini adalah antara masalah penting yang kita akan cuba cari jalan penyelesaian. Ada pelabur yang membantu membawa projek pembangunan, tapi bila tanah tak ada geran atau hak milik, ia agak menyukarkan. Nilai tanah jadi rendah dan tak boleh dicagar. Ada pula PT yang bertindih, ini yang kita cuba atasi.

UB: Apa projek yang YB lihat boleh bawa dibuat di Tungku? Antaranya?
YB: Salah satu yang boleh dimajukan ialah akuakultur. Sumber  perikanan bukan saja ada di laut tetapi di darat. Ini yang perlu terokai. Saya sendiri membuat kolam udang di depan rumah dengan keluasan 20x40 kaki. Setiap kali musim menuai, saya boleh mendapat pendapatan sebanyak RM22,000. Ini adalah antara yang berpotensi untuk dimajukan bagi meningkatkan sara hidup.

Saya juga berhasrat untuk menjadikan Tungku sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Kita akan transformasikan kampung-kampung tradisi, melestarikan khazanah budaya,  memulihara alam semulajadi yang boleh menarik pelancong ke Tungku. Banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat di Tungku tapi mungkin kita perlu satu sesi wawancara yang lain untuk potensi pembangunan di Tungku.

UB: Terima kasih YB atas peluang dan masa yang diberikan untuk sesi temubual ini.
YB: Terima kasih kembali.