Ahad, 30 Disember 2018

PALU, KUNJUNGAN SELEPAS TRAGEDI ITU

Tags

PALU, KUNJUNGAN SELEPAS TRAGEDI ITU


Saya teringat suasana pagi ketika kami minum di sebuah restoran Heni Putri kaili di Tombo Poso. Dari sana saya melihat keindahan kota Palu yang terletak di sebuah teluk yang cantik.

Masa itu ramai orang mandi manda di Teluk Palu. Ada kepercayaan di kalangan penduduk, kononnya jika mandi di situ boleh menyembuhkan penyakit. Saya tidak jauh sejauh mana benarnya tetapi saya lihat memang ramai orang yang mengambil kesempatan mandi manda.

Pemandu kami, Fadli seorang kakitangan bank, mengisi masa rehatnya dengan memandu Grab. Saya tidak dapat berhubung dengan Fadli sejak pertemuan kami di Kota Palu awal tahun ini.

Kota Palu , adalah ibu kota Sulawesi Tengah. Ia sebenarnya bersempadan dengan Kabupaten Donggala di Utara, Kabupaten Sigi di Selatan dan Kabupaten Parigi Moutong di Timur. Penduduknya terdiri dari suku Kaili, Pamona, Banggai, Bugis dan Cina. Kira-kira 80 peratusnya penduduknya beragama Islam.

Kota Palu memiliki lima dimensi. Lima dimensi Kota Palu itu adalah lembah, lautan, sungai, pergunungan dan teluk. Ia juga memiliki sejarah yang panjang. Belanda mula-mula menjejakkan kakinya di sana kira-kira 1868.

Banyak yang menarik di Kota Palu. Sulawesi Tengah adalah sebuah wilayah atau provinsi yang cantik. Antara yang selalu mendapat kunjungan ialah Pantai Talise, Gunung Gawalise, Jambatan Palu, Cagar Alam Morowali, Pantai Tanjung Karang, Taman Nasional Lore Lindu, Danau Lewoti, Tugu Perdamaian, Wisata Alam Danau Polo, Wisata Kepulauan Togean, Pulau Kadidiri, Pulau  Pasoso dan Lain-Lain.

Paling akhir saya berkunjung ke Palu ialah pada Januari lalu.

***********
Sekarang banyak yang sudah berubah, kata Haji Samin Haji Ongki, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah yang berkunjung ke sana baru-baru ini.

Selepas tragedi gempa bumi dan tsunami yang menggoncang Palu, Sigi dan Donggala pada 28 September lalu, yang dapat kita saksikan adalah runtuhan-runtuhan dan pengalaman yang begitu menyayat hati.

Haji Samin beserta rombongan diketuai Sahibus Samahah, Datuk Haji Ustaz Bungsu Aziz Jaafar  terbang ke Palu untuk menjayakan Misi Sayang Sulawesi 2018 pada 4 hingga 8 November 2018. Mereka mewakili masyarakat Islam Sabah menyerahkan kutipan tabung sumbagan kepada mangsa bencana alam Palu, Sigi dan Donggala berjumlah RM101,000. Sumbangan disampaikan sendiri kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami untuk keperluan mangsa  dan pembaikan kerosakan  masjid.

Kami menyaksikan banyak sekolah, madrasah yang musnah atau rosak. “Alhamdulillah, kami dapat mengunjungi dan bertemu dengan mangsa-mangsa di pusat penempatan dan khemah sementara.

Selain menemui dan melihat sendiri kesan-kesan bencana gempa bumi dan tsunami, kehadiran kami juga mendapat perhatian sehingga Datuk Mufti diundang untuk bersiaran di salah sebuah stesen radio swasta milik Al Khairat.

Di Palu juga kami dapat melihat Masjid Terapung, salah satu masjid tercantik di Kota palu tapi kini hampir tenggelam dan tidak dapat digunakan lagi. Masjid itu dibina oleh seorang pemilik stesen minyak yang dermawan dan menjadi salah satutarikan pengunjung yang berkunjung ke Palu.

Antara kesan kunjungan kami ke Palu, kata Haji Samin ialah kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap nilai-nilai ajaran agama. Kalau dulu hanya dua atau tiga saf di Masjid kini bertambah sepuluh saf.

Hakikatnya, menurut cerita Haji Samin, Palu sendiri pernah memiliki seorang tokoh agama Islam, yang kebetulan keturunan cicit Rasulullah.

Bahkan Lapangan Terbang atau di sana dikenali sebagai Bandara Palu dinamakan sempena nama Bandara Mutiara SIS Al-Jufri, iaiatu seorang ulama yang begitu dihormati di Sulawesi Tengah.

Pertubuhan Al-Khairat yang diasaskan Habib Ali Al Jufri sendiri memiliki kira-kira 1500 madrasah dan sekolah di Sulawesi.

Pada penglihatan saya, bencana yang berlaku di Palu berpuluh kali ganda dahsyatnya daripada apa yang berlaku di Lombok.

Di Sulawesi Tengah, ada berlaku likuifaksi dimana lebih 2000 orang, bangunan, rumah dan sebagainya lenyap ditelan bumi apabila tanah mencair dan menghanyutkan semua yang berada di atasnya.

Banyak yang boleh dipelajari dan dijadikan pengajaran dari bencana yang dahsyat itu. Manusia sesungguhnya tiada daya upaya bila berdepan dengan kuasa Allah. Sebagai hambanya, kita harus sentiasa meningkatkan amal dan ibadah kita, kata Haji Samin menceritakan pengalaman rombongan ke Palu.

Beliau juga merakamkan penghargaan da terima kasih kepada Pemerintah Indonesia, Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Krishna Djelani kerana membantu memfasiliti perjalanan rombongan Misi Sayang Sulawesi, sebuah program yang tak mungkin dapat diliupakan