Ahad, 30 Disember 2018

KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN TARIK LEBIH 3,000 PENGUNJUNG

Tags

KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN TARIK LEBIH 3,000 PENGUNJUNG
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

KARNIVAL Pelancongan Dedsaan yang diadakan buat pertama kali di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud menggamit lebih 3,000 pengunjung untuk menyaksikan pelbagai acara yang diadakan sejak pagi hingga ke petang pada Sabtu ,8 Disember lalu.

Pengunjung dari dalam dan luar negeri berduyun duyun ke karnival itu dan menyaksikan bukan saja acara kesenian seperti berunsai dan kulintangan, ratu cantik kanak-kanak atau pelamin olok-olok, tetapi juga berpeluang menyaksikan pertandingan mewarna kanak-kanak tarik tali, dart,Pertandingan Orang Kuat Sabah, Bolasepak pantai, ragbi, Bola tampar,pertandingan ka sipa sa manggis,lumba perahu dan sebagainya.

Antara yang menarik ialah pertandingan Tarik Tali yang dikelolakan sepenuhnya oleh Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah (SATWA).

Sebanyak 19 pasukan menyertai pertandingan itu termasuk pasukan dari Negara Brunei Darussalam, Beaufort, Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Penampang,Tambunan.

“Mereka teruja,seronok dan berpuas hati dan bersedia menyertai kejohanan itu pada masa hadapan” kata Presiden Satwa, Androd Sadian.

“Saya sangat teruja dengan sambutan yang begitu meriah,” kata setiausaha penganjur, Amilson Buragas. Mungkin kerana cuti sekolah dan kelepasan am membolehkan ramai pengunjung yang datang, dari dalam dan luar negeri termasuk dari Sarawak dan Brunei.

Pihak penganjur, Karnival Pelancongan Dedsaan memikirkan untuk menjadikan beberapa pertandingan sebagai acara tahunan. Antara yang berpotensi ialah pertandingan tarik tali, dart, pertandingan memancing dan larian Dedsaan atau Dedsaan Beach Run.

Pertandingan Dart yang dipengerusikan Haji Asdin Abdul juga mendapat sambutan yang luar biasa, termasuk peserta bertaraf Asean. Dart adalah antara pemainan yang menyedut perhatian orang ramai dan menjadi salah satu daya tarikan dalam karnival itu. Seramai 41 peserta dari Pitas, Kota Marudu,Kota Belud, Tuaran,Ranau,Kota Kinabalu, Tambunan, Beaufort dan WP Labuan.

Selain itu, pertandingan menghias kuda, sukan berkuda juga turut diadakan. Namun yang paling menarik ialah Larian Pantai Dedsaan yang diadakan pada sebelah petang dengan penyertaan lebih 200 peserta.

Peserta diberikan sijil dan medal penyertaan untuk acara Larian Pantai Dedsaan (Dedsaan Beach Run) yang berpotensi untuk dipertandingkan lagi pada masa akan datang.
Ketika golongan belia bertumpu kepada bolasepak pantai, ragbi dan bola tampar, karnival itu sebenarnya membuka jalan kepada industri pelancongan dan mempromosi Kota Belud dan Rampayan Laut khususnya sebagai destinasi pelancongan menarik.

Kini Kampung Rampayan laut terkenal sebagai pengkalan utama ke Pulau Mantani, juga kaya dengan kerlipan kunang-kunang dan pemandangan senja yang aduhai. Keindahan matahari terbenam jika dilihat dari  Dedsaan Beach  Village Rampayan Laut adalah pemandangan yang menakjubkan.

Namun jangan lupa , selain pelbagai jenis pertandingan yang diadakan, Karnival Pelancongan Dedsaan yang dinaungi mantan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli belah di gerai minuman dan sebagainya.

Pelbagai jenis juadah dijual dalam karnival itu, seperti seda a tiapa, siager, dan pelbagai jenis makanan tempatan. Turut diadakan ialah pameran perabot dan gerai pakaian dan sebagainya.

Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan penyanyi-penyanyi tempatan dalam program yang dikelola yang penyanyi Dino Menara.

Banyak keistimewaan karnival itu, yang mungkin tidak dapat dicatat satu persatu. Apa yang jelas, Karnival Pelancongan Dedsaan itu atau Dedsaan Tourism Carnival itu mampu menempatkan Kota Belud sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Kemudahan penginapan bertaraf lima bintang selain inap desa yang terdapat di sekeliling kampung itu memungkinkan Dedsaan Beach Village (DBV) dan Kampung Rampayan Laut tentunya, menjadi tumpuan bagi pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Dari pagi hingga senja menjelma, Karnival Pelancongan Dedsaan berlangsung dengan jayanya, melakar satu lagi sejarah sebagai karnival yang digerakkan atas dukungan masyarakat, dengan pelbagai acara yang diadakan serentak, kejayaannya adalah atas semangat kebersamaan, semangat dan tekad yang luar biasa di kalangan panitia penganjurnya.

Karnival Pelancongan Dedsaan, pasti jadi kenangan dan kebanggaan masyarakat dalam mempromosi daerah itu sebagai destinasi pelancongan menarik dan tidak ada duanya.