Ahad, 30 Disember 2018

DI UNIVERSITI LAMBUNG MANGKURAT,MEMBAHASA PUISI SEBAGAI ALAT PEMERSATU DAN TOLERANSI

Tags

DI UNIVERSITI LAMBUNG MANGKURAT,MEMBAHASA PUISI SEBAGAI ALAT PEMERSATU DAN TOLERANSI

Kota Banjarmasin bukan saja dikenali sebagai kota seribu sungai tetapi ia turut dikenali sebagai kota seribu masjid kerana banyaknya masjid di kota yang berpenduduk kira-kira 700,000 orang itu.
Sepanjang kunjungan ke kota itu untuk menghadiri Hari Puisi  Indonesia Internasional (HPI) Banjarmasin 2018, saya berpeluang menyaksikan suasana kehidupan yang menggeliat di ibu kota Kalimantan Selatan itu.
Jika pada hari pertama kami dijamu pak Walikota di warung Batang Banyu di Banua Anyar dan kemudian menghadiri acara ramah tamah di Rumah Anno, pada hari kedua progma HPI itu kami dibawa berkunjung ke Universitas Lambung Mangkurat, sebuah universiti terkemuka di Kalimantan. Universiti itu didirikan pada 21 September 1958 dan dirasmikan pada 1 November 1960.
Di ULM, singkatan bagi unversiti itu, peserta HPI dan mahasiswa menyertai Diskusi Puisi Internasional “Puisi sebagai Alat Pemersatu dan Toleransi”. Acara itu diadakan dalamm rangka Dies Natalis ULM yang ke 60 dan Hari Jadi Kota Banjarmasin yang ke 492.
Antara panel diskusi dalam acara itu ialah Annisa Tauoli Hassouna KH Zawawi Imron,(sumenep),Que Thi Nguyen (Vietnam), Siamir Marulafau (Universirtas Sumatera Utara Medan), Zefri Ariff (Universiti Brunei Darussalam).
Sebelum acara diskusi, peserta HPI diberi peluang untuk membacakan puisi masing-masing. Dari Malaysia, Datuk Dr Mohd Nashuha Jamidin mendeklamasikan puisi. Seorang lagi, peserta dari Malaysia, Ony Latifah Osman memperdengarkan puisi rakyat Kimaragang salah satu suku etnis di Sabah. Beliau tampil dengan busana Kimaragang yang cantik.
Diskusi itu sangat menarik. Kehadiran KH D Zawawi Imron, penyair yang berasal dari Sumenep, Zeffri Arif dari Universiti Brunei Darussalam, Siamir Marulufau dari Universiti Sumatera Utara tampil menjelaskan bagaimana puisi boleh menjadi alat pemersatu dan toleransi.
Annisa Taouli Hassouna dari Universiti Hassan II, Casablanca, Magribi berkongsi pengalamannya menulis puisi dalam kertas kerja bertajuk” Why and How do I Write Poetry”. Nguyen dari Vietnam pula memberikan sedikit keunikan bahasa Vietnam, yang menjadi mediumnya dalam menghasilkan puisi.
Respon daripada hadirin juga amat baik, ramai yang mengajukan soalan berkaitan puisi. Namun pertemuan itu terasa cepat berakhir. Selepas sesi bergambar, peserta dijamu makanan nasi kotak, yang ringkas tapi sedap dan tidak mubazir. Ini salah satu yang perlu dicontohi. Nasi dan lauk pauk dimasukkan dalam kotak dan tidak perlu lagi memikirkan mengenai pinggan atau piring. Minuman air botol mineral sangatlah efesien.
Selepas pulang ke hotel, saya duduk sebentar menikmati kopi di Coffee Toffee, Jalan Pierre Tandean. Saya sempat menghantar  emel berita ke Kota Kinabalu. Tidak lama kemudian, saya memesan Grab ke Duta Mall. Kadar tambangnya hanya Rp12,000. Pemandunya bernama Ardiansyah memang pemuda yang berasal dari Banjar dan mahir selok belok kota itu.
Saya menyempatkan diri ke toko buku Gramedia membeli beberapa buku penting . Saya tak sempat bertemu Mas Eko Wahyudi ketika berkunjung ke pameran perdagangan yang diadakan di Duta Mall kerana beliau kebetulan pulang ke rumah.
Satu jam kemudian , saya memesan semula Grab  ke  Hotel Cahaya kerana disana peserta diminta  bersedia kerana malam itu ada acara baca puisi di Menara Pandang. Menara Pandang Banjarmasin ini dirasmikan pada Jun 2014 dan terletak di lingkungan Taman Siring Sungai Martapura, di Jalan Pierre Tandean. Menara itu mempunyai rekabentuk kahs Banjar. Di sana, acara baca puisi diadakan sebagai acara kemuncak HPI.