Rabu, 17 Oktober 2018

HAJI AZHAR MATUSSIN,DARI SEORANG AKAUNTAN MENJADI WAKIL RAKYAT, GAYA HIDUPNYA TIDAK BERUBAH

Tags

HAJI AZHAR MATUSSIN,DARI SEORANG AKAUNTAN MENJADI WAKIL RAKYAT, GAYA HIDUPNYA TIDAK BERUBAH

GAYA hidupnya tidak banyak berubah, kekal sederhana dan bersahaja. Walaupun berlaku lonjakan kesibukan, dari seorang akuantan bertauliah kepada seorang wakil rakyat. Beliau sudah terbiasa melayani rakyat. Sebab dunia politik memang sudah jadi darah daging keluarganya.Beliau tidak kekok. Lagipula beliau seorang yang suka berkawan. Beliau sedar harapan yang diberikan oleh rakyat agak tinggi, tapi yang penting baginya ialah berkhidmat sepenuh hati memastikan kesejahteraan rakyat.
Haji Azhar Datuk Haji Matussin dilahirkan di Kampung Mempagar Beaufort pada 19 November 1966. Anak pertama dari lapan bersaudara ini memasuki darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Likas pada tahun 1973, tetapi kerana pandai membaca terus `lompat kelas’ ke darjah dua. Selepas itu, beliau berpindah ke SRK Sembulan dari darjah tiga hingga darjah enam pada tahun 1977. Beliau meneruskan pendidikan menengah di Maktab Sabah dari tingkatan satu hingga lima  (1978-1982) sebelum meneruskan pengajian di peringkat diploma dalam bidang perakaunan di YS ITM. Brliau sempat bekerja di syarikat audit Coopers & Lybrand kini dikenali Pricewaterhouse coopers. Selepas itu, pada tahun 1990, beliau berkhdmat di Lembaga Letrik Sabah. Pada tahun 1993, beliau menyambung pengajian di peringkat diploma lanjutan di ITM Shah Alam. Sepulangnya dari Shah Alam, beliau bertugas di Saham Sabah Berhad sebagai Akauntan pada tahun 1994. Kemudian pada tahun  1997, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana (Msc in Accounting & Finance) di D’Monfort University di Leicester United Kingdom. Sekembalinya dari sana Azhar  bekerja semula di Saham Sabah dari tahun 1998 hingga meletakkan jawatan pada 2001 dan membuka firma perakuanan sendiri, Azhar Matussin Associates.
Beliau seorang yang aktif dalam politik, menyertai UMNO. Beliau pernah menjadi Bendahari Biro Penerangan BN dan UMNO Negeri, AJK Biro Keeahlian dan daftar Pengundi UMNO Malaysia, AJK Bahagian UMNO selama dua penggal dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Sepanggar dan AJK Biro Politik UMNO Sepanggar.
Azhar mengambil tindakan drastik meletakkan jawatan  dan nekad meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Warisan Sabah (PWS). Dalam pilihanraya umum ke-14, beliau memenangi kerusi DUN Karambunai selepas mengalahkan penyandang  Datuk Hajah Jainab Haji Ahmad  dan dua calon lain dengan majoriti 5,366.
Untuk Rekod,Dalam PRU-14,  Azhar memperolehi 14,157 undi , Datuk Jainab  memperolehi 8,791, Aspar Akbar (Pas) memperolehi 1,696 dan Ahsim @ Oyok Jamat (SAPP) dengan undi 1,258.  Dalam pembentukan jemaah kabinet Negeri Sabah beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Anita Mohd Shamin dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, pada Selasa, untuk berkongsi pengalaman beliau ketika zaman persekolahan, dalam bidang kerjaya hinggalah ketika beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai dalam PRU ke 14 dan kemudian diamanahkan pula sebagai Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO:: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB HAJI AZHAR DATUK HAJI MATUSSIN: Saya lahir di Kampung Mempagar Beaufort pada 19 November 1966. Anak pertama dari lapan adik beradik. Empat lelaki empat perempuan.Saya bersekolah darjah satu di SK Likas pada tahun 1973. Pada tahun yang sama, saya lompat darjah dua, mungkin kerana saya sudah pandai membaca sebelum masuk ke sekolah. Kemudian pindah ke SRK Sembulan dari dari darjah tiga hingga tahun 1977. Tingkatan 1 hingga tingatan lima saya bersekolah di Maktab Sabah.
UB: Menetap di mana ketika itu?
YB: Kami tinggal berdekatan kawasan Masjid Lama Sembulan. Setiap hari berjalan kaki ke sekolah.
UB: Ingat lagi siapa rakan sekolah atau senior sewaktu bersekolah di Maktab Sabah?
YB: Antara senior saya di sekolah ialah Datu Rosmadi Datu Sulai, kini Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Hashim Paijan, kini Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Ismail Sakilan,Datuk Almudin Kaida dan ramai lagi.
UB: Di mana YB melanjutkan pelajaran selepas itu?
YB:Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di YS ITM dalam bidang diploma perakaunan  (diploma in accaountancy) selama tiga tahun . Saya ingat lagi , antara senior saya di sana ialah Datuk Bolkiah Haji Ismail, ADUN Pitas, Mantan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.  Sebaik tamat di YS ITM, saya menyertai sebuah syarikat audit Coopers & Lybrand kini dikenali sebagai Pricewaterhouse coopers.
UB: Selepas itu, YB bertugas dimana?
YB: Kemudian saya berkhidmat di Lembaga Letrik Sabah (LLS) kini SESB dari tahun 1990 hingga 1993. Pada tahun 1993, saya sambung belajar di ITM Shah Alam Diploma Lanjutan dalam bidang perakaunan.  Selepas saya meletakkan jawatan di LLS dan menyertai Saham Sabah Berhad sebagai akauntan pada 1994.
Pada tahun 1997, saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana Msc in Accounting & Finance di D’Monfort University di Leicester UK. Sekembalinya dari sana saya bekerja semula di Saham Sabah dari tahun 1998 hingga saya meletakkan jawatan pada 2001,
UB: Selepas letak jawatan, apa yang YB lakukan?
YB: Saya menubuhkan Firma Perakaunan sendiri, Azhar Matussin Associates.
UB: Selain YB, siapa antara orang bumiputera Melayu yang membuka firma perakuanan?
YB:  Memang tidak ramai orang Melayu yang membuka firma perakaunan. Dulu saya dan YB Assafal membuka firma Assafal Azhar & Associates. Tapi kemudian YB Assafal  balik Lahad Datu dan membuka firma di pantai Timur. YB Assafal ini adalah senior saya di Maktab Sabah tetapi saya lebih dulu masuk YS ITM malah pernah mengajar beliau ketika saya bertugas sebagai pensyarah sambilan di ITM Sabah dari tahun 1998-2004. Kami sempat buka firma perakaunan bersama malah di DUN pun, kami duduk bersebelahan.
UB: Bagaimana YB tertarik dengan politik?
YB: Politik sudah menjadi darah daging dalam keluarga. Memang sejak dulu, ramai ahli keluarga kami  berkecimpung dalam politik. Antaranya Datuk Haji Kassim Haji Othman, Datuk Haji Yassin Haji Othman, Tan Sri Dato Sri Ahmad Urai, Datuk Haji Tengah Ali Hassan. Kalau di Brunei, tak payah sebutlah.Memang ramai yang terlibat dalam politik.
UB: Sejak bila YB terlibat dalam politik?
YB: Sejak 1990-an lagi. . Saya pernah menjadi Bendahari Biro Penerangan BN dan UMNO Negeri, AJK Biro Keahlian dan daftar Pengundi UMNO Malaysia, AJK Bahagian UMNO selama dua penggal dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Sepanggar dan AJK Biro Politik UMNO Sepanggar sehingga April 2018 apabila  saya melepaskan jawatan dan nekad meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Warisan Sabah.
UB: Ada yang memanggil YB, Mr Gray? Kalau boleh tahu, apa cerita sebenarnya hingga dipanggil Mr Gray?
YB: Dulu saya meminati pemain bolasepak terkenal Scotland, Andy Gray, yang pernah main di beberapa kelab di England pada tahun 80-an.Kalau tak silap main striker. Dari situlah asal mulanya,kawan kawan dekat memanggil saya Mr Gray.
UB: Apa posisi YB kalau main bola?
YB: Midfielder.Saya biasanya main di bahagian midfield.
UB: Oh ya. Ini pertanyaan cepu mas. Pernah dirotan oleh ayah?
YB: Saya tidak pernah dimarahi. Hanya sekali ketika waktu sekolah rendah saya tidak mahu ikut pertandingan mengaji.Beliau seorang yang kuat pegangan agama. Beliau seorang yang tegas. Berpakaian mesti sentiasa kemas. Pernah satu kali, ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat, salah seorang adik saya, disuruh turun kereta dan berjalan kaki kerana lupa memakai butang baju. Kalau mahu  jumpa yang lain kamu kemas, Jumpa  dan menghadap Tuhan mesti kemas, katanya. Walaupun tegas dia seorang yang pengasihan, tegas tapi penyayang.
Kalau masa belajar, mesti fokus belajar. Kalau masa main, mainlah, beliau tak larang. Kalau ibu, beliau seorang yang penyayang , tidak banyak cakap.
 UB: Apa yang berubah dalam kehidupan YB sejak jadi wakil rakyat?
YB: Kecuali mungkin dari segi masa, itu yang banyak berubah. Yang lain sama. Saya masih juga seperti biasa Setiap kali ada program,selalu singgah kedai mamak jika ada yang ajak bertemu. Tak jadi masalah.Sama seperti dulu juga. Saya memang suka berkawan sejak dahulu. Itu memang sifat semulajadi saya.
Hanya Masa dengan keluarga yang sedikit berubah.Sekarang lebih banyak masa melayani rakyat.  Dalam Seminggu, biasanya setiap hari Khamis,  saya khaskan untuk berjumpa rakyat, kecuali ada mesyuarat penting. Saya galakkan bikin temujanji supaya saya dapat layan sebaiknya, takut ada yang kecewa tak dapat jumpa. Selain itu, saya jadualkan untuk turun padang di setiap kampung.Saya juga minta ketua-ketua kampung dan pengerusi JKKK menyediakan profail kampung. Berapa rumah, berapa isi rumah atau keluarga, berapa lelaki, berapa perempuan, berapa ibu tunggal, berapa anak yatim, berapa warga tua, berapa jumlah belia  dan sebagainya untuk memudahkan kita memberikan khidmat yang lebih efisyen.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai DUN Karambunai? Apa saja langkah  yang dilakukan oleh YB dalam memajukan DUN Karambunai?
YB: Seperti yang kita ketahui, DUN Karambunai ini terletak di kawasan berdekatan bandaraya Kota Kinabalu. Di sini terdapat pejabat pentadbiran, universiti dan sebagainya. Antara yang perlu diselesaikan ialah masalah setinggan. Kita mahu menyelesaikan masalah perumahan rakyat terutamanya di kawasan setinggan.Ini yang paling kritikal.Mungkin agak sukar untuk diselesaikan kerana ini masalah yang sudah berlanjutan sejak sekian lama.Kita bertekad untuk mencari jalan keluar untuk menyelesaikan masalah setinggan dan menyediakan perumahan rakyat.
UB: Bagaimana pula mengenai cabaran golongan belia?
YB: Kita akan berikan perhatian kepada cabaran golongan belia yang menjadi aset kita. Selain itu, Kita beri sokongan dan galakan kepada golongan belia untuk mengadakan program. Saya lebih suka jika program-program belia yang diadakan itu bersifat keilmuan dan mendatangkan faedah dari segi ekonomi.
 Kita mahu belia di Karambunai jangan terlalu ke belakang dari segi pemikiran. Kalau boleh,, biarlah mereka  bersikap mandiri atau independen dan mereka jangan terlalu mengharap kerajaan. Kita galakkan golongan menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Banyak peluang yang kita belum terokai.Kita mahu belia berdaya saing, kalaupun tidak lebih tetapi setaraf dengan belia di semenanjung. Biar golongan belia kita nampak gah.Kalau ada peluang, jangan biarkan peluang itu berlalu begitu saja.
Kita berusaha untuk membuka lebih banyak peluang kepada belia dalam sektor perindustrian. Kita berusaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan di sekitar Karambunai.
UB: Saya pernah dengar ucapan YB yang menyentuh mengenai sekolah-sekolah daif di kawasan Karambunai. Boleh ulas sedikit?
YB: Sebagaimana yang kita tahu, pendidikan adalah sangat penting dalam proses memajukan sesebuah masyarakat. Untuk itu, kita mahu prasarana pendidikan, kemudahan asas hendaklah ditingkatkan. Kita harap masalah masalah bangunan sekolah yang daif seperti SK Kebagu dapat diberikan perhatian oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan. Kita mahu mutu pendidikan di Karambunai ini dapat ditingkatkan.
UB: Selain itu, apa lagi masalah yang dihadap rakyat dan rungutan yang disampaikan kepada YB?
YB: Kita juga untuk mencari jalan untuk menangani masalah air di bebrapa tempat di Karambunai. Yang paling kritikal di Kampung Numbak dan Kampung Salimbangun. Ini antara yang kita berikan perhatian selain masalah prasarana yang lain, masalah kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
UB: Apa hobi YB di masa lapang?
YB: Saya suka menonton tv saluran national geographic, travel, sukan tapi sekarang sudah tak banyak masa. Sekarang masa lebih banyak dengan masyarakat.
UB: Kata-kata akhir dari YB sebelum kita bersurai?
YB: Saya harap agar kita fokus kepada kerja. Kurangkan berpolitik. Dalam politik kita tak boleh ikut perasaan.Sebaliknya kita harus beri tumpuan kepada kerja.Kita mesti bekerja untuk mengisi kemenangan dan memenuhi harapan rakyat. Kita utamakan ksejahteraan rakyat.Saya sedar harapan yang diberi oleh rakyat agak tinggi. Kita harapkan yang terbaik