Rabu, 29 Ogos 2018

PERJALANAN DARI LOLAK HINGGA RESTORAN KAMPOENG MINAHASA

Tags

PERJALANAN DARI LOLAK HINGGA RESTORAN KAMPOENG MINAHASA


Jarak antara Lolak Bolaang Mongondow- Manado adalah sejauh 156 kilometer jika menggunakan Jalan Trans Sulawesi. Perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam 30 minit. Namun jarak antara Manado-Gorontalu sejauh 404 kilometer mengambil masa kira-kira 6 jam. Jarak Manado ke Palu di Sulawesi Tengah sejauh 948.4 kilometer mengambil masa 21 jam.  Jalan Trans Sulawesi yang menghubungkan Manado di Sulawesi Utara dan Makasar di Sulawesi Selatan sejauh kira-kira  1678 kilometer mengambil masa 37 jam.


Pemandu bas pariwisata yang membawa kami, Pak Deddy Mandey memberitahu jarak antara Manado ke Toraja mengambil masa kira-kira dua hari untuk sampai ke sana. Menurut Pak Deddy, beliau pernah membawa pelancong dengan bas dari Kota Manado ke Tana Toraja.

Kembara di Sulawesi memang memberikan pengalaman yang sangat menarik. Bahkan Pak Mario Salomo Ben Gavriel Sarinsong Pantow atau lebih dikenali Pak Mario, pemandu pelancong kami menceritakan pengalamannya  mengembara dengan motosikal 200cc ke Sulawesi Utara dan Sulawesi Tengah.

“Saya belum menjelajah seluruh Sulawesi.Baru sampai tengah saja,” katanya yang mula memiliki motosikal sejak April 2014 dan bergabung dengan Kelab motosikal jadi Rookie bulan 2015 dan diterima jadi ahli pada bulan November tahun yang sama.

Katanya, mengembara dengan motosikal dalam jumlah tiga hingga lima orang adalah lebih baik, boleh berhenti di mana-mana, menginap atau berkhemah di mana-mana tanpa banyak karenah. Beliau berpengalaman juga  bersama rakan-rakan dari luar negara terutamanya dari Eropah Timur yang suka bermotosikal.

Selepas menempuh kira-kira empat jam perjalanan, ditambah dengan kesesakan jalan raya ketika memasuki kota Manado,bahkan sempat pula menyaksikan rombongan yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kami akhirnya tiba di Restoran Kampoeng Minahasa di Jalan Ring Road Kota Manado.


Kini kami sudah melengkapi perjalanan ke beberapa kota di Sulawesi Utara. Dari Kota Manado kami ke Kawangkoan yang dikenali sebagai Kota Kacang, sebelum tiba di Tutuyan, makan tengahari bersama Bupati Sehan Landjar SH. Dari sana kami singgah di Tanjung Silar sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kotamobagu. Menginap satu malam di Hotel Sutanraja dan keesokan harinya berangkat menujuk Lolak di Bolaang Mongondow atau lebih dikenali sebagai Bolmong. Kami sempat singgah di Kantor Bupati Bolmong sebelum dibawa berkunjung ke Pantai Losari. Dari Pantai Losari Lolak kami berpatah balik ke Kota Manado melalu jalan Trans Sulawesi.


Di sepanjang jalan, kami menyaksikan banyak pemandangan menarik. Sulawesi Utara memang dikurniakan alam yang cantik.

“Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah masyarakatnya. Penduduk Manado sangat peramah dan melayani kita dengan istimewa sehingga kita merasa kehadiran kita dialu-alukan,” kata Pauline Chin, seorang usahawan pelancongan di Sabah.

“Cuma waktunya agak singkat. Kebanyakan masa habis dalam perjalanan, “ kata Pak Sarip. Kalau diikutkan hati, banyak lagi tempat menarik  di Sulawesi Utara yang sentiasa menggamit untuk dikunjungi.

Selepas berkeliling Sulawesi Utara itu, menyaksikan keindahan alamnya dan keramahan masyarakatnya dan kesedapan makanannya dan keharmonian rakyatnya dan banyak dan lagi, kami diraikan dalam satu majlis di Restoran Kampoeng Minahasa.

Suku Minahasa adalah salah satu suku bangsa di Sulawesi Utara. Suku bangsa terbesar di wilayah itu. Kami tidak sempat berkenalan walaupun orang-orang Minahasa terkenal dengan kecantikan dan keunikan budayanya.







Keindahan alam Sulawesi Utara (Sulut) mendapat pujian daripada ketua rombongan, Konsul Ekonomi KJRI Kota Kinabalu, Ibu Hendro Retno Wulan.

Menurutnya, Sulawesi Utara adalah salah satu daerah di Indonesia dengan keindahan tiada duanya. “Setelah kami beberapa hari di daerah ini melihat dan merasakan bagaimana kerukunan daerah ini terus terjalin dengan baik. Apalagi sektor pariwisata (pelancongan) semua yang ada di daerah ini sangat luar biasa,” katanya.

“Pokoknya waktu terasa kurang dan kami akan kembali untuk berlibur ke daerah ini serta menikmati spot spot destinasi pariwisata lainnya yang ada di daerah ini,” katanya seperti yang dikutip elnusanews.com, media tempatan di Kota Manado.


Ketua ASITA Sulut (Association of the Indonsia Tours and Travel Agencies) Merry Karouwan sendiri bersama beberapa ahli jawatankuasanya mengiringi rombongan 15 anggota delegasi agensi dan operator pelancongan dalam kunjungan ke Sulawesi Utara.

Kepala Dinas Pariwisata Daerah Sulawesi Utara, Daniel Mawengkang menyambut baik dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Fam Trip dari Sabah itu.

Sulawesi Utara memiliki pelbagai keistimewaan, banyak destinasi wisata yang boleh dikunjungi kerana Sulut kaya dengan keindahan alam, kata Mawengkang yang pernah jadi Atase Perdagangan KBRI di Madrid Sepanyol.


Sebenarnya, Manado dan Sulawesi Utara menjadi pilihan selepas pertemuan KJRI Sabah dengan Duta Besar RI ke Malaysia, Rusdi Kirana yang mendorong agar pelancong-pelancong berkunjung dan meneroka keindahan Wilayah Indonesia Timur.

Waktu memang cemburu. Esoknya kami harus berangkat pulang dan meninggalkan Manado, yang dinobatkan sebagai Kota Paling Bertoleransi yang menyambut ulang tahun ke 395.

Malam terakhir di Kota Manado, usahawan pelancongan dari Sabah dan Manado berkongsi maklumat dan iktikad untuk bekerjasama dalam mengembangkan sektor pelancongan antara kedua pihak.

Selepas menikmati pelbagai jenis makanan enak yang disajikan, majlis dteruskan dengan penyampaian cenderamata sebelum diserikan dengan nyanyian dan tarian poco-poco.