Sabtu, 28 Julai 2018

AMRI GINANG: FOTOGRAFI BUKAN SEKADAR GAMBAR

Tags

Foto oleh Haron Sawal
 AMRI GINANG: FOTOGRAFI BUKAN SEKADAR GAMBAR

DALAM dunia fotografi, nama Amri Ginang adalah satu nama yang sangat terkenal  di  peringkat antarabangsa. Berpengalaman selama 35 tahun dalam bidang fotografi,Amri sudah melanglang hingga ke 84 negara di dunia. Dikenali ramai sebagai ahli fotografi dalam bidang komersil dan potret paling berpengaruh di Malaysia. Foto-fotonya diterbitkan di peringkat antarabangsa.Beliau menyumbang kepada kejayaan syarikat besar membuat imej untuk jenama seperti Isetan (Jepun)Kose, H&M, IKEA,Crown Plaza Hotels, Tourism Malaysia, Petronas,MIDA, Shangri-La, Chanel, Estee Lauder, Lancome, Unilever,Celcom, Berita Publishing, Utusan Malaysia Publishing, Putrajaya Holdiings, Malaysia Airlines, Emirates Airlines, Chitralada Thailand, Amari Group of Hotels, HP International, LCC Properties, dan lain-lain.


AMRI GINANG lahir di Kampung Air Semporna pada 14 April 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Semporna dan kemudian meneruskan persekolahan di peringkat menengah di St Patrick Tawau. Selepas itu, Amri melanjutkan pelajaran di Isle of Ely College Wisbech Cambridgeshire, St Martin London. Beliau sempat pulang ke tanahair untuk bekerja di Muzium Negara di bawah pimpinan Datuk Shahrom Yob selama 6 bulan sebelum memutuskan kembali semula ke England untuk meneruskan kerjaya dalam bidang fotografi di sana. Bermula sebagai In House Photographer, beliau kini memiliki nama yang dikenali oleh pengamal fotografi di seluruh dunia.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk mewawancara beliau di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau.
UTUSAN BORNEO: Boleh berikan sedikit latar belakang untuk pembaca?
AMRI GINANG: Saya Amri Ginang. Saya bangsa Bugis Bajau.Lahir di Semporna. Saya Anak ke lapan dari sembilan adik beradik. Ayah saya  Mohd Ginang bin Musa  manakala ibu Hajijah binti Imam Mahmud.Imam Mahmud adalah imam Bugis pertama di Semporna. Anak saya  enam orang, tiga lelaki tiga perempuan dari Isteri berbangsa Inggeris dan Swedia. Anak sulung saya, Emil sekarang banyak membantu saya dalam fotografi komersial.
UB: Dimana tuan mendapat pendidikan awal?
AG: Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School  (GPS) Semporna. Kemudian saya melanjutkan sekolah menengah di St Patrick School, Tawau. Selepas tamat Form 5, saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Saya mengambil A Level di Cambridgeshire dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di Isle of Ely College Wisbech, Cambridgeshire, St Martin London.
UB:  Kebanyakan ibu bapa masa itu menghantar anaknya ke England untuk belajar dalam bidang undang-undang atau kejuruteraan. Tapi tuan memilih bidang seni. Apakah memang sejak awal tuan minat dalam bidang seni?
AG: Saya memang mahu jadi pelukis.Tiada niat jadi lawyer (peguam). Seni sudah lama di jiwa saya.
UB: Bagaimana tuan terlibat dalam seni sewaktu di London?
AG:Sewaktu mula-mula tiba  ke London untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di Cambridgeshire  selepas Form Five di St Patrick Tawau, saya dibawa melawat ke sebuah galeri seni lukis di kota London. Waktu itu umur saya baru 17 tahun.Pelajar dari Sabah masuk galeri di sebuah kota besar di London. Di sanalah minat saya terhadap lukisan dan fotografi bercambah.
Selepas itu saya  bersekolah seni di Isle of Ely College Wisbech Cambridgeshire, St Martin London.
UB: Apakah orang tua tahu tahu tuan belajar seni di London?
AG: Mereka hanya tahu saya belajar di London. Tapi tidak tahu saya belajar dalam bidang seni.
UB: Selepas tamat universiti, apakah tuan terus bekerja di London?
AG: Saya sempat bekerja di Muzium Negara di bawah Dato Shahrom Yob, pengarahnya waktu itu. Saya sempat bekerja selama enam bulan di KL tapi kemudian mengambil keputusan untuk balik ke London, jadi In House Photoghrapher. Sejak itu saya tidak menoleh lagi. Saya terus menekuni bidang fotografi. Pada tahun 1987, saya pindah ke Stockholm, Sweden. Sebelum itu, saya memang berulang alik antara London dan Sweden.  Kini saya banyak terlibat dengan projek fotografi di kawasan Asia, dan berulang alik antara KL , Jakarta , London untuk  memenuhi tugasan dan kontrak yang diberikan.
UB: Bagaimana tuan mendapat idea dan inspirasi?
AG: Saya mendapat idea dan inspirasi di mana saja, dari TV hingga percakapan yang saya dengar di jalanan. Agak sukar untuk tidak mengambil sesuatu idea yang menginspirasi tetapi saya fikir idea yang baik akan hidup lama dalam imaginasi hinggalah ia dilahirkan. Mungkin ia mengambil masa yang lama, satu bulan, satu tahun atau mungkin lebih dari itu sehingga anda punya peluang untuk merakamnya , tetapi anda masih merasa tertarik dengan idea itu.
UB: Boleh cerita sedikit proses kerja tuan?
AG: Saya bahagikan proses kerja saya kepada lima, iaitu inspirasi, penyelidikan, perancangan, shooting atau penggambaran dan post pra produksi. Kerana saya selalu membuat shooting di lokasi, saya cuba untuk membuat perancangan sebaik mungkin. Hasil produk sangat bergantung dimana saya bekerja dan seberapa jauhnya tempat saya mengambil gambar itu. Saya ingin memperolehi idea yang jelas mengenai apa yang saya mahu dari sesuatu gambar, jadi saya boleh kosongkan ruang untuk improvisasi, dan selalunya sesuatu yang ajaib dan mengejutkan boleh terjadi.
UB: Di mana tuan bekerja, maksud saya di mana tempat ruang kreativiti tuan untuk menghasilkan idea?
AG: Saya memiliki Studio di KL dan saya mempunyai studio di Jakarta dan Singapura. Tapi ruang kerja kreatif saya yang sebenar ialah dimana saya berada. Ia boleh sahaja di mana mana di dunia ini. Saya suka kerja saya kerana ia membawa saya ke tempat yang baru, tempat yang kadang tak terduga, bekerjasama dengan masyarakat dari pekbagai peringkat. Ini adalah sesuatu yang terus menerus mendorong dan menginspirasi saya.
UB: Kalau boleh tahu, apa antara kerja yang mencabar yang pernah tuan laksanakan?
AG: Antara tugas yang mencabar yang pernah saya buat ialah membantu negara untuk menepis tanggapan buruk pihak Barat terhadap minyak sawit. Mereka menentang penggunaan minyak sawit kerana beberapa sebab. Antara dakwaan yang mereka lemparkan ialah penanaman kelapa sawit merosakkan alam sekitar, memusnahkan habitat hidupan liar seperti orang Utan, penebangan hutan dan dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak di ladang-ladang.
Selepas diberikan tugas oleh Malaysia Palm Oil Council (MPOC), saya membuat penyelidikan. Saya cuba melihat dari sudut kemanusiaan. Tentu banyak aspek kemanusiaan di ladang-ladang sawit. Saya membuat pengambilan gambar hampir selama dua bulan untuk mendekati masyarakat yang terlibat. Saya ke Pulau Carey, di Selangor untuk mengambil gambar puak Mah Meri. Saya mengambil wajah wajah dan rupa paras pekerja-pekerja ladang Sawit. Saya berkunjung ke ladang-ladang di  Sabak Bernam, Selangor , ke Bentong , Pahang dan lain-lain.  Saya cuba untuk memberikan sudut pandang kemanusiaan dalam industri sawit. Idea awal sebenarnya hanya untuk mengambil gambar wajah kerana saya yakin melalui wajah seseorang, ia boleh memberi banyak cerita. Bila memandang ke dalam mata mereka, kita dapat melihat banyak cerita pahit manis dari sana.  Dengan sokongan MPOC, saya membuat pameran foto di Strand Gallery London pada 23 Februari.
Setiap foto saya berikan cerita.Bila anda melihat sebah foto, anda rasa ingin terus melihatnya dan mula membayangkan kehidupan mereka melalui pengalaman yang kita alami.
Foto oleh AMRI GINANG
untuk mengenali beliau, anda juga boleh melawat laman web http://www.ag.my.
Saya tidak hanya bercerita mengenai ladang sawit.Kita mahu mereka melihat wajah-wajah petani, pekebun sawit yang menjadi tulang belakang ladang sawit di Malaysia, bahawa kehidupan mereka tidak jauh dengan kehidupan petani di Eropah, Amerika dan tempat-tempat lain di dunia.
Penggambaran itu memberikan kesedaran mengenai kehidupan manusia dan kemanusiaan di ladang sawit. Saya pameran di London, kita buat pameran di Belgium, Peranchis, New York.
UB: Selain itu, apa lagi yang pernah tuan buat?
AG: Saya pernah diberikan tugas oleh Unicef untuk merakamkan gambar orang-orang gelandangan.Saya menemui orang-orang yang hidup tanpa rumah, tanpa memiliki tempat tinggal. Saya merakamkan wajah mereka yang bercerita mengenai kehidupan yang mereka alami.
Selain itu, saya juga pernah membuat gambar mengenai kehidupan penyelam-penyelam mutiara Melayu di Australia. Mereka kebanyakannya berasal dari Mantin Negeri Sembilan, dan sudah berada di Australia sejak tiga hingga empat generasi yang lalu.Mereka di bawa kesana untuk menjadi penyelam mutiara. Ada di antara mereka kahwin dengan orang Australia, dengan kaum aborogine dan di kalangan mereka sendiri. Sudah tentu budaya mereka sudah multikultural. Projek itu melibatkan juru foto Malaysia dan Australia. Juru foto Malaysia dihantar selama sebulan di Australia dan juru foto Australia dihantar pula ke Malaysia.
UB: Sekarang apa projek yang tuan buat?
AG: Saya membuat fotografi untuk iklan komersil. Sekarang saya lebih banyak menekuni bidang ikan komersil. Membuat tugasan untuk jenama-jenama syarikat besar di seluruh dunia.
UB: Antaranya?
AG: Saya membuat fotografi untuk iklan komersil untuk jenama seperti Isetan (Jepun)Kose, H&M, IKEA,Crown Plaza Hotels, Tourism Malaysia, Petronas,MIDA, Shangri-La, Chanel, Estee Lauder, Lancome, Unilever,Celcom, Berita Publishing, Utusan Malaysia Publishing, Putrajaya Holdiings, Malaysia Airlines, Emirates Airlines, Chitralada Thailand, Amari Group of Hotels, HP International, LCC Properties, dan lain-lain.
UB: Apa niat tuan yang belum terlaksana?
AG: Saya ingin membantu golongan belia di Sabah terutamanya yang berminat dakam bidang fotografi. Saya yang membimbing mereka terutamanya graduan-graduan yang banyak menganggur. Di Sabah, saya difahamkan terdapat kira-kira 40,000 lepasan ijazah yang masih menganggur. Jika mereka mendapatkan kemahiran dalam bidang fotografi, hidup mereka pasti bertambah baik, Saya ingin balik untuk membimbing mereka dalam bidang fotografi
UB: Boleh tahu berapa harga sekeping foto yang tuan hasilkan?
AG: Bergantung kepada saiz besar atau kecil. Sekeping foto boleh berharga antara RM7,000 hingga RM25,000.
UB: Apa nasihat tuan kepada jurufoto baru?
AG: Fotografi bukan setakat ambil gambar. Apapun usaha anda pastikan anda mahir. Anda harus berlatih meningkatkan kemahiran. Mesti tingkatkan pengetahuan dan kemahiran dan selalu berlatih. Ibarat bola. Kalaupu anda pandai main bola, kalau tidak berlatih, tidak juga ke mana.
Fotografi boleh mendatangkan hasil yang lumayan. Ia tidak semestinya bergantung kepada peralatan yang mahal. Ia terletak kepada kualiti, kreativiti dan imaginasi kita. Banyak orang ambil gambar tetapi tidak tahu nilai gambar itu.
Nasihat saya untuk menjadi fotografer yang berjaya, mesti ada hala tuju.Cari bidang fotografi yang anda suka dan anda mahir. Jangan gunakan fotografi untuk dapatkan glamour.