Ahad, 1 April 2018

Pulau Lutungan Tolitoli, indah dan bersejarah

Tags

Pulau Lutungan Tolitoli, indah dan bersejarah
-Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari-siri 5
Pagi hadir dengan sempurna di Tolitoli pada hari kedua kami berada di sana. Laungan Azan Subuh dari Masjid Agung Al Mubarak menjadikan perasaan aman dan tenteram. Apatahlagi di sekitar penginapan kami di Kompleks Kediaman Rumah Bupati itu, terdengar juga kicauan burung-burung.
Perjalanan ini harus direnungkan. Di subuh yang hening itu, saya teringat satu ayat dalam Surah Al-An’am ayat 11 yang memerintahkan manusia agar berjalan di muka bumi.
Prof Dr Quraish Shihab, seorang pakar tafsir, mantan Menteri Agama Indonesia ketika mentafsirkan ayat itu menyatakan bahawa ayat itu memerintahkan manusia melakukan perjalanan di muka bumi atau dalam bahasa sekarang, berwisata atau melancong tetapi hendaklah disertai dengan upaya melihat dengan mata kepala dan hati yakni sambil merenungkan dan berfikir mengenai apa yang dilihat terutama menyangkut kesudahan yang dialami generasi terdahulu,puing-puing peninggalannya di sepanjang perjalanan. Sungguh banyak yang boleh difikirkan.
Lakukan perjalanan dengan tujuan berfikir. Bagi saya, perjalanan juga satu cara perenungan. Tujuan melancong atau mengembara adalah  mengenal alam dengan segala keindahan dan seninya serta mengenal manusia dan penciptanya. Ini seperti yang disebut dalam surah Al Ankabut ayat 20. Perjalanan yang dianjurkan oleh al-Quran, kata Prof Dr Quraish Shihab adalah dilakukan untuk tujuan iktibar yakni mengambil pelajaran dari peristiwa sejarah dan fenomena alam. Dengan menerapkan tuntutan al-Quran, katanya,, manusia bukan saja mengenal sejarah dalam tempat, perincian dan lingkup peristiwa tetapi juga  merenungkan latar belakang  hukum hakam alam serta faktor yang menjadi sebab kehancuran masyarakat, kejayaan dan kegagalannya.
Sambil berfikir-fikir itu, saya melihat sarapan sudah disediakan. Kami segera saja menikmatinya kerana pagi itu kami akan berkunjung ke Makam Raja Tolitoli di Pulau Lutungan.
Pulau Lutungan terletak kira-kira 3.5 batu dari Kota Tolitoli dan boleh dihubungi menggunakan bot selama kira-kira 25 minit. Perjalanan kami kali ini disertai Kepala Dinas Wisata, Pak Moh Nasir Daeng Marumu.Khabarnya, jika tidak kerana sakit gigi, Ketua Majlis Adat Tolitoli, Drs Haji Ibrahim Suadah juga mahu ikut ke pulau Lutungan.
Kami menaiki bot yang disediakan oleh Dinas Perhubungan dalam perjalann ke Pulau Lutungan itu. Kepala Dinas Perhubungan, Pak Fadjar Suko Syuhadha turut berada di pelabuhan untuk menghantar kami.
Pulau yang indah dan bersejarah itu memiliki pasir yang putih. Perairannya jernih. Suasanaya mendamaikan. Tetapi tujuan kami adalah untuk menziarahi Makam Sultan Syafiuddin Bantilan, makam raja yang terletak di Tandu Kanau. Tandu ertinya tanjung, kanau ertinya enau. Pulau Lutungan adalah pulau yang menjadi perisai tolitoli dari tiupan angin dan gelombang laut. Ia terletak di jalan masuk di  hadapan Kota Tolitoli.
Sultan Syafiuddin Bantilan memerintah antara tahun 1859 hingga 1867. Beliau dikatakan seorang raja  yang memiliki kesaktian.Mengikut kepercayaan penduduk di sana, burung yang terbang pun boleh jatuh kalau ditunjuk oleh beliau. Buah kelapa juga boleh jatuh dengan hanya menunjuk buah kelapa. Bahkan jika berkehendakkan air tawar, beliau hanya menggoyangkan kakinya ke air laut. Beliau sangat dikeramatkan oleh masyarakat Tolitoli.
Ketika berkunjung ke sana, masih terdapat banyak lidi. Saya bertanya kepada seorang penjaga makam.
“Lidi-lidi ini ditanam oleh mereka yang mempunyai niat. Jika lidi yang ditanam itu bertambah panjang, itu menunjukkan apa yang diniatkannya akan terkabul. Jika berubah pendek, niat orang itu tidak termakbul,” kata penjaga makam, pak Basri.
Selain itu, banyak lagi kepercayaan di kalangan masyarakat setempat. Ada yang mengatakan jumlah anak tangga ke kawasan kuburan itu juga berubah-ubah.Kiraan atau hitungannya tidak pernah sama. Kuburannya juga berpindah-pindah. Demikianlah sekelumit cerita yang pernah diceritakan orang yang pernah ke pulau Lutungan.
Mungkin kerana sudah lama, nisan kuburan yang diperbuat daripada kayu kini menjadi seperti batu.
Makam Sultan Syafiuddin itu kini menjadi cagar budaya nasional. Kedudukan penting dalam sejarah. Beliau dikatakan mempunyai hubungan dengan Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. Masyarakat di Tolitoli berharap lebih ramai pelancong dari Malaysia, Brunei dan Filipina yang akan berkunjung ke Tolitoli seterusnya melawat Pulau Lutungan itu.
Di pulau Lutungan, saya sempat bertanya  mengenai  beberapa perkataan dalam bahasa tolitoli yang kira-kira mempunyai kesamaan dengan bahasa masyarakat etnik di Sabah. Sagin  dalam bahasa tolitoli bererti  masak, Lottu (masak), mokulutu (memasak), inang (ibu) amang (ayah), lima (tangan), buuk (rambut), bau (ikan) mangai (mancing), sasik (laut) Ogu sasik (air laut), bungayan (pasir), langasu (awan),udan (hujan), undan (tangga), ayangan (perahu) sampang (celana dalam)  dan banyak lagi.
Selain keindahan dan khazanah sejarah yang dimilikinya, pulau Lutungan juga terkenal kerana memiliki terumbu karang dan pelbagai jenis ikan. Ia sesuai untuk aktiviti snorkeling, diving, dan sebagainya, kata Kahar Muzakkar, ketua seksyen hubungan laut.
Sebelum meninggalkan pulau Lutungan kami sempat singgah di sebuah keramba, atau tempat penternakan ikan.
Ada sejenis ikan yang dilindungi dan memiliki nama yang unik. Ia dikenali dengan nama ikan Napoleon.
“Ikan napoelon adalah ikan yang dilindungi. Tidak boleh diperjualbelikan kecuali yang diternak sendiri di keramba.Harganya Rp120,000 perkilogram, (kira-kira RM37 sekg)” katanya Pak Amiruddin.
Selain ikan napoleon, banyak ikan lain yang diternak dalam sangkar itu.  Tetapi kami hanya singgah sebentar di kawasan sangkar ikan itu. Hari itu, hari Jumaat. Kami harus bergegas pulang ke daratan sebelum muazzin melaungkan azan.