Ahad, 1 April 2018

PENGALAMAN SETIBANYA DI TOLI-TOLI

Tags





PENGALAMAN SETIBANYA DI TOLI-TOLI
-Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari-siri3

Saya tidak menyangka ada upacara sambutan. Pak Jabir  meminta kami agar bersedia setengah jam lebih awal. Beliau sudah menelefon kapten kapal memastikan kami dapat turun lebih dulu
Tiba jam 12 malam kami sudah berada di Pintu Tingkat Lima. Kami fikir kapal tiba jam 12.30 tetapi ternyata setelah melihat  informasi itu,kapal itu akan tiba kira-kira jam 1.30 pagi. Masih banyak waktu lagi. Terlalu awal kami keluar. Akhirnya kami duduk saja di tangga di depan kaunter informasi.  Bila penjual keliling itu datang menawarkan kopi dan sebagainya, saya memesan mee sedap.
Kalau balik ke kabin, saya takut kami tertidur lelap. Di luar, pantai terasa masih jauh lagi di tengah kegelapan itu. Ombak pula tidak lagi seramah tadi. Tengah malam itu ia kelihatan agak galak. Tidak lama kemudian ada pengumuman dari kapal agar kami ‘tamu bupati Toli-Toli”  melapor ke kaunter informasi.
Kami tiba kira-kira jam 1.30 pagi. Saya menuruni tangga terlebih dahulu untuk mengambil gambar. Kelihatan pemimpin-pemimpin Toli-Toli bersedia memyambut kedatangan kami. OKK Haji Masrin Haji Hassin, selaku ketua rombongan dikalungkan bunga cengkih.  
Penumpang-penumpang kapal melihat acara sambutan itu dan mungkin bertanya tanya siapa gerangan yang disambut itu.
Kami sendiri tidak menyangka diberi sambutan serupa itu.Antara yang hadir ialah Wakil Bupati Toli-Toli,  H Abd Rahman S Budding,Ketua Dewan Adat Drs H Ibrahim Suadah,Asisten Bidang Pemerintahan, Dr Ajamain Laterey, Asisten Administrasi Umum, H Abdillah H Gaffar, Kepala Dinas Pariwisata,Moh Naser Daeng Marumu, Kepala Balitbang, Dr Igusti Lannang Arimbawa, Wakapolres Tolitoli, Kepala Pelni Toli-Toli, Anggota DPRD Toli-Toli, Nurdin Najamuddin, Kepala Dinas Perhubungan Ir Fajar Sukosyuhada.
Kemudian ada persembahan tarian dan pukulan gong dan kulintangan.
Selepas itu kami dibawa ke penginapan , yang kemudian kami ketahui sebagai Kediaman Bupati Toli-Toli. Kerana ramai yang menyambut kami,jadilah seperti konvoi, dengan didahului kereta polisi. Mereka ikut menghantar kami sampai ke penginapan, ramah tamah sebentar, kemudian dijamu makan sebelum masuk ke kamar yang disediakan.
Kami terbangun selepas mendengar muazin melaungkan azan. Masjid terasa dekat tetapi kerana kami tidak tahu letak atau jaraknya, kami menunaikan solat Subuh di kamar saja.
Jumlah penduduk Toli-Toli adalah seramai 211,283 orang terdiri dari beberapa suku iaitu Toli Toli, Dondo, Bugis Makassar dan Boul. Majoriti penduduknya beragama Islam.Luas Toli Toli adalah 4,097,77 km persegi.
Kabupaten Toli-Toli  memiliki 43 pulau dengan panjang garis pantai 453.8 kilometer terdiri dari 10 wilayah kecamatan terbahagi kepada 94 wilayah pedesaan dan 6 wilayah kelurahan.

Kira-kira jam 9.00 pagi selepas menikmati sarapan, kami dijemput memasuki dewan, yang kebetulan terletak di sebelah penginapan kami.
Acara dimulakan dengan penganugerahan “Mabalai Tau Dako Kadakoan Adat Lipu Totolri atau Sesepuh Pemangku Adat ToliToli, kepada OKK Haji Masrin Haji Hassin oleh Tau Makaasa Dei Kadakoan Limpungan Adat Tao Totolri, Ketua Dewan Adat di Lingkungan Kedatuan Masyarakat Toli-Toli, Drs H Ibrahim Saudah, MBA, PhD.
Beliau diangkat sebagai warga kehormat Toli Toli dengan penuh istiadat dalam bahasa Toli Toli, dimuliakan dan digelar Datu.Dalam istiadat penganugerahan itu, mereka memohon doa pada Tuhan yang Maha Esa  mudahmudahan  semua diberi panjang umur, hidup bahagia, banyak rezeki dan memperolehi rahmat kebaikan untuk semua .
Ia sesungguhnya satu kejutan bagi kami. Tetapi mendapat  penghormatan yang sebegitu tinggi oleh Majlis Adat Toli-Toli memang amat mengujakan.
Turit hadir dalam majlis itu ialah Sekretaris Daerah, Mukaddis Syamsuddin  Letkol Kav Anker Widianto, Dandim 1305/Boul Toli-Toli,Letkol Laut (P), Henry Ballo, Komandan Angkatan laut Toli-Toli Boul dan kenamaan lain.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Kepala Dinas Pariwisata, Moh Naser Daeng Marumu yang mengalu-alukan ketibaan rombongan BKI ke Toli-Toli. Selepas itu, ucapan disampaikan oleh Wakil Bupati,  H Abd Rahman S Budding. Dalam ucapannya, beliau berkata, kunjungan budaya itu mampu membantu menjalin dan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat di Sabah Malaysia dan Toli Toli Sulawesi Tengah.
Katanya, Toli-Toli mengharapkan lebih banyak lagi kunjungan pelancong ke daerah itu yang mempunyai banyak tempat wisata atau pelancongan  yang menarik. Antara tempat menarik di Toli-Toli ialah Pulau Pandan, , Pantai Sabang Tende,, Tanjung Matop iaitu tempat bertelur burung maleo yang mempunyai saiz telur yang besar. Sebiji telur burung Maleo kira-kira 10 x telur ayam. Pelancong juga boleh berkunjung ke Air Terjun Malangga, Desa Wisata Malangga dimana mereka boleh menyasikan perkebunan koko, hutan tropika, pembuatan gula merah dan sebagainya. Tempat lain adalah seperti Tanjung Sanjangan,Pulau Lingayan, pulau Dolangan, Pulau Salando, Pulau Kapas,  dan sebagainya.
Sementara itu, OKK Haji Masrin Haji Hassin, Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) merangkap Ketua Daerah Kota Belud dalam ucapannya memberitahu mengenai tujuan kunjungan itu iaitu menelusuri jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari. Beliau berkata terdapat hubungan sejarah yang intens antara Tempasuk (Kota Belud) dengan ToliToli pada abad ke-18 dan ke 19.
Beliau berharap kunjungan dan penelitian sejarah yang dilakukan mampu mengeratkan hubungan budaya antara Sabah dan Toli-Toli . dan mendorong lebih banyak kunjungan dari Malaysia, Filipina dan Brunei ke Toli -Toli khususnya mereka yang memiliki talian sejarah dengan ToliToli pada masa lampau.

Hadirin dihiburkan dengan tarian kesenian rakyat Toli-toli, Lagu-lagu dalam bahasa Toli dan sebagainya sebelum majlis jamuan makan tengahari.
Selepas itu, kami memulakan perjalanan ke Pulau Pandan, yang terletak kira-kira dua jam di selan Kota ToliToli. Selain jambatan terpanjang di ToliToli sepanjang kira-kira 300 meter, desa itu juga terkenal sebagai tempat konservarsi terumbu karang Desa Sambujang.
Namun ada hal yang lebih menarik dari itu.