MENGENAI MALIM DAN KAPAL YANG TIDAK DAPAT BERLABUH
Operasi atau tugas mengemudikan kapal masuk ke pelabuhan atau keluar dari pelabuhan dilakukan oleh seorang malim. Malim berperanan menentukan sama ada sesebuah kapal berlabuh dengan selamat atau jika melakukan pelayaran, ia dapat keluar dari pelabuhan dengan baik tanpa kejadian yang tidak diingini.Tugas malim amatlah besar dan penting dalam memastikan pelayaran dapat dilakukan dengan sempurna.
Dalam kamus dewan edisi keempat, kata malim boleh bermakna guru agama, orang yang alim atau ulama. Satu lagi maknanya ialah petunjuk jalan, pemimpin atau boleh juga dimaknakan sebagai jurumudi. Ia juga bersinonim dengan nakhoda,juragan, malim angin, malim kapal, kapten dan sebagainya. Malim juga sinonim dengan pendidik, pembimbing dan sebagainya.
Seorang malim haruslah cerdik, bijaksana, penuh perkiraan, penuh pertimbangan, mampu bertindak dengan cepat dan tepat. Untuk menjadi seorang malim yang baik, ia haruslah memiliki ilmu dan pengetahuan. Tanpa ketinggian ilmu dan luas pengetahuan, mungkin kapal yang dikemudi tidak dapat menentukan ke mana hala atau destinasi yang dituju.
Saya tertarik dengan sebuah bayuk dari masyarakat Iranun yang mengisahkan mengenai kegagalan malim mengemudikan kapal menyebabkan kapal tak tentu hala tujunya.
Bayuk adalah puisi yang paling dominan dalam masyarakat Iranun, salah satu etnik di Sabah.Ia adalah satu wacana untuk menyampaikan sesuatu yang terbuku di hati secara berkias. Bayuk terbahagi kepada beberapa jenis seperi bayuk a usiat (bayuk nasihat), bayuk a daung (bayuk kiasan), bayuk a sindiri (bayuk sindiran), bayuk a uragis (bayuk rajuk), bayuk a panukauan (bayuk pengimbas berita) dan sebagainya.Selain bayuk, masyarakat Iranun memiliki pelbagai jenis puisi antaranya sambirungan, diguani, dtaya' dan mang-mang bumbungan.
"Lemalabu' su kapal,
sa di' kaludan di kilid
da' man a gkalabuan
pasadan man ku malim
kalalagan ku lalung.''
Ma' ampir su galila
sa di' lau di' dedsaan
da'a gkabarantanan
puku' ku jurubasa
dupang ku maungangen"
Terjemhannya bebasnya seperti berikut:
Kapal yang berlabuh,
bukan di lautan, bukan juga di tepian
(tak bertempat sesuai untuk berlabuh)
kerana si malim
cerdik dalam dungu.
Merapatlah ghali,
bukan di lautan, tidak juga di persisiran
(tiada tempat merapat
berpunca dari jurubahasa
bodoh dalam bijaksana".
Bayuk ini saya kutip dari buku Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah: Etnik Iranun terbitan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) 2017.
Dalam bayuk itu , ada dua frasa yang menyebabkan kapal tidak mendapat tempat yang sesuai untuk berlabuh , bukan di lautan, bukan di tepian, dan tidak ada tempat untuk merapat kerana malim dan jurubahasa , adalah ` kalalagan ku lalung (cerdik dalam dungu) dan dupang ku maungangen (bodoh dalam bijaksana).
Kegagalan malim untuk mengendalikan kapal menyebabkan ia tidak mempunyai tempat untuk berlabuh, sehingga kita berada dalam keadaan tidak juga di tengah laut, tidak juga di tepian.
Saya fikir dalam kehidupan ini, tidak dapat tidak, kita boleh dikatakan seorang malim. Kalau bukan malim dalam kepimpinan organisasi, jabatan,persatuan, kita malim dalam keluarga kita. Kalau bukan malim kepada sesama kita, kita adalah malim sekurang-kurangnya kepada diri kita sendiri. Satu perkara yang kita harus elakkan ialah sikap "kalalagan ku lalung (cerdik dalam dungu) dan dupang ku maungangen (bodoh dalam bijaksana).