Ahad, 31 Disember 2017

CATATAN PERJALANAN KE LINGGA 2

Tags



CATATAN PERJALANAN KE LINGGA 2

Kami tidak peduli lagi  soal angin yang menerpa atau alunan ombak yang sesekali menghayun feri Pintas Samudera itu. Sejak menaiki feri dari Stulang laut menuju Batam Center untuk kemudian ke Pelabuhan Telaga Punggur sambil  menunggu feri ke Lingga, saya benar-benar memanfaatkan peluang yang ada untuk  bertanya, menggali informasi, bertukar pendapat dengan ahli-ahli akademik, ahli sejarah, ahli budaya, penulis, penyair dan sebagainya.
Bagi saya, perjalanan ke Lingga bukan setakat untuk menelusuri jejak sejarah nenek moyang kira-kira 230 tahun yang lampau, tetapi juga satu perjalanan intelektual, dan saya seolah-olah mengikuti kuliah sejarah dan budaya sepanjang perjalanan ke Lingga itu.
Di atas Feri Pintas  Samudera, saya sempat mewawancara Tan Sri Prof Datuk  Wira Dr Abdul Latif Abu Bakar,  Ketua Sekolah Pengajian Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya, yang juga mantan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
"Warga Rumpun Melayu wajar menghayati dan mempunyai perasaan kasih sayang terhadap warisan peradaban Melayu bagi melahirkan kesatuan dan perpaduan umat Melayu dan Islam," katanya ketika saya menemubualnya di atas kapal yang bergerak pantas itu.
Beliau menjadi pembentang kertas kerja utama dalam Perbincangan Tamadun Melayu Antarabangsa yang diadakan di Kabupaten Lingga yang menyambut hari jadi yang ke-14 menjadi Kabupaten. Padahal ada yang berhujah, usia Lingga harus dikira mulai dari zaman Sultan Mahmud Riayat Shah yang memindahkan pusat kerajaan Riau ke Lingga pada 1787.
Warisan Peradaban Melayu yang berpusat dan dikembangkan oleh Empayar Kesultanan Melayu Melaka tetap unggul dan Kepulauan Riau Lingga menjadi penerus bagi mewarisi peradaban Melayu dari Melaka. Kekuatan Empayar Kesultanan Melayu Riau-Lingga yang menguasai Pahang, Johor, Singapura dan Kepulauan Riau Lingga menjadi medan utama kekuatan Melayu dalam lingkungan wilayah selatan Tanah Melayu (Malaysia) Singapura dan Kepulauan Riau.
Di samping itu, kata Prof Latif, warisan peradaban Melayu tetap berkembang maju di Jawa, Brunei, Sulawesi, Aceh, Minangkabau, Mindanao, Pattani, Kemboja dan lain-lain.
"Itulah warisan peradaban Melayu yang beraras tinggi yang tetap berkembang sehingga sekarang. Bagi mengingati, meneruskan serta memartabatkan warisan peradaban Melayu di Rumpun Melayu, kita wajar menyusun barisan bagi meneruskan silaturrahim dan menjadi pewaris yang melahirkan bangsa bermaruah dan menghargai sejarah serta budaya sebagai tiang seri Peradaban Melayu di Rumpun Melayu.
Pendekatan geo-politik pula perlu diteruskan di setiap negara Asean, khususnya Rumpun Melayu atau Nusantara Raya mengikut dasar dan pemerintahan negara masing-masing seperti Indonesia, Brunei, Malaysia dan lain-lain.
Kata Prof Dr Abd Latif, bagi mencapai matlamat yang murni dalam melahirkan negara-negara di ASEAN yang bertamadun, kita di Rumpun Melayu wajar menyusun dan merancang strategi untuk mengingatkan generasi muda dan pewaris bangsa dengan program yang berteraskan warisan sejarah dan sosio budaya yang menjadi teras dan tiang seri peradaban Melayu di Rumpun Melayu.
Sebenarnya banyak hal menarik yang ditimbulkan oleh Prof Dr Abd Latif ketika sesi temuramah itu. Sistem pendidikan hendaklah didedahkan mengenai warisan peradaban Melayu atau negara-negara Rumpun Melayu, kerjasama Asean bagi memartabatkan warisan peradaban Melayu hendaklah diperkasakan. Program Jejak Warisa Peradaban Melayu hendaklah dijayakan terutamanya yang dipelopori Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Beliau juga mengusulkan program Jejak Warisan Peradaban Melayu untuk mengenang kembali peranan institusi Raja Melayu hendaklah doadakan seperti Jejak Warisan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Brunei, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Satu lagi yang menarik ialah program Naik Kapal dari Melaka ke Kepulauan Riau hendaklah diadakan dan diikuti wilayah Rumpun Melayu yang lain seperti Jawa,Brunei, Sulawesi dan Sumatera.
Sebaik tiba di Batam Center, kami terus naik teksi ke Pelabuhan Telaga Punggur. Di sana saya sempat mendengar pendapat dan hujahan Prof Mukhis Paeni, Dr Didik Pradjoko mengenai sejarah Zaman Bahari. Pak Mukhlis menceritakan mengenai perlawanan terhadap Belanda di Tanjung Pinang 1787 yang membolehkan Sultan Mahmud Riayat Shah diangkat sebagai Pahlawan Nasional. Saya juga sempat bertanya mengenai Perang  Reteh 1858 yang melibatkan Panglima Besar Sulong dan banyak peristiwa yang lain. Dr Didik menceritakan mengenai Gerilya Laut Sultan Mahmud Riayat Shah 1787-1795.
Di sinilah beliau menceritakan bagaimana Sultan Mahmud menghantar surat meminta bantuan daripada Raja Tempasuk yang menghantar tiga anaknya serta Raja Ismail berlayar ke Riau. Mengikut arkib VOC, pada tanggal 2 Mei 1787, sebuah armada terdiri daripada 40 hingga 55 kapal membawa 1,500 hingga 2,100 perajurit berlabuh di Tanjung Pinang. Tidak lama kemudian , jumlah kapal yang berlabuh mencapai 90 kapal dan membawa 7000  anggota pasukan, armada Iranun dari Tempasuk, kata Dr Didik Pradjoko.
Perbincangan begitu mengasyikkan hingga waktu menunggu feri berlalu begitu saja. Kira-kira jam 1, feri yang membawa kami ke Lingga pun tiba dari Tanjung Pinang.
Kami tiba  ketika matahari sudah turun ke dalam laut hanya menyiratkan semburat warna senja. Keesokan harinya, Perbincangan Tamadun Melayu Antarabangsa yang diadakan Aula Kantor Bupati berlangsung dengan lancar. Saya sempat bertemu dengan Dr Muhammad Takari Jilin Syahrial dari Universiti Sumatera Utara dan Majlis Adat Budaya Melayu Sumatera, Drs H Abdul Kadir Ibrahim .M.T, dan paling tak disangka ialah Datuk Seri Lela Buadaya Rida K Liamsi. Tidak ketinggalan penulis dan penyair terkemuka Indonesia, Sutardji Calzoum Bachri, Hasan Aspahani, Husnizar Hood, bang Teja, Jumadi, Asrizal Nur,dan ramai lagi.
Indahnya warisan Melayu kita, Warisan Peradaban Melayu Serumpun, Kita Sepakat memartabatkan bangsa, Melayu di julang, sentiasa berhimpun, saya teringat pantun Prof Dr Abd Latif Abu Bakar.
Perjalanan ke Lingga memberikan pengalaman yang  bukan sedikit.Bukan setakat gambar  Gunung Daik Bercabang Tiga, tapi hancur badan di kandung tanahpun, budi  yang baik , dan ingatan yang indah di Lingga akan tetap jadi kenangan.