Sabtu, 22 Julai 2017

PINJAMAN HASSIN PERJUANG APA YANG DIYAKINI

Tags




PINJAMAN HASSIN PERJUANG APA YANG DIYAKINI


SEJARAH perjuangan Pinjaman Hassin dalam arena politik Sabah mungkin agak terlupakan. Tetapi tokoh yang pernah menjadi kawan rapat Datuk Ahmad Boestamam dan Tan Sri Dr Tan Chee Koon ini pernah menjadi watak penting dalam dunia politik Sabah sekitar tahun 1974 hingga 1978 apabila menjadi Ketua Perhubungan Parti Keadilan Masyarakat (PEKEMAS).Sebelum itu, beliau terlibat dalam penubuhan Parti United Sabah Action Party (USAP). Kedua-dua parti itu sudah lama dibubarkan dan yang tinggal hanyalah sejarah untuk dikenang-kenang.

Pinjaman Haji Hassin dilahirkan di Kampung Rampayan Ulu Kota Belud pada 3 Januari 1951. Beliau mendapat pendidikan awal di NVS Nanamun sehingga lulus Peperiksaan Darjah Enam Untuk Sekolah Melayu (Primary Six Examination For Malay Schools) pada tahun 1965. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Government Secondary School Kota Belud hingga lulus  Sijil Rendah Pelajaran 1969 Grade 2. Beliau lulus Sabah Junior Certificate pada Disember 1970.Bagaimanapun ketika berada dalam tingkatan empat, situasi memaksa beliau untuk menceburkan diri dalam bidang politik.

Beliau adalah salah seorang pengasas United Sabah Action Party (USAP) (1972-Jun 1974), Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) ( 1974-1978), Setiausaha Politik Parti Berjaya (1980-1982), Timbalan Presiden Parti BERSIH (1983-1985), Setiausaha Politik Parti Bersatu Sabah Pusat  (PBS) (1987-1988), Ketua Cawangan UMNO Kampung Rampayan Laut II (1993 hingga sekarang).

Pinjaman pernah bertanding atas tiket PEKEMAS dalam pilihanraya kecil DUN Kinabatangan 8 Disember 1975. Sebelum itu, ketika bertanding dalam Pilihanraya Parlimen P136 Kota Belud, pencalonannya ditolak kerana kesilapan teknikal dan beliau cedera dikasari penyokong parti lawan. Sekali lagi beliau bertanding atas tiket Pekemas di ADUN Tempasuk pada 1976 . Sekali lagi, beliau bertanding di Kota Belud dalam pilihanraya Parlimen 1978 atas tiket Pekemas, Kali terakhir beliau bertanding ialah pada tahun 1990, di kawasan DUN Usukan atas tiket PBS.

Beliau pernah mendapat Diploma Pembangunan Masyarakat Luar Bandar (Southeast Asia Rural  Social Leadership, Intitute of Philippines, Xavier University pada tahun 1989. Beliau juga pernah menjadi Pegawai Kebajikan di Jabatan Ketua Menteri 1983, Lembaga Pengarah Sabah Industrial Product (SIP) selama enam tahun. Beliau dianugerahkan Pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK). Persatuan Iranun Sabah (Perisa) bersama ahli Jawatankuasa Aktivis Iranun menganugerahkan anugerah `Datu Ampuan’ sebagai pengiktirafan atas jasa-jasanya kepada masyarakat Iranun di negeri ini.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau pada satu pagi yang jernih di kediamannya di Kampung Rampayan Laut Kota Belud dan berkongsi pengalaman pahit manis ketika berada di bangku sekolah dan kenangan suka dukanya dalam perjuangan politik. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi menerima pelawaan Utusan Borneo untuk sesi interview ini. Bolehkah Datu Ampuan jelaskan serba sedikit latar belakang keluarga?

PINJAMAN: Saya dilahirkan di Kampung Rampayan Laut pada 3 Januari 1951. Ibu saya berasal dari Rebuk, ayah saya pula berasal dari Merabau. Sebenarnya saya anak kedua. Kemudian kakak dan adik selepas saya meninggal dunia.Kemudian diikuti  OKK Haji Masrin dan selepas ada lagi meninggal dunia.
Saya bersekolah di Native Voluntary School (NVS) Nanamun bermula tahun 1960. Sekolah itu dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Atapnya nipah dan berdinding buluh. Saya ingat lagi, sekolah itu dirasmikan oleh pegawai daerah Kota Belud, orang putih bernama Kirk Douglas. Masa bersekolah itu, usia saya sebenarnya sudah lebih. Murid-murid diterima masuk sekolah jika tangan mereka boleh melepasi kepala ke telinga. Tan Sri Pandikar mulanya tidak dapat masuk sekolah kerana tangannya tidak sampai ke telinga.

Mula-mula hanya sepuluh orang yang diterima masuk ke sekolah, tapi kemudian bertambah dari hari ke hari. Antara murid pertama NVS Nanamun ialah Cikgu Kabilangan Haji Mulia, Datu Manong,Datu Adek Datu Dani, OKK Haji Masrin Hassin dan lain-lain. Murid-murid ke sekolah, jika tidak berjalan kaki, terpaksa naik kuda atau naik kerbau. Jika dari rumah jam 5.00 pagi, jam 7 atau lapan sudah sampai di sekolah.Orang-orang dari Rampayan Ulu terpaksa menaiki perahu, menyusuri sungai dengan berlayarkan daun nipah. Antaranya ialah Cikgu Tiardek. Cikgu Hujud, Masjid Haji Karim, Harapan dan lain-lain lagi

Masa itu, tidak ramai orang Iranun yang mempunyai jawatan dalam kerajaan. Jawatan paling tinggi ialah Ketua Anak Negeri yang disandang oleh Allahyarham Datu Okar Datu Ansau. Di pejabat daerah, Allahyarham Haji Ahmad Talah dan Haji Manjair.

UB: Tahun berapa tamat sekolah di NVS Nanamun?
PINJAMAN: Saya tamat persekolahan di NVS Nanamun pada tahun 1965.

UB: Selepas itu, Datu  sekolah dimana?
PINJAMAN: Selepas lulus Peperiksaan Darjah Enam Untuk Sekolah Melayu (Primary Six Examination For Malay Schools) pada tahun 1965, saya melanjutkan pelajaran di Government Secondary School Kota Belud. Dalam peperiksaan itu, saya mendapat 56 peratus. Yang tertinggi masa itu. Antara yang lulus darjah enam ialah Cikgu Jamrang, Datu Manong, OKK Haji Masrin, Cikgu Kabilangan.

UB: Berapa lama Datu sekolah di GSS Kota Belud?
PINJAMAN: Saya bersekolah di GSS Kota Belud  hingga 1970. Saya lulus Grade 2 Sijil Rendah Pelajaran 1969 yang membolehkan saya masuk tingkatan empat. Saya juga lulus peperiksaan Sabah Junior Certificate pada 1970. Tetapi saya hanya sampai hingga tingkatan empat kerana menceburi bidang politik.

UB: Bagaimana Datu mula terlibat dalam politik?
PINJAMAN: Saya terlibat dalam politik secara tidak sengaja. Sebenarnya sejak tingkatan dua lagi, saya selalu diminta untuk menjadi penterjemah surat-surat yang ditujukan kepada ketua-ketua kampung. Kebanyakan ketua kampung masa itu tidak pandai  membaca. Mereka buta huruf.Saya diminta menterjemah surat kerana  orang Iranun yang ada sekolah masa itu sangat sedikit. Jadi saya menjadi penterjemah surat berhubung isu persempadanan kampung. Pada 1968, timbul masalah persempadanan kampung. Marampayan dipecahkan kepada tiga kampung iaitu Kampung Rampayan Ulu, Kampung Rampayan Laut dan kampung Nanamun. Di situ juga timbul permasalahan mengenai tanah simpanan padang ragut (grazing reserve). Orang-orang kampung banyak menghadapi masalah berkaitan tanah.Di situlah mulanya  timbul kesedaran dalam politik. Kemudian, saya mula berjinak-jinak dalam politik, ikut pelbagai perjumpaan dan perbincangan, untuk membincangkan entiti politik yang baru.

UB: Bagaimana datu ke Kota Kinabalu masa itu?
PINJAMAN: Masa itu hanya terdapat beberapa kereta land rover yang jadi pengangkutan ke Kota Kinabalu. Antara yang memiliki kereta ialah arwah Wahab Haji Rumasin, Awangku Atoh atau Haji Badtuan, dan arwah Sadim. Satu masa sambil menunggu penumpang, saya sempat menonton wayang di panggung cathay. Sebelum habis menonton wayang, saya mengajak arwah Sadim Haji Samad untuk minum di kedai kopi. Tiba-tiba ada satu orang pakai baju jaket mendekait kami. Are you Maranao? Saya bilang tidak. Itulah pertama kali saya mendengar perkataan Maranao. “ No. I`m not Maranao. I’m Iranun” Beliau tidak puas hati kerana katanya tadi faham percakapan kami ketika saya bercakap dengan arwah Sadim itu,” Can you follow me”..Akhirnya saya ikut dia walaupun dalam hati rasa was-was. Dia ajak saya ke Capital Hotel dan duduk minum di sana. Dia perkenalkan namanya  Haji Masiding Alonto. Saya perkenalkan diri sebagai Pinjaman Hassin dari Kota Belud Tempasuk. Kemudian setelah berkenal-kenalan kami bertutur dalam bahasa Iranun. Haji Masiding memberitahu bahawa beliau cuba untuk berjumpa dengan Tun Mustapha untuk meminta bantuian kerana masa itu, mereka di Mindanao sedang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Itulah mulanya saya mendengar perkataan Maranao.

UB: Oh ya, beralih kepada kisah penglibatan dalam politik. Boleh ceritakan bagaimana mulanya Datu terlibat dalam penubuhan United Sabah Action Party (USAP) pada 1972?
PINJAMAN: Begini ceritanya.Ketika berada dalam tingkatan empat, saya mendapat jemputan untuk mengikuti lawatan sambil belajar. Kami dihimpunkan di Dewan Masyarakat. Ramai orang. Disana saya lihat arwah Haji Mulia. Saya tanya, “apa kadi, apa ini” Setelah tahu mengenai program lawatan sambil belajar  itu sayapun ikut serta. Antara yang ikut masa itu ialah Yapin Gimpoton, Kinasarigan, Cikgu Haji Fazilalali, Haji Mulia. Ada seramai 60 orang. Kami dibawa melawat sambil belajar ke Singapura, Bangkok, Hong Kong, Tokyo.Semua perbelanjaan ditanggung. Ketika dalam perjalanan balik dari Tokyo, timbul kekecohan selepas beberapa anggota rombongan  membaca suratkhabar dalam kapal terbang. Suratkhabar itu memberitakan mengenai peristiwa yang berlaku di Sabah. Dinyatakan bahawa parti Perikatan masa itu menang tanpa bertanding dalam pilihanraya yang diadakan. Mereka rasa tidak puas hati. Mereka mengecam kepimpinan masa itu dan kerana mereka rasa tertipu.Sebabnya kerana pilihanraya itu diadakan ketika mereka dibawa melawat ke luar negara.

UB: Kemudian apa yang terjadi selepas balik ke Sabah?
PINJAMAN: Akhirnya selepas balik ke Sabah, saya mula terlibat dalam perbincangan-perbincangan penubuhan parti sehinggalah tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran, hingga akhirnya saya berhenti.
USAP diasaskan oleh Richard Lee. Cawangan USAP yang pertama sekali dirasmikan ialah di kampung Nanamun.

UB: Bagaimana mengenai sambutan masyarakat masa itu?
PINJAMAN: Sambutan masyarakatIranun amat membanggakan. Mereka memberikan kepada perjuangan sepenuh hati. Ketika perasmian cawangan USAP Nanamun, ia dihadiri ramai orang dari beberapa seperti Tamau, Pantai Emas, Merabau. Ada yang datang berjalan kaki, ada yang naik basikal. Kerana masa iyu, masih kawasan lapang, kedatangan mereka dapat dilihat dari jauh lagi. Oleh sebab itu, mereka mudah dihalang oleh pihak berkuasa.Ketika dalam perjalanan itu mereka dikejar polis kerana menghadiri rapat umum yang tidak mendapat permit. Saya sendiri ditahan dan terpaksa tidur satu malam di lokap. Begitulah antara kisah pada masa itu.
Sejak itu saya terus aktif dalam perjuangan parti.

UB: Ada cerita USAP terpaksa dibubarkan pada Jun 1974. Boleh ceritakan sedikit?
PINJAMAN: Selepas USAP bergerak aktif semula untuk menghadapi pilihanraya pada 1974, dan menimbulkan oposisi terhadap parti yang memerintah ketika itu. Pelbagai cara diadakan untuk melemahkan parti itu . Kenda;a pertama ialah ketika parti itu tidak dapat mengadakan mesyuarat.Ahli-ahli kepimpinan parti itu dipujukuntuk membubarkan parti itu, diberikan pelbagai janji termasuk diberika  wang. Pembubaran parti itu saya tidak tahu kerana masa itu saya  berada di Sandakan untuk merasmikan cawangan USAP..Kemudian saya didatangi Presiden Richard Lee di Gaya Hotel, di Sandakan. Beliau beritahu  Datuk Syed Kechik mahu berjumpa saya. Saya tanya mengapa. Katanya semua orang sudah bersetuju untuk membubarkan USAP dan mereka diberikan imbalan. Katanya,saya boleh minta berapa saja sebagai imbalan. RM dua juta atau berapa saja, yang penting setuju membubarkan parti. Beliau mahu membawa saya untuk berjumpa Syed Kechik di Kota Kinabalu. Tinggal kau satu orang saja, katanya.Semua sudah bersetuju tapi saya minta untuk menyelesaikan beberapa perkara dan berjanji untuk pulang dua tiga hari kemudian.

UB: Apa yang terjadi kemudian?
PINJAMAN: Saya kembali ke KK dari Sandakan tetapi saya sengaja tidak mahu bertemu Syed Kechik. Terlebih dahulu mahu berjumpa beberapa rakan seperjuangan seperti MA Rahman di Tuaran untuk mendapatkan kepastian, apakah benar mereka setuju membubarkan parti.
Ketika  berjumpa MA Rahman ternyata beliau juga tidak bersetuju. Selepas berbincang, kami mencari Patrick Gedomon di Tamparuli untuk bertanya pendapatnya. Beliau juga tidak bersetuju.Kami kemudian berjumpa Applonius Andrew di Papar, naik kereta van milik MA Rahman. Van itu tidak bertingkap kerana van jual buku. MA Rahman terkenal sebagai pengedar buku. Van itulah yang kami gunakan untuk bertemu Appolonius di Papar.Kami berjumpa dengan Applonius di kebun getahnya.
Setelah berdiskusi, akhirnya dipersetujui bahawa kami harus ke Kuala Lumpur. Seramai 10 orang diketuai Patrick Gedomon terbang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Dr Tan Chee Koon, Presiden Pekemas yang menjadi ketua pembangkang di Parlimen masa itu. Kami lantik Patrick Gedomon sebagai ketua, kerana beliau berduit dan beliau juga adalah ipar Datuk Dr James Ongkili yang menjadi pensyarah di Universiti Malaya ketika itu.

UB: Apa yang berlaku selepas itu?
PINJAMAN: Kami tidak dapat berjumpa Dr Tan kerana beliau sibuk di Parlimen. Sebaliknya kami diminta untuk bertemua Datuk Ahmad Boestamam yang menjadi Setiausaha Agung Pekemas di pejabat parti itu di Batu 3, Jalan Ipoh.
Setibanya di sana kami dipanggil satu persatu ke dalam biliknya dan ditanya apa sebabnya kami mahu Pekemas mengembangkan sayapnya ke Sabah. Sebaik keluar dari bilik Ahmad Boestaman, kami bertanya apa soalan yang ditanyakan oleh beliau.Setiap orang mendapat soalan yang hampir sama. Oleh kerana saya yang paling junior, saya adalah yang paling akhir dipanggil.
Kemudian sampailah giliran saya. Saya masuk. Ahmad Boestamam tidak melihat muka saya. Sebaliknya setelah menyebut nama saya, beliau bertanya apakah saya tahu ideologi Pekemas? Saya bilang, saya tahu.Ideologi Pekemas ialah sosialis. Kamu tahu erti sosialis? Saya jawab bahawa saya tahu sedikit-sedikit. Kemudian saya katakan bahawa Pekemas lebih mudah diterima di Sabah kerana Sabah tiada  sistem beraja dan tidak timbul soal hak istimewa Melayu kerana itu ideologinya boleh diterima di Sabah..Beliau kemudian meminta saya keluar. Saya agak terkejut kerana menyangka saya telah membangkitkan kemarahannya. Kemudian Setiausaha kerjanya masa itu, Zainudin Karim meminta kami datang lagi keesokan harinya untuk menunggu keputusan samada kami boleh bawa Pekemas ke Sabah.

Keesokan harinya,kami berbaris lagi  menunggu di depan pintu biliknya, akhirnya Zainudin Karim mengumumkan bahawa Pekemas boleh dibawa ke Sabah, dengan satu syarat, Pinjaman Hassin jadi ketua.Dia bertanya apakah kami bersetuju menerima syarat itu? Mulanya saya tidak mahu, saya bilang saya tidak boleh terima. Pertama kerana duit tiada, lagipula bini tiada. Tapi rakan-rakannya saya memujuk saya agar menerima jawatan ketua perhubungan itu.Mereka sanggup  membantu apa saja bagi  asalkan Pekemas jadi ke Sabah sebagai platform politik yang baru.Mereka bersedua menggalas tanggungjawab untuk memperjuangkan Pekemas bersama-sama. Mahu tidak mahu saya terpaksa menerima jawatan Ketua Perhubungan Pekemas Sabah dan dilantik sebagi Jawaatankuasa pusat parti itu. Saya sempat membantu Ahmad Boestamam berkempen dalan pilihanraya umum di Parit Buntar Perak. Ucapan saya sering menarik perhatian walaupun ketika malam hampir larut. Bila diberitahu saya wakil dari Sabah, ahli-ahli  Pekemas memberi sambutan yang membanggakan.Selepas itu, yang lain adalah sejarah.

UB: Apakah Pekemas berjaya bertanding di Sabah?
PINJAMAN: Dalam pilihanraya Parlimen 1974, Pekemas memberikan cabaran yang hebat kepada Perikatan.Bagaimanapun beberapa calon Pekemas ditangkap pada hari penamaan calon.  Saya berjaya mengemukakan kertas pencalonan di Pejabat Daerah Kota Belud, tetapi ketika masa mempamerkan notis pencalonan kepada orang ramai, kertas pencalonan saya disabotaj, angka 1 menjadi angka 7. Akhirnya kertas pencalonan saya ditolak.Saya juga cedera selepas dikasari oleh penyokong-penyokong parti lawan. Satu-satunya calon yang berjaya mengemukakan kertas pencalonan ialah MA Rahman di Parlimen Tuaran.Selepas itu, beliau tidak dapat berkempen kerana terpaksa bersembunyi sehingga pembuangan undi. Saya sendiri terpaksa mencari jalan ke Kuala Lumpur. Ceritanya panjang.saya terpaksa ke Menumbok melalui jalan darat sebelum ke Labuan seterusnya ke Brunei sebelum ke Kuala Lumpur.

UB: Selepas itu, adakah Datu bertanding semula dalam pilihanraya?
PINJAMAN: Apabila berlaku pilihanraya kecil di Kuala Kinabatangan dan Labuan, pada 22 November 1975,Pekemas ikut bertanding. Pilihanraya kecil itu berlaku selepas Datuk Harris Mohd Salleh dan Datuk Salleh Sulong mengosongkan kerusinya. Saya bertanfding atas tiket Pekemas di Kuala Kinabatangan manakala MA Rahman bertanding di Labuan.
Dalam pilihanraya kecil itu saya berdepan dengan calon Berjaya Abdullah Hussein manakala calon Usno ialah Datuk Haji Pengiran Galpam. Presiden Pekemas, Dr Tan Chee Koon turun ke Sabah untuk ikut berkempen.Sambutan yang diberikan terutamanya oleh pengundi Cina terhadap Pekemas  amatlah membanggakan.Terdapat kira-kira 1,900 pemgundi cina di kawasan itu tetapi apabila peti undi dikira, saya hanya mendapat 50 undi.Saya rasa memang kami disabotaj masa itu kerana semua agen mengundi terdiri dari mereka.

UB: Menarik sekali. Oh ya, bagaimana pula perjumpaan dengan Tun Fuad. Saya difahamkan Datu pernah diminta berjumpa Tun Fuad?
PINJAMAN:Pernah satu kali Tun Fuad Stephens meminta saya berjumpa beliau di rumahnya di Likas. Beliau menawarkan saya untuk ikut serta penubuhan Parti Berjaya.Beliau menawarkan saya ambil  tempat nombor tiga dalam parti, Jawatan nombor dua dipegang oleh Datuk Harris.Kepadanya, Saya memberitahu bahawa saya perlu pulang terlebih dahuluuntuk  berunding dengan penyokong saya di Kota Belud. Bagaimanapun,ketika saya beritahu mengenai perkara itu, orang-orang saya, arwah Sharif Kurais, arwah Rakim, arwah Datu Raslin Gayong tidak setuju.

UB: Seandainya datu bersetuju tawaran Allahyarham Tun Fuad, mungkin jalan sejarah akan berlainan?
PINJAMAN: Semuanya sudah menjadi ketentuan Allah. Saya yakin dengan jalan yang saya pilih demi untuk memperjuangkan apa yang saya yakini demi membela dan membangkitkan rasa keadilan di kalangan masyarakat.