Sabtu, 22 Julai 2017

CIKGU SHAIFFUDIN, CEBURI BIDANG AUDIO VIDEO

Tags



CIKGU SHAIFFUDIN, CEBURI BIDANG AUDIO VIDEO

Hidup adalah bekerja, dengan bekerja waktu menjadi berharga, kata seorang pujangga.Mungkin itu sebabnya, Shaiffudin Shaiddin, masih aktif bekerja meskipun sudah bersara sejak enam tahun lalu.

Bagi beliau, kerja adalah ubat yang paling mujarab bagi melawan segala penyakit.Ketenangan dan Kebahagiaanlah yang sentiasa kita perlukan, namun kedua-dua hal itu yang boleh diperolehi dengan bekerja.

Shaiffudin Shaiddin lahir 15 Mac 1953 di Kampung Taun Gusi Kota Belud. Lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Shaiffudin,  beliau kini menguruskan perniagaan sendiri dalam bidang audio video.

Sejak menamatkan kerjaya di Kementerian Pelajaran pada  15 Mac 2011 ketika berusia 58 tahun, Cikgu Shaiffudin menggunakan bakat dan kepakarannya dalam bidang rakaman audio video, bidang yang berkaitan dengan tugasnya ketika bekerja di Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) Kota Belud Sabah.

Menyingkap sejarah perkhidmatannya dalam bidang perguruan, beliau mempunyai rakam jejak yang panjang. Beliau adalah angkatan  pertama dalam Kumpulan 65 orang yang masuk KDC (Kursus Dalam Cuti) pada pada tahun 1979 hingga 1981 apabila tawaran untuk guru-guru yang tidak terlatih ditawarkan oleh Kementerian pada masa itu untuk mengikuti Kursus Dalam Cuti di Maktab Perguruan Kent Tuaran.

Sebenarnya Cikgu Shaiffudin mula berkhidmat sebagai Guru Sementara pada 22 September 1971.

“Pada tahun 1971, saya masih bersekolah Form 3 di GJSS Kota Belud apabila Tuan Digong Haji Abd Rashid menawarkan saya menjawat jawatan guru sementara.Pada masa itu,belajar  Form 3 adalah satu tiket yang paling mudah untuk jadi guru.

“Semasa mengisi borang permohonan, saya dan arwah Haji Rashkin Haji Saum pergi ke pejabat Tuan Digong di Kota Kinabalu. Sebulan selepas itu, saya menerima surat pelantikan sebagai guru sementara  dan diarahkan bertugas di SK Timbang batu Kota Marudu.

“Semasa melapor diri di SK Timbang Batu, saya disambut penuh hormat oleh guru besar masa itu, Cikgu Simarau Masator @ Busu bin Osman, kerana sekolah itu kekurangan guru masa itu,” katanya..
Sepanjang berkhidmat di sekolah itu, beliau pernah bekerja di bawah pimpinan Guru Besar iaitu Cikgu Simarau Masator, Cikgu Masi Labuamn Puan Oyen Semoring dan terakhir Ali bin Sunggang.

Saya bertugas  sebagai guru sementara di SK Timbang Batu  Kota Marudu dari 22 September 1971 hingga 30 Mac 1975. Kemudian saya berpindah ke SK Taun Gusi sebagai  Guru Penolong. Masa itu, guru besar ialah Cikgu Tukang bin Lalah.” katanya.

 Beliau kemudian di SK Taun Gusi Kota Belud dari 1 April 1975 hingga 22 Mac 1977. Kemudian beliau .dipinjamkan ke Pejabat Pelajaran Kota Belud atas araha PPD PBU masa itu, Haji Abdul Malek Moksin.. Di pejabat pelajaran, beliau  diarahkan bertugas di bawah Pegawai Pelajaran Kota Belud iaitu Mohd Zinin Haji Anuar. Di pejabat, beliau diberikan tugasan untuk semua fail, membuat dekorasi pejabat melalui lukisan, carta-carta dan statistik guru dan arahan-arahan semasa yang diberikan kepada beliau. Cikgu Shaiffudin bertugas di sana bermula 23 Mac 1977 hingga 30 September 1981.

Kemudian pada tahun 1981, beliau ditawarkan sebagai kakitangan projek  InSPIRE di Pejabat Pelajaran Kota Belud pada 16 November 1981 hingga 14 November 1985. “Pada masa itu, saya dan beberapa orang kakitangan projek diarah ke sekolah-sekolah yang terpilih untuk menilai keberkesanan projek ini yang dibangunkan oleh salah sebuah universiti di Pulau Pinang,” katanya.

Selepas projek itu dihentikan, beliau diarah bertugas di SK Taun Gusi Kota Belud kerana pelantikannya masih kekal di sekolah itu walaupun dipinjamkan di pejabat Pelajaran Kota Belud. Beliau bertugas sebagai Guru Penolong di SK Taun Gusi pada 1986 hingga 3 Mac 1990,

Pada tahun 1990 hingga 1992, beliau mendapat tawaran bertugas di  SMK Taun Gusu sebagai Guru Pendidikan Seni, Guru Pusat Sumber dan Guru Komputer dalam pendidikan. Sepanjang bertugas di SMK Taun Gusi, beliau mendapat banyak pendedahan dalam pembelajaran komputer dalam pendidikan dimana mereka dihantar berkursus di Sarawak dan Semenanjung beberapa kali  untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Masa itu, Pengetua  SMK Taun Gusi Kota Belud ialah Abdul Hakim Kassim.

Pada  Januari  1992, beliau sekali lagi menerima tawaran bertukar dan bertugas sebagai Pegawai Penyelaras Pusat Kegiatan Guru Daerah Kota Belud di Bahagian Bahagian Teknologi Pendidikan. Jawatan itu adalah yang pertama dan baru diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1992 . “Saya adalah generasi pertama yang mendapat tawaran ini sebagai pegawai PKG. Semasa menjawat jawatan ini, bidang kuasa saya semakin mencabar kerana saya perlu menjaga kesemua sekolah di daerah Kota Belud daripada aktiviti dan yang berkaitan dengan aktiviti dan kegiatan guru yang berpusat di PKG di bawah pengurusan dan pentadbiran Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud dengan kerjasama Pegawai Teknologi Pendidikan PBU.

Beliau mendapat tawaran kenaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Ko Kurikulum Kategori C2 di  SK Marak  Parak ;pada 7 Mac hingga  Jun 1997, apabila beliau sekali lagi ditawarkan berpindah jawatan sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan PBUuntuk membantu Pegawai Teknologi Pendidikan 1, Ahmad Haji Rashkin, Semasa berkhidmat  di Pejabat Teknologi Pendidikan Bahagian PBU,, beliau perlu menjaga semua sekolah di Ranau, Kota Belud, Tamparuli,Kota Marudu,Pitas, Kudat dan Banggi. Beliau berkhidmat di sana bermula 2 Julai 1997 hingga bersara pada 14 Mac 2011.

Selepas bersara, belia sempat bertugas sebagai Ketua Unit Pentadbiran di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Belud. Namun demikian beliau mengambil keputusan untuk berhenti awal pada tahun 2016 untuk menumpukan perhatian dalam bidang pekerjaan sendiri seperti mencetak dekorasi T Shirt, Mug, Studio Rakaman, Penyewa Peralatan audio video,pusat jaming dan karaoke dan perkhidmatan penggambaran video dan penyuntingan untuk semua majlis rasmi dan  persendirian.

Sebelum itu, sepanjang perkhidmatannya,Cikgu Shaiffudin pernah mengikuti  Kursus Pusat Sumber Sekolah,Kursus Sistem Fail,Kursus Pengurusan dan Prentadbiran, Kursus Elektronik anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan,Kursus Penggambaran kamera video, kursus menulis Skrip radio dan TV, Kursus Kewartawanan, Kursus Fotografi, Kursus suntingan video, kursus komputer dalam pendidikan, Kursus EDUWEB TV,Kursus Penggunaan Rancangan TV Pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran, Kursus Sekolah Bestari dan ICT dalam pendidikan dan banyak lagi.

Walaupun sudah lama bersara, tetapi beliau masih tetap aktif bekerja dalam bidang yang diminatinya. Kini beliau menguruskan Din’s Studio KB yang menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti rakaman audio dan peminjaman peralatan Audio Video, Percetakan T Shir, Mug, Topi, penggambaran video untuk majlis rasmi dan persendirian.

Mengerjakan apa yang anda sukai tidaklah penting, yang penting adalah menyukai apa yang anda kerjakan, katanya sambil mengutip Aristotle.