EMIN MADI MENCIPTA IDENTITI DALAM DUA GENRE PENULISAN
DUNIA kewartawanan di Sabah pada era 70 hingga 90-an tidak dapat dipisahkan dengan nama Emin Madi. Beliau pernah menjadi pemberita seterusnya Pengarang Bahasa Melayu di Sabah Times, akhbar tertua di negeri ini. Emin adalah wartawan yang disegani dan dihormati.
Selain terkenal sebagai wartawan, Emin juga dikenali sebagai seorang sasterawan melalui beberapa karya cerpennya yang tersiar di suratkhabar. Novelnya Salarom, pernah terpilih sebagai pemenang hadah ketiga (tiada pemenang pertama dan kedua) Sayembara Menayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka yang diadakan oleh Dewan Bahasa Pustaka tahun 2008. Kini walaupun sudah bersara, beliau masih terus bergiat dalam bidang penulisan tanahair.
EMIN MADI lahir di Kampung Sinungkalangan, Tambunan pada 29 November 1949 tetapi membesar di Kampung Bayangan, Keningau. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Binaong (kini SK Binaong) Bingkor seterusnya ke Government Junior Secondary School (kini SMK) Kemingau pada tahun 1963. Pada tahun 1965, beliau menyertai 3 Renjer Angkatan Tentera Malaysia . Selepas lima tahun dalam angkatan tentera, beliau menyambung pelajaran secara persendirian hingga lulus tingkatan lima. Pada masa yang sama beliau berjinak-jinak dalam dunia persuratkhabaran sehingga diterima sebagai pemberita di Sabah Times pada tahun 1973.
Emin pernah mengikuti kursus kewartawanan selama 12 bulan di Berita Harian Kuala Lumpur. Di sana beliau mendapat bimbingan terus daripada beberapa tokoh penulis dan wartawan tahair seperti Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail, Datuk A Samad Said, Sutan Shahril Lembang, Samani Amin dan Zubaidah Abdul Rahman,Zainudin Bendahara. Selepas bekerja selama 22 tahun di akhbar tertua di Sabah, pada Februari 1995, Emin dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah hingga Mei 1995. Pada tahunn 1998, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam hingga 2002.
Beliau mendirikan rumah tangga dengn Siti Habsah Abdillah dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Ezrie dan Mohd Erwin. Beliau kini menumpukan masa dalam dunia penulisan kreatif, pernah menghasilkan novel, antaranya Salarom, dan kini sedang menanti novelnya The Green Gold of Borneo, ,yang ditulis dalam bahasa Inggeris, terbit tahun ini.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah premis di Jalan Pantai. Ikuti petikan temubual bersama beliau;
Boleh ceritakan sedikit latar belakang abang? Sekolah dimana?
Saya lahir di kampung Sinungkalangan, Tambunan dan membesar di Kampung Bayangan, Keningau. Memulakan persekolahan di SRK (dahulu GPS) Binaong, Bingkor dan seterusnya di Government Junior Secondary School (kini SMK) Keningau pada tahun 1963 hingga 1965, hanya sempat duduk tingkatan dua beberapa bulan sahaja kerana menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, iaitu Rejimen Ranger Malaysia, pada tahun 1965 dan berhenti pada tahun 1970. Ambil kelas lanjutan hingga lulus SPM.
Bagaimana terlibat dalam bidang kewartawanan? Apa yang menyebabkan abang tertarik menjadi wartawan?
Pada awal 70’an semasa bekerja dengan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), saya mula berkenalan dengan beberapa orang penulis Sabah, antaranya Hussein Qassau.
Minat saya dalam kewartawanan berkembang melalui pembabitan dalam Sinar USIA, malahan semasa di USIAlah saya dihantar bekerja sambil belajar di akhbar Berita Harian/Berita Minggu, Kuala Lumpur, selama hampir setahun sekitar tahun 1975.
Minat dalam kewartawanan juga timbul apabila sering membaca akhbar Kinabalu Sabah Times (kini The New Sabah Times) dan yang paling menarik perhatian saya ialah nama-nama wartawan terkenal pada ketika itu, termasuklah A.K. Aliuddin, K. Bali dan T.S. Hamid, sering terpampang di dada akhbar. Saya sangat kagum dengan cara penulisan mereka.
Apa pemerhatian abang tentang situasi atau trend kewartawanan sekarang?.
Bagus. Saya tengok ramai pemberita muda-muda belaka dan sangat berbakat. Cuma saya berharap pemberita muda jangan mudah berpuas hati dengan pencapaian kerjaya kewartawanan mereka.
Jangan segan silu menimba pengalaman daripada mereka yang lebih berpengalaman. Saya lihat ada keperluan bagi pemberita-pemberita muda untuk berfikir lebih kreatif dan agresif dalam mencari bahan-bahan berita atau rencana yang ekslusif.
Saya lihat isu alam sekitar kurang diketengahkan, sedangkan banyak perkara menarik yang boleh ditulis mengenainya.
Masih aktif dalam kewartawanan?
Ya, wartawan sambilan dengan Bernama dan banyak tumpukan penulisan rencana.
Bila kali pertama menulis karya sastera? Cerpen?
Tak berapa ingat, mungkin sekitar 80’an saya mulai menulis cerpen.
Boleh cerita sedikit mengenai novel Salarom?
Salarom adalah novel dokumentari-fiksyen pertama saya. Novel itu kemudiannya memenangi hadiah ketiga (tiada pemenang pertama dan kedua) Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka yang diadakan oleh Dewan Bahasa Pustaka tahun 2008.
Ceritanya berkisar tentang kehidupan masyarakat Murut di Kampung Salarom, sebuah penempatan terpencil di daerah Pensiangan, Sabah. Kebetulan saya berpeluang berkunjung ke tempat itu dan sangat tertarik dengan keindahan dan keunikan alam persekitarannya. Akhirnya saya terdorong untuk menulis novel mengenainya.
Khabarnya sedang menyiapkan novel dalam Bahasa Inggeris? Apa ceritanya?
Ya betul. Ia berjudul ‘The Green Gold of Borneo’ dan sebenarnya sudah siap sepenuhnya. Sahabat karib saya, Zahir Ahmad, yang juga bekas wartawan, banyak membantu dalam kerja-kerja penyemakan manuskrip awal, terutama dari segi Bahasa Inggeris. Saya sebenarnya sudah menulis dua karya kreatif dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak mengetengahkannya kerana saya merasakan ia kurang mantap dari pelbagai segi.
Karya itu genre ‘docufiction’ (documentary-fiction). Ceritanya adalah gabungan unsur-unsur mistik, alam sekitar serta banyak berkisar di Maliau Basin, salah sebuah konservasi hutan paling penting di Sabah, yang juga dikenali sebagai ‘Dunia Yang Tidak Ditemui’ (Sabah’s Lost World).
Saya juga memanfaatkan pengalaman-pengalaman sebenar yang saya alami dan perolehi melalui beberapa kajian sumber dan hidupan liar di Lembah Danum, Imbak Canyon dan Maliau Basin yang melibatkan para saintis dari dalam dan luar Negara.
Memerhatikan para saintis dan para penyelidik melakukan kerja-kerja penyelidikan fauna dan flora merupakan satu pengalaman yang paling hebat pernah saya alami sepanjang kareer saya sebagai wartawan.
Bagaimana penulis kita bersaing dalam sastera di peringkat antarabangsa?
Ini soalan baik. Saya fikir penulis-penulis di Malaysia, khususnya di Sabah, tiada pilihan selain memikirkan bagaimana hendak menghasilkan karya yang mempunyai potensi menembusi pasaran bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.
Maksud saya, karya-karya yang mempunyai kelainan dan keunikan cerita. Justeru, kena banyak usaha untuk menggali dan mencari cerita-cerita sedemikian.
Itulah sebab utama mengapa saya begitu bersemangat untuk menghasilkan The Green Gold of Borneo. Kerana, saya fikir, itu sahaja cara untuk mencari potensi pemasaran karya baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
Bukan untuk membanggakan diri sendiri, tetapi semata-mata kerana didorong untuk mencari sesuatu kelainan, selain mahu mencabar setakat mana kemampuan menulis dalam Bahasa Inggeris.
Saya sedang berusaha mencari penerbit di dalam dan luar Negara untuk menerbitkan The Green Gold of Borneo. Inipun bukan satu perkara yang mudah, terutamanya mencari penerbit tradisional.
Apakah cabaran yang dihadapi oleh penulis masakini?
Cabaran paling besar ialah bagaimana penulis, terutama sekali pengkarya sastera, boleh hidup dengan hasil karya mereka. Persoalannya, setakat manakah kebolehpasaran karya-karya penulis tempatan masakini?
Berapa ramai penulis di negara ini yang mampu berdikari melalui hasil pemasaran karya-karya sastera mereka? Saya tidak fikir penulis hanya mementingkan soal menghasilkan karya semata-mata.
Kita bersyukur kerana ada badan-badan penulis di Sabah yang begitu aktif merangsang dan mmberi galakan kepada para penulis untuk terus berkarya.
Dan juga kita berterima kasih kerana institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Buku Malaysia sentiasa memberi ruang kepada para penulis tempatan dari segi penerbitan karya-karya mereka. Namun demikian, kita masih berhadapan dengan isu kebolehpasaran karya-karya sastera.
Bila waktu menulis?
Biasanya saya menulis di waktu pagi. Tetapi kemunculan ilham tidak menentu. Jadi, saya pastikan saya sentiasa membawa buku nota. Kena cepat-cepat tulis idea yang datang. Walaupun dua atau tiga perkataan sahaja, tetapi apabila dihuraikan boleh menjadi satu atau dua lembar.
Pengalaman pahit manis sebagai wartawan?
Pengalaman manis ialah semasa bekerja sambil belajar hampir setahun di akhbar Berita Harian dan Berita Minggu, Kuala Lumpur, sekitar tahun 1975.
Saya merasakan seperti orang kerdil kerana dikelilingi oleh nama-nama besar dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan tanah air, seperti Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A. Samad Ismail, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Shahril Lembang, Samani Mohd. Amin, Zubaidah Abdul Rahman, Zainuddin Bendahara dan ramai lagi. Mereka itu adalah sifu-sifu saya.
2 comments
Tuan,
Saya wati, anak Zubaidah Abdul Rahman dan Zainuddin Bendahara.
Ibu saya mohon kerjasama dari pihak tuan untuk dapatkan no talipon Uncle Emin Madi kerana ibu saya ingin menghubungi Uncle Emin Madi kerana sudah lost contact.
Saya boleh di hubungi di no bimbit saya 0166987800
Tetima.kasih
Terima kasih Nombor hp sudah diwhatsapp. moga bermanfaat