Selasa, 30 Mei 2017

KAMPUNG SADE LOMBOK, MASIH AMALKAN ADAT TRADISI

Tags



KAMPUNG SADE LOMBOK, MASIH AMALKAN ADAT TRADISI

Tidak boleh tidak. Semua wanita di kampung itu harus pandai menenun. Seawal sembilan tahun, anak-anak gadis sudah diajarkan cara bertenun kain. Wanita yang tidak pandai menenun dianggap satu kekurangan atau diluar kebiasaan kerana di kampung Sade, Pulau Lombok, semua wanita pandai bertenun.

Di Kampung Sade, tradisi suku Sasak asli masih terjaga. Kita masih boleh menyaksikan penduduknya  menjaga tradisi sejak mendiami kampung itu kira-kira 15 generasi yang lalu.

Pak Adenan, Pegawai Perhubungan ASITA mengajak kami singgah di kampung yang terletak di Desa Rimbitan, Kecamatan Pujut, Kabupaten Lombok Tengah. Dalam kunjungan kami ke pulau Lombok pada 17-19 April lalu, -terima kasih kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang menganjurkan program itu-Kampung Sade menjadi salah satu destinasi  wisata yang perlu dikunjungi selain Gili Trawangan, Kuta Mandalika dan Tanjung Aan.

Setibanya di kampung itu, kami disambut oleh Pak Usman. Selepas mengucapkan selamat datang kepada rombongan kami, beliau memberikan penerangan sepintas lalu mengenai adat istiadat di kampung itu. Terdapat kira-kira 150 keluarga dengan penduduk sekitar 800 orang mendiami kampung itu. Kebanyakannya masih mempunyai hubungan kekeluargaan. Itu sebabnya, mereka kahwin di kalangan sepupu.

Kampung Sade itu menyajikan suasana tradisional. Penghuninya suku asli Sasak Lombok masih mempertahankan kampung itu dengan menjaga keasliannya. Bangunan rumahnya kelihatan agak tradisional. Dindingnya dari anyaman bambu.
Sebagai desa wisata, Sade punya keunikan tersendiri. Meski terletak persis di samping jalan raya aspal nan mulus, penduduk Desa Sade di Rembitan, Lombok Tengah masih berpegang teguh menjaga keaslian desa. Khabarnya binaan rumah itu tidak menggunakan paku. Orang Sasak Sade menamakan bangunan rumah itu sebagai `bale’.
Saya sempat dibawa memasuki salah sebuah `bale’ dan melihat dengan mata sendiri rumah orang Sasak Sade. Lantainya tanah. Pak Usman memberitahu bahawa lantai tanah itu disapu atau dilumuri dengan kotoran sapi atau kerbau.
Kotoran sapi yang masih baru itu disapukan ke lantai. Tujuannya untuk menghalau nyamuk. Ketika memasuki rumah itu, saya sudah bersedia untuk tidak menutup hidung jika tercium bau yang aneh.Bagaimanapun tak ada bau yang terhidu.Biasa saja.
Semua penduduk di kampung itu beragama Islam. Meskipun mereka masih mempertahankan adat istiadat mereka.
Suku Sasak di Sade tidak mengenal adat pertunangan. “Kalau kita suka perempuan itu, harus dibawa lari,” kata Pak Usman. Jika kita meminang dengan baik, kita dianggap tidak tahu menghormati adat.
 “Kalau yang sudah pacaran, kahwin lari”, katanya. Di bawa lari ke tempat yang lebih jauh, lebih baik, katanya. Setelah itu, pihak lelaki akan menghantar utusan kepada keluarga perempuan untuk memberitahu bahawa anaknya dilarikan. Kemudian barulah mereka dikenakan hukuman adat dan dinikahkan.. “Selain itu, ada pula yang namanya kahwin Culik.Menculik anak gadis orang. Ini terjadi jika wanita tidak suka sebaliknya dipaksa kahwin oleh keluarganya,” kata Pak Usman.
Menurut buku Ensiklopedia Suku Bangsa di Indonesia susunan Dr Zulyani Hidayah, Orang Sasaka mendiami Pulau Lombok di deretan pulau-pulau Nusa Tenggara. Bahasanya termasuk dalam rumpun bahasa Austronesia, Melayu Polinesia Barat keluarga bahasa Bali-Sasak. Bahasa Sasak terdiri dari beberapa dialek seperti Sasak Pejanggi, Sasak Selaparang, Sasak Bayan, Sasak Tanjung, Sasak Pujut, Sasak Sembalun, Sasak Tebango dan Sasak Pengantap. Ada beberapa tingkatan bahasa Sasak iaitu halus dalem, halus biasa dan kasar atau bahasa pasar.
“Umumnya orang Sasak memeluk agama Islam, akan tetapi  dalam penghayatannya, mereka membezakan diri menjadi golongan Islam Waktu Lima dan Islam Waktu Telu. Golongan yang pertama menjalankan ajaran Islam dengan baik manakala golongan yang kedua mengakui Allah dan Nabi Muhammad akan tetapi lebih banyak menjaga kesucian batin dan tingkah lakunya menurut ajaran nenek moyang,”, kata buku itu.
Kalau golongan wanitanya bertenun, kaum lelakinya kebanyakannya bertani di ladang yang disebut `lendang’ atau di sawah yang disebut `subak’.


Namun di Kampung Sade, selain menjadi petani, ramai juga yang bekerja sebagai pemandu pelancong. Pak Usman memberitahu hampir setiap rumah di Kampung Sade menjual kraftangan, hasil tenunan, baju, pemegang kunci, dan cenderamata khas Lombok.
Saya membeli kopi Rinjani dan Kopi khas Lombok. Sudah menjadi hobi saya untuk membeli kopi di setiap kota atau desa yang dikunjungi.
Semua hasil jualan itu dikumpul dan kemudian diagihkan kepada semua keluarga di kampung itu. Ertinya kalau kita membeli kain, wang itu akan dikumpul dan semua dapat menikmati hasilnya.
Kerana penjelasan itulah yang menyebabkan saya membeli kain tenunan dari Inaq Rindi. Bagi golongan orang kebanyakan atau kaula, lelaki yang sudah mempunyai anak disebut `amaq’ yang belum mempunyai anak disebut `Ioq’ sedangkan perempuan yang belum mempunyai suami disebut `Ia’ dan yang sudah bersuami disebut ‘Inaq’.
Semua hasil jualan ini akan diagihkan bersama apalagi jika gagal panen atau hasil menuai yang tidak menjadi, kata Pak Usman. Di sini, tidak perlu khuatir, tidak ada ancaman kelaparan kerana semua dikelola bersama.
Selembar kain tenunan asli Lombok itu berharga sekitar Rp250,000 hingga Rp350,000. Kerana poket yang mulai menipis, saya mencari kain yang berharga Rp100,000  (RM30) sekadar untuk kenang-kenangan. Proses menenun mengambil masa satu minggu hingga satu bulan, mulai dari memintal kapas,memberi warna dan menenun. Itu yang membuatkan kain tenunan itu mahal. Banyak juga kain yang bermotif cicak yang dianggap membawa tuah di kalangan masyarakat itu. Cicak atau tokek, saya tidak dapat membezakannya.
 Kini tidak banyak kampung Sasak yang masih mengamalkan adat tradisional seperti yang diamalkan di Kampung Sade. Mungkin hanya tinggal tiga kampung, saya difahamkan yang masih mempertahankan tradisi mereka.
Lombok mempunyai penduduk seramai 4.3 juta orang,kata Ketua Badan Promosi Pariwisata Daerah Nusa Tenggara Barat (NTB,) H Affan Ahmad. “Kira-kira 85 peratus daripadanya terdiri dari Suku Sasak,” kata Pak Adenan, pegawai Perhubungan Asosiasi Perusahaan Perjalanan Wisata (ASITA)  NTB.
Sungguhpun kita dapat melihat identiti binaan tradisi Sasak di bangunan-bangunan di sepanjang jalan di Lombok tetapi hanya di Kampung Sade, kita dapat menemui adat tradisi asli Sasak yang masih terjaga. Kepada Pak Usman, saya mengucapkan “Tampi asih” dalam bahasa Sasak yang bererti terima kasih sambil bermohon diri.
Saya tidak tahu berapa lama berada di Kampung Sade, mungkin lebih 30 minit, tetapi  saya antara yang paling akhir naik bas sebelum kami meneruskan perjalanan ke Kota Mataram.
Namun rupanya bukan saya seorang saja yang ditunggu. Ada beberapa orang lagi yang masih asyik membeli barang-barang. Saya melihat hidup yang berghairah di Kampung Sade. Kolektif dan satu.