BELAJAR KESEDERHANAAN DARI SUNAN BONANG
Selepas menunaikan solat di Masjid Sunan Bonang, Kecamatan Lasem,Kabupaten Rembang, saya sempat berkenalan dengan Pak Abdul Wahid, penjaga makam Sunan Bonang. Beliau bercerita mengenai kehebatan atau nama sebenarnya Syeikh Maulana Makhdum Ibrahim yang hidup secara bersahaja dan sederhana.Sunan Bonang adalah putra Sunan Ampel (Syed Ali Rahmatullah) dengan Dewi Candrawati atau Nyai Ageng Manila.Beliau adalah salah seorang dari sembilan wali atau wali songo yang menyebarkan Islam di Jawa Tengah
Bersama Ibu Murni Nur Rif’ah, Ibu Juwarini dan Mas Mifta, kami dibawa berziarahi ke makam salah seorang wali songo itu. Makamnya dipagar tetapi berbanding dengan makam-makam wali yang lain, makam Sunan Bonang di Lasem itu hanyalah tanah rata. Tidak ada nesan. Hanya bunga melati yang ditanam di sekelilingnya. Bunga melati itu mungkin sudah ratusan tahun usianya.
Ketika bertafakur sejenak di makam itu, saya berdoa agar diberikan kekuatan jiwa seperti Sunan Bonang. Saya berdoa agar dijauhkan dari sikap sombong dan bongkok. Saya berharap diberikan juga kekayaan ilmu pengetahuan untuk dimanfaatkan. Saya berdoa agar selalu rendah hati dan tidak meninggi diri.
Semoga saya mendapat ubat hati yang disampaikan Sunang Bonang. Katanya, ubat hati itu ada lima perkara.
Dalam bahasa Jawanya, Tamba ati iku lima perkarane. Ubat Hati itu ada lima perkara, ini yang dikatakan Sunan Bonang dalam Lelagon Tamba Ati yang sudah berusia ratusan tahun ini tetapi masih terdengar merdu di telinga kita.
Bagi yang pernah mendengarnya, Lelagon Tamba Ati itu sarat dengan pesan moral. Mempunyai banyak nilai-nilai kearifan orang Jawa yang disampaikan dengan lembut dan bijaksana.
Namun walaupun sudah ratusan tahun berlalu, pesan yang disampaikannya dalam lagu Tamba Ati ini sangat baik untuk diamalkan kerana ia benar-benar mampu mengubat hati kita yang rusuh, yang risau, yang galau, yang bingung atau yang seumpamanya.
“Tamba Ati iku lima perkarane Kaping pisan maca Qur’an samaknane, Kaping pindho solat wengi lakonana Kaping telu wong kang soleh kumpulana Kaping papat kudu weteng ingkang luwe Kaping lima dzikir wengi ingkang suwe Salah sawijine sapa isa anglakoni Mugi-mugi Gusti Allah ngijabahi.
(Ubat hati itu ada lima perkara Pertama, membaca Al-Quran dan memahami maknanya Kedua, melakukan shalat malam, Ketiga, berkumpul dengan orang saleh, Keempat, harus melakukan puasa Kelima, dzikir malam yang lama Salah seorang yang boleh melaksanakan itu semua Maka Allah akan berkenan mengabulkannya).
Melalui lagu Tamba Ati kita dapat menyerap nilai-nilai kearifan yang dapat memberikan ubat bagi hati kita. Jika kita mahu mengubat hati kita, maka ada lima perkara yang dapat kita lakukan untuk menyembuhkannya.
Pertama, kita hendaklah membaca Al-Quran dan memahami maknanya. Pemahaman akan maknanya begitu penting supaya kita dapat melaksanakan dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tersurat atau tersirat dalam Al-Quran.
Jadi pemahaman terhadap makna ayat-ayat Al-Quran amatlah diutamakan, bukan setakat membaca tanpa memahami maknanya. Ubat hati yang kedua ialah melakukan shalat malam. Shalat malam setelah bangun tidur itu terasa lebih khusyuk. Kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan kita dapat menyampaikan doa dan permohonan kita dengan lebih baik kepada Allah SWT.
Ubat ketiga yang dikatakan Sonan Bonang ialah kaping telu kang soleh kumpulana atau berkumpul dengan orang saleh. Apabila kita mahu menjadi manusia yang saleh dan berhati jernih maka kita haruslah juga berkumpul dengan orang Saleh, supaya kita juga dapat menjadi orang Saleh.
Jika kita mahu terbebas dari penyakit hati dengan pelbagai variasinya itu maka Sunan Bonang berkata, ubat hati yang keempat atau kaping papat Kudu wateng ingkang luwe yang maksudnya harus melakukan puasa. Kita dinasihatkan melakukan puasa sama ada yang wajib yang sunat.Melalui puasa kita dapat mengendalikan hawa nafsu, nafsu amarah, nafsu lawamah,,dan sebagainya, Hanya dengan itu, kita dapat mencapai kebahagian sejati. Kaping Lima Dzikir wengi ingkang suwe.
Ubat hati yang kelima ialah dzikir malam yang lama.Zikir yang diucapkan lama dan dihayati dengan hati akan dapat membuka hati kita yang tertutup dari cahaya ilahi. Itulah lima perkara yang perlu dilakukan sebagai pengubat hati kita. Pesan Sonan Bonang yang mengandungi banyak kearifan ini hendaknya dapat kita renungkan dan laksanakan. Semoga penyakit yang melanda hati kita, dapat disembuhkan dan diubati dengan mengamalkan lima perkara yang dipesankan ini.
Semoga. Itulah antara pengalaman yang paling mengesankan ketika berada di Rembang dalam rangka Kunjungan Budaya ke Rembang pada 3 dan 4 Ogos lalu. Kesempatan untuk menziarahi makam Sunan Bonang itu adalah satu pengalaman yang amat bermakna dan tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.