KALAU TIDAK BOLEH BUAT ORANG GEMBIRA,JANGANLAH ORANG DISAKITI, KATA DRS M NAJMI YAQIN
“Kalau tidak boleh membuat orang gembira, janganlah orang disakiti. Jika tidak boleh menyenangkan orang lain, jangan bikin dia susah”, kata Hakim Tinggi Agama Jakarta, Indonesia, Drs M Najmi Yaqin SH MH. Ketika ditemui di Kota Kinabalu, awal minggu ini, hakim yang berpengalaman selama 41 tahun dalam bidang hukum agama itu, memberitahu mengenai falsafah hidupnya. Kalau tidak bisa bikin orang senang, jangan orang disakiti, katanya. Ketika ditanya apa nasihatnya kepada generasi muda, beliau berkata “Nasihat saya satu saja. Teruslah bekerja keras. Jangan Mudah menyerah”.
Drs M Najmi Yaqin SH MH, dilahirkan di Jambi, Sumatera pada 31 Disember 1950. Beliau mendapat pendidikan awal di SD di Jambi sebelum melanjutkan pengajian di Madrasah Tarbiyah Islamiah Bukit Tinggi. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Islam Negeri Yogyakarta hingga mendapat ijazah S1 (Ijazah Sarjana Muda) dalam bidang syariah sebelum melanjutkan pendidikan di Sekolah Tinggi Hukum Agama (STHA) Jakarta di peringkat S2. Sebaik tamat pengajian, beliau bergiat dalam bidang dakwah sebelum bertugas dalam pengadilan agama. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Dra Hajah Ruhmaida, seorang guru dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau ketika berkunjung ke Kota Kinabalu 5-7 Disember lepas dalam rangka tugasnya sebagai Hakim Tinggi Agama untuk menyaksikan Sidang Itsbat Nikah kali kedua yang diadakan di Dewan Budaya Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI). Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pengalaman beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang bapak?
DRS: Saya lahir di Jambi pada 31 Disember 1950. Anak kedua dari lima bersaudara. Ayah saya Haji M Yaqin seorang guru mengaji manakala ibu saya, Hajah Siti Fatimah, seorang petani. Saya mendapat pendidikan awal SD (sekolah rendah) di Jambi sebelum melanjutkan pendidikan di Pondok Pesantren di Bukit Tinggi iaitu Madrasah Tarbiyah Islamiah Bukit Tinggi. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Negeri Yogyakarta di peringkat S1 (Sarjana Muda) dan melanjutkan kuliah di Sekolah Tinggi Hukum Agama Jakarta untuk S2 (Sarjana).
UB: Selepas tamat kuliah, dimana bapak (tuan) ditugaskan?
DRS : Selepas tamat kuliah , saya sudah berdakwah di Muara Bongo Jambi dari tahun 1961 hingga 1968. kemudian di Bukit Tinggi pada tahun 1972 dan selepas itu Jogja tahun 1975. Dari usia 14 tahun saya sudah ikut berdakwah.
UB: Dimana bapak ditugaskan selepas bertugas di Pengadilan Agama?
DRS: Saya ditugaskan di Pulau Kangean, sebuah pulau yang boleh dihubungi kira-kira 11 jam perjalanan dengan kapal mesin dari Sumenep. Ketika itu saya baru berusia 28 tahun tetapi tidak menjadi bagi saya ditempatkan di sebuah pulau yang terpencil. Jiwa saya memang jiwa perantau. Saya nikmati saja. Bapa dan Ibu saya darah Padang. Merantau itu sudah biasa. Banyak orang stres kalau ditugaskan di tempat yang jauh. Tetapi saya nikmati saja.
UB: Apa kesan bapak terhadap pulau Kangean?
DRS: Di Kangean, orang-orangnya baik. Sopan. Penduduknya lebih banyak perempuan dari lelaki. Lelakinya berlayar atau merantau. Perempuannya cantik-cantik. Daerahnya makmur. Pada tahun 1976, ketika saya ditugaskan sebagai Hakim Agama di sana, televisi (televisyen) hampir semua rumah ada. Waktu itu di Jakartapun tidak semua mempunyai televisi (televisyen).
UB: Berapa lama bapak bertugas di sana?
DRS: Satu tahun lapan bulan. Selepas itu, saya pindah ke Bekasi pada tahun 1978 kemudian dipindah lagi kew Jatinegara Jakarta Timur. Pada tahun 1981 pindah lagi ke Bekasi, Kemudian di Cibadak jawa Barat selama tiga tahun. Selepas itu pindah ke Sukabumi selama satu tahun, kemudian dipindah lagi ke Cibinong selama tiga tahun. Selepas itu pindah lagi ke Tangerang selama satu tahun lapan bulan. Kemudian pindah ke Jakarta selama 6 tahun, kemudian pindah lagi ke Bandung selama lima tahun sebelum dipindahkan ke Jakarta. Itulah perjalanan karier saya selama 41 tahun dalam pengadilan agama.
UB: Bapak sudah banyak berkeliling Indonesia. Apa yang bapak rasai? Sesudah berkunjung dan bertugas di 26 Kabupaten seluruh Indonesia?
DRS: Saya dapat merasai nikmat bernegara. Selain itu ia dapat meningkatkan kecintaan saya kepada NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia). Saya tahu bahasa dan budaya Jawa kerana saya lama di Jawa. Saya tahu budaya dan bahasa orang Sunda kerana saya lama di Sunda. Begitu juga saya tahu bahasa dan budaya Madura kerana saya lama di Madura. Inilah yang membuat pola fikir saya berbeza. Saya berkawan dengan orang tidak apriori. Kadang-kadang kita bertemu watak orang yang bengis, hanya di mulut saja. Dia berteriak-teriak begitu kerana cara ngomong (percakapan) nya begitu.
UB: Sebagai seorang yang banyak berkeliling Indonesia, menurut bapak,dimana tempat yang paling menarik untuk dikunjungi?
DRS: Kalau yang masih asli, Sumatera Barat. Pemandangannya indah. Danau Singkarak, Danau Maninjau, Atas Bawah, Negeri Sianok. Itu masih semulajadi. Keindahannya memang asli, tidak payah bayar. Kalau di Jawa, hampir semua sudah dipoles.Banyak yang boleh dikunjungi.Jalanrayanya bagus. Misalnya di Jogja, di Jawa Tengah banyak tempat boleh dikunjungi. Borobudur, Prambanan. Infrastrukturnya bagus, Begitu juga di Jawa Barat. Banyak tempatnya sudah ditata, sudah dipoles. Di Bali juga bagus, pantainya indah. Semua asli.
UB: Selain tugas di pengadilan agama, apa kegiatan yang bapak lakukan?
DRS: Di mana tempat saya bertugas, saya mendirikan panti asuhan. Falsafah hidup saya, kalau tidak bisa bikin orang senang, jangan bikin dia susah,saya tuangkan dalam hidup seharian saya. Saya dirikan panti asuhan. Untuk masuk panti asuhan itu, harus hafal dua juzuk.Kini saya punya 112 pelajar.Selain itu, saya mempunyai SMP Swasta, Sekolah Menengah Pertama dengan pelajar seramai 520 orang. Walaupun sibuk dengan tugas saya tidak pernah campurkan kerja dengan sekolah, kalau jam kerja saya bekerja. Kerja keras.Tapi apapun, konsentrasi saya Islam.
UB: Mungkin bapak boleh ceritakan sewaktu bapak masih kecil?
DRS: Saya waktu kecil nakal. Sangat nakal sekali. Saya selalu berlawan dengan orang yang di atas umur saya. Saya sering dipulas atau dipatahkan tangan saya kerana berlawan dengan orang lebih besar. Ayah saya memasukkan saya ke pondok pesantren, supaya boleh berubah tingkahlaku saya. Dia hanya pesan, supaya saya berubah. Setelah berada di pondok, ia memberi saya pengajaran mengenai erti hidup. Ternyata saya yang dulu nakal, kemudian sudah berubah.
UB: Tentu suasana mengaji dulu dengan sekarang agak berbeza?
DRS:Saya dulu mengaji pakai kain sarung, pakai peci , mengaji kitab kuning, dengan huruf arab gundul (tidak mempunyai baris).
UB: Siapa guru yang bapak paling ingat, yang pernah mengajar?
DRS: Guru saya Sheikh Sulaiman Ar Rasuli, Pendiri Perti tahun 1930, Tamatan dari Makkah. Beliau itu agak terkenal kerana termasuk anggota Konstituante 1955.
UB: Bagaimana pertentangan antara kaum muda dan kaum tua masa dulu di Sumatera?
DRS: Sebenarnya pertentangan antara kaum muda dan kaum tua tidak seperti yang dikhabarkan. Pertentangan itu bermula masa dulu ketika imam Bonjol yang berhadapan dengan kaum adat. Imam Bonjol disokong oleh kaum pembaharu sementara kaum adat disokong oleh Belanda hingga berlaku Perang Padri. Itulah sebabnya timbul kata-kata ungkapan Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah pada tahun 1882. Kalau dulu adat bersendi alue jo patuik. Mufakat basandi alue jo patuik (--Mufakat bersendi alur dan patut). Namun kemudian , pada tahun 70-an , sudah tidak ada bertentangan antara kaum agama dengan kaum adat. Adat masih kuat tapi bersendi kitabullah, Warna Islam makin kuat.
UB: Masih bercakap bahasa minang di rumah? Mungkin ada falsafah minang yang boleh dipelajari?
DRS: Bahasa di rumah masih bahasa Minang. Bagi orang minang, di mana banyak orang di situ banyak wang. Wang harus diambil. Kita mesti tahu cara mengambilnya dari dompet mereka. Misalnya Kalau orang perlu sepatu, tentu mereka juga perlu talinya. Kita jual talinya. Kita sediakan apa-apa yang orang perlukan,sudah pasti kita dpat memajukan diri dalam perniagaan.
UB: Saya difahamkan ini kali pertama bapak berkunjung ke Sabah. Apa kesan bapak terhadap Sabah?
DRS: Kesan saya orang sini baik-baik. Baik layanannya , keramahannya.
UB: Dalam rangka tugas apa bapak ke Sabah?
DRS: Saya mengawasi jalannnya persidangan Sidang Itsbat Nikah yang diselenggarakan di KJRI. Jika timbul masalah, kita cari solusi untuk mengatasinya.
UB: Apa pentingnya pasangan warga Indonesia yang belum mengesahkan perkahwinan mereka secara hukum mengikuti sidang itsbat nikah?
DRS: Pertama, supaya mereka ada kepastian hukum, asas manfaat dan asas ketertiban.Dengan adanya sidang Istbast Nikah ini, dia bisa dilindungi oleh negara, ada akta kelahiran (surat lahir) boleh di bikin, hak pewarisan bisa dijamin, kalau berlaku kematian, bisa dikuburkan, jelas kepastian hukum kalau ada wang di bank. Jika mereka tidak mendaftarkan status perkahwinan mereka, sudah tentu ia menimbulkan kekacauan dalam data kependudukan. Kalau menurut informasi yang diperolehi, terdapat hampir 50 juta penduduk di seluruh Indonesia yang belum punya buku nikah. Hal seperti ini pasti menimbulkan kecelaruan dalam statistik kependudukan.
Banyak pernikahan yang dilaksanakan di luar negeri tidak mengikuti persyaratan sesuai dengan ketentuan dan perundang-undangan yang berlaku sehingga menciptakan permasalahan baru, misalnya melaksanakan pernikahan di luar negeri mengikuti ketentuan setempat namun tidak mendaftarkannya ke Pemerintah RI dalam hal ini Perwakilan RI di luar negeri.
UB: Kalau menurut bapak, apa masalah yang dihadapi oleh warga Indonesia yang mendaftarkan perkahwinan mereka?
DRS:Masalah yang saya dapat ketahui ialah dari segi biaya perkara, biaya transportasi, biaya makan dan sebagainya. Gaji mereka dipotong satu hari , cuba di hitung.
UB: Apa saranan bapak untuk mengatasi permasalahan ini?
DRS: Saya fikir, salah satu solusi ialah kita sarankan agar biaya ditanggung negara. Negara harus ikut membantu pasangan suami isteri berkenaan. Di bantu biaya transportasi, makan atau dibebaskan biaya. Tidak perlu bayar. Di Jawa, Pemerintah Daerah yang menanggung perbelanjaan istbat nikah.
UB: Jadi negara harus membantu?
DRS: Negara harus membantu kerana ia berkaitan dengan data kependudukan, untuk mengelak kekacauan dalam kependudukan. Jumlah WNI yang bekerja di negeri Sabah tidaklah sedikit. Tenaga Kerja Indonesia yang berdiam lama di wilayah tertentu pastinya akan berinteraksi dengan masyarakat setempat maupun dengan sesama masyarakat Indonesia yang berada di wilayah berkenaan hingga berhujung kepada pernikahan.
UB: Oh ya, apa prinsip bapak dalam menjalani hidup?
NY: Kalau tidak bisa bikin orang senang, jangan orang disakiti.Jika tidak boleh menyenangkan orang lain, jangan bikin dia susah.Itu falsafah hidup saya dari dulu.
UB: Apa nasihat bapak kepada generasi muda?
NY: Nasihat saya satu saja. Teruslah bekerja keras. Jangan Mudah menyerah.