Sabtu, 15 Oktober 2016

PROF DR SITI ZAINON ISMAIL, JATUH CINTA PADA BUDAYA BAJAU SAMA DAN IRANUN

Tags



PROF DR SITI ZAINON ISMAIL, JATUH CINTA PADA BUDAYA BAJAU SAMA DAN IRANUN


Siti Zainon Ismail adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan dan kesenian di negara ini. Wanita berjiwa besar ini cukup aktif menghasilkan penulisan ilmiah seni budaya, esei kajian analisis dan kritikan disamping menghasilkan buku ilmiah, buku sastera kajian dan penulisan berupa puisi, cerpen dan novel.


Prof Dr Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak Selangor pada 18 Disember 1949. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Seni Rupa Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) Yogyakarta hingga mendapat BFA pada tahun 1973. Selepas itu, Siti Zainon memperolehi Sarjana Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1980 dan kemudian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya pada tahun 1992.

Sebelum bertugas sebagai Profesor Sejarah Seni dan Estitika, Falsafah Kebudayaan dan Kesenian, Seni Budaya Warisan Alam Melayu-Nusantara di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014-2016, Siti Zainon memulakan tugasnya sebagai sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Tutor (1976-1979), Pensyarah (1980-1990), Profesor Madya dan Professor hingga tahun 2007 dan kini terus menulis kajian ilmiah dan seni budaya, kolumnis sajak Lakarwarna Dewan Sastera sejak tahun 2005 dan menjadi aktivis Pendidikan Seni Remaja dan Sahabat Budaya Siti @ SEBUDI.

Beliau menerima pelbagai penghargaan atas usaha dan semangat seninya. Antara anugerah yang diperolehinya ialah Hadiah Lukisan Batik MAHA (1967/1968) Hadiah Sketsa Kartini (ASRI 1970/1972/1973), Penghargaan Seni Seoul Country Club Korea (1986), Hadiah Esei Dewan Sastera (1988), Hadiah Sastera Malaysia (1976/1977/1978/1982/1985/1996/1997/2010/2012/2014), SEA Write Award Bangkok (1989),Gelar Teuku Chut Nyak Fakinah, Majlis Kebudayaan Aceh (1990), Penghargaan Usaha Seni Tan Sri Fatimah-Avon (1993), Pingat Seri Mahkota Selangor (1993), Anugerah Profesor Luar Biasa Universitas Jabar Ghafur Aceh (2006), Anugerah Budayawan Selangor (2009), Anugerah Budayawan Gombak ,Paksi (2012).

Dengan pengalaman ilmu dan sebagai aktivis perjuangan seni budaya, Siti Zainon juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Balai Seni Lukis Negara (1991-1993), Ahli Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (1996-2006), Editor Bersekutu Dewan Sastera (2002-2004), Ahli Majlis Sastera Nusantara (MASTERA) 1997-1998, Pakar Rujuk Tekstil dan Busana Johor, Yayasan Warisan Johor, Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usman Awang (2014-),Pengerusi Penyelidik Etnografi Bajau Sama dan Iranun Sabah (2015-2016), Penyelia Pelopor Binaan Seni Arca Laman Merpati Putih UMS 2015/2016 dan banyak lagi.
Beliau juga menghasilkan karya-karya ilmiah antaranya Getaran Jalur dan Warna (Fajar Bakti 1985), Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi (DBP 1986), Percikan Seni (DBP 1989) Alam Puisi (DBP 1990), Busana Melayu Johor (YWJ-Fajar Bakti 1997), Kembara Seni Siti (Galeri Melora-Utusan Melayu 1997), Zikir Pelangi (Galeri Melora 2000), Pakaian Cara Melayu (UKM 2006/2009), Memasuki Taman Puisi (DBP 2009), Suara Dari Hujung Tambak (DBP 2010) dan sebagainya.Selain menghasilkan karya penulisan kreatif seperti puisi, cerpen, novel, puisi kanak-kanak. Karyanya-karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa dunia antaranya Bulgaria, Mandarin, Hindi, Inggeris, Korea, Jawa, Jepun, Jerman, Perancis, Rusia, Thai dan Urdu.

Siti Zainon juga kerap diundang membentang kertas kerja dalam seminar-forum sastera dan seni serta acara puisi dunia. Antaranya Valmiki Poetry Reading New Delhi-Bhopal India (1985), Malam Puisi Indonesia Merdeka -Berlin (1986), Sastera Nusantara UGM Jogjakarta (1986), International Korea Poetry (1986), Istiqlal Poetry Reading Jakarta (1992), Bologna International Book Fair (2013), Tokyo International Book Fair (2013,2014), Temu Puisi 8 Negara Dunia Aceh 2016, Asian Women Art and Literature Humberg University (2000), Asia History and Social Culture Conference, St Petersburg (2003), Malay Poetry Reading London (1992) Puisi Melayu Nusantara Singapura (1993). Selain itu, beliau juga pernah mengadakan pameran lukisan di Kuala Lumpur, Jakarta, India, Cambridge, Oxford, Denmark, Finland, Sweden, Hamburg, Vienna, Salburg, Venezia, Rome, Jordan-Jerusalem, Athens, Tokyo, Kyoto dan negara-negara Asean yang lain.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Prof Dr Siti Zainon Ismail di ibu negeri. Bagi beliau, sastera dan kesenian adalah dua elemen yang sebati dalam jiwanya.Menurutnya, menulis puisi adalah kerja-kerja mencatat bagai lakaran di buku sketsa, kedua-duanya tidak terpisah sebagai satu karya yang berbagai wajah.Pertembungan dengan alam dan lingkungan sosiobudaya memberinya rangsangan untuk merenung, berfikir, dan cepat menyatu dengan jiwa hingga menggugah untuk melontarkan idea dan imaginasi, menyatukan masa lalu, kini dan masa hadapan. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Bila kali pertama Prof menjejakkan kaki ke Sabah?
PROF DR SITI ZAINON ISMAIL: Pertama kali datang ke Sabah tahun 1984 untuk  penyelidikan Seni Budaya Bajau-Iranun: Kajian komuniti  Bajau di Tuaran dan Kota Belud: kajian estetika budaya, tenun tubau, tudung duang, tembikar tanah, pandai besi, kuda Bajau, rumah tradisi. Buat tinjau di Kampung  Pirasan, Merabau, , Rampaian Laut dan lain-lain.

UB: Apa yang menarik di Sabah?
SZI: Yang menarik di Sabah banyak. Kepelbagaian Etnik dan suku kaum pribumi kaya  sumber Alam yang melahirkan aneka perlakuan seni  budaya.Walau bahasa yang berbagai bunyi ucapan,tak mungkin difahami sekelip mata, tapi perlakuan budaya, tingkah pengucapan yang  berbagai merangsang saya untuk mengkaji nilai seninya. Saya tertarik dengan produk budaya Bajau Sama dan Iranun.

Saya teringat pada 6-10 April 1986, saya diundang  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi membentang kertas kerja dalam Seminar Puisi dan Muzik Rakyat Malaysia. Dan berpeluang membentang kertas kerja bertajuk " Puisi dan Muzik Rakyat, Satu Pendekataan Kesenian  dalam Kajian Sosiobudaya". Tulisan kajian ini tertumpu kepada penglibatan tokoh dan kesedaran terhadap ciri-ciri kesenimanan:  pelaku, penerima, penghayat yang menyempurna kehidupan. Saya mula meredah makna 'Kalang Sama' yang dinyanyikan dalam 'Isun-isun' dalam 'berunsai' di kalangan suku Bajau, 'Bayuk' seni puisi empat kerat suku Iranun yang ditarikan 'tinubau'. Puisi rakyat dinyanyi tarikan dengan irama alamiah berkembang dengan paluan , bertitih dengan  ungkapan bagai mentera dalam  suasana warna warni busana dan tenunan tubau dan kilau sarimpak. Inilah kesan puisi dan kesenian rakyat yang memukau  saya terus mengkaji seni warisan Bajau Sama dan Iranun . pengalaman ini dilanjutkan  dengan kerja penyelidikan seni budaya dan mendapat sokongan Yayasan Sabah dan KKBS terutama arwah bapak Datuk Haji Shuhaibun Yussuf

UB: Sempatkah prof mengakrabi atau mendalami sastera Sabah?
SZI: Dari sinilah juga saya mula mendekati  kegiatan sastera budaya bila Hajah Zaiton Ajamain ( kini Datuk),  pegawai perancang bahasa di DBP Sabah . Beliau membawa saya  berkeliling , untuk berbicara dan berinteraksi dengan  Kumpulan Anak Seni ,berbincang, berdialog jauh ke pekan-pekan hingga ke Pimping, Tawau, Sandakan, Sajak dan cerpen saya mengalir ...kerja ilmiah pula berkembang, dan terbit dibukukan... Sehingga kajian Sastera Sabah pula saya lakukan, mengenali penyair Angkatan 1970an ketika itu selain Zaiton Ajamain, Ismaily Bungsu, dan atas sokongan Datuk  Ismail Abas, bertemu dengan tokoh seni lukis seperti  Datuk Yaman  Ahmad Mus, mendedahkan kecintaan saya kepada seni rakyat menyatu dalam puisinnya. Zaiton Ajamain mengenalkan saya dengan Ibunda Dayang Rokiah makin mengakrab data dengan pemikiran warisan Dusun dan Brunei ini ditutur mengalir dalam puisi rakyat  seperti " Bujang Si Gandam" , "Awang Si Kandi". Saya dekati sajak-sajak beliau hingga menjadi bahan kajian mengenali sikap wanita  baru yang ingin lepas bebas tetapi  tetap terikat dengan warisan. Begitu juga dengan Ismaily Bungsu, Sairah Haji Antin, adalah penyair juga penggerak seni lulusan Lembaga Kesenian Jakarta telah menyumbang ilmu kepada generasi baru ketika itu.

Dalam era 1980an-1990an, saya juga dijemput membentang Kertas kerja sempena SeminarKesenian Islam oleh KBBS, DBP dan MUIS dan membaca Puisi Wanita. Ini juga disokong oleh Anak Seni. Saya mengkaji sajak-sajak Ismail Abas, Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Arifin Arif, Sitti Hadiah disamping Aktiviti  puisi dan lagu oleh Ustaz Jalidar Abdul Rahim. Tetapi setelah Zaiton Ajamin berpindah tugas ke DBP KL, saya bagai  kehilangan jejak puisi -puisi Sabah. Hingga 1992 saya menumpukan kajian PhD dan menghalusi data Kajian Seni Budaya yang berkaitan Busana dan Tenunan Iranun. Jadi peluang mengkaji puisi Sabah bagai terhenti . sehinggalah saya dijemput semula ke Sabah untuk bertugas sebagai Profesor memberi kuliah Seni Warisan Sabah dan masih melanjutkan kajian Etnografi Bajau Sama dan Iranun di Kota Belud. Untuk kerja ini saya membawa pelajar untuk  menggali Seni Sarimpak, Tenunan Tubau,Kuda Bajau, anyaman duang, termasuk peralatan logam . Namun aktivis muda yang  saya kenali pada tahun 1970an tetap saya dekati terutama Nandra, Awang Karim yang muncul dengan gerak puisi lurus dan teateris. Siba Nita AS yg pernah menjadi 'Anak Angkat' program DBP yang 'hilang' kembali muncul dan aktif berpuisi.  Dan anda Abd Naddin Shaiddin yang  sejak dulu tidak lepas menyandang kamera juga terus berpuisi.
UB: Apa pandangan prof terhadap perkembangan sastera di Sabah?
SZI: Sastera Sabah hari ini semakin berkembang dengan munculnya  berbagai hadiah sastera.Baca baca puisi kerap diadakan dan muncul dengan kelompok anak muda termasuk di kampus UMS.Hadiah Sastera Perdana Malaysia mendorong penulis muda lebih yakin bersuara . Malah usaha DBP Cawangan Sabah mengendali program Kearifan Tempatan kembali melibatkan saya memberi wacana di Tawau dan Semporna. Saya dilibatkan  juga dalam program BAHASA dan mewakili Sabah untuk   membentang kertas kerja di Bandung, Ikatan Penulis Sabah (IPS) melantik saya sebagai Penasihat. malah saya juga mendapat surat rasmi bertanda tangan Ketua Menteri melantik saya sebagai Ahli Majlis Bahasa dan Sastera  Sabah 2015-2017. Hasyuda Abadi pula lebih serius menyiap perpustakaan, Ony Latifah dan Kathirina Tati  kembali kepda puisi dengan mengangkat lagu rakyat Dusun Kadazan. Yatim Ahmad dapat dianggap  sebagai penghubung Sastera Sabah dalam ruang Jom Sastera. Beliau tegas dan bernas memberi idea hingga membangkit semangat baru di kalangan penyair muda Sabah. Siti Rahmah aktif menggerakkan BAHASA.
UB: Menurut pandangan Prof? Apa permasalahan dan cabaran sastera di Sabah?
SZI:Dunia penulisan memang penuh cabaran.Tidak semua karya mendapat tempat di hati masyarakat  umum.Walau banyak karya dibaca di pentas persembahan masih belum semuanya tembus ke hati nurani masyarakat umum. Seminar  dan forum tidak menjamin melahirkan penulis itu dikenali dan karya sastera belum menjadi milik masyarakat.Perbincangan  intelektual hanya berlaku dalam Seminar, tetapi ini juga berlaku dalam ruang terbatas...kertas kerja tidak sempat diulas oleh kesempitan waktu...dan penulis pulang resah namun kita tetap berkarya. Hanya dengan semangat kental, tidak mengalah ...membuatkan penulis terus  berkarya. Hingga Ismail Abas, Azmah Nordin dan Jasni Matlani pun dimartabatkan sebagai menerima SEA Write Award.

Saya jua mengesan  beberapa nama baru yang karya dan puisi mereka diterbitkan, antaranya Ramlah Abdul Rashid, Norjannah MA, Noor Aisah Maidin, Nur Mustika, Sahara Jais, Rozelin Vitalis,

Selain itu,Hadiah Sastera Sabah adalah pengiktirafan dari kerajaan khususnya DBP. Dari sini, penulis diuji dan ini bersambut pula dengah HSMP. Penulis Sabah sudahpun mendapat tempat yang wajar terutam dalam penerbitan. Namun benarkah Sastera sudah membekas di hati mayarakat umum dan pemerintah! Di manakah Rumah Sastera? Di manakan Musium atau Galeri Sastera Sabah. Siapakah yang bertanggung jawab untuk melaksanakan citra Sastera Sabah. Aktivis sastera tidak cukup dengan  acara baca puisi di pentas DBP, di Dataran Dewan Bandaraya... Tidak hanya di kota. Sastera perlu digerak bersama aktivis dan  dana yang mudah digapai . Puisi belum menjadi arah tunjuk jalan. semangat sastera perlu perjuangan.Mana ..Kampung Sastera Ismail Abas ?  Namun usaha mempopular sastera tetap dilakukan  ....seperti semangat seorang Guru Besar SK Ulu Kukut patut dipuji. ya penyair Norawi Haji Kata telah membawa Nandra , Siban , Ramli Jusoh berpuisi di sekolah dan si kecil turut berpantun, menulis cerita dan  semalam saya terlibat merasmikan Pusat Sumber di sekolah pendalaman yang  mula memancarkan citra kebun sastera Desa!

UB: Apa pandangan prof terhadap penyair-penyair baru yang dianggap membawa gaya pengucapan tersendiri seperti Dr Rem dan Mabulmaddin, sekadar menyebut beberapa nama?
SZI: Dr Rem Dambul berani menampilkan isu semasa  kadang serius kadang berkait jenaka. Malah dengan lakarannya yang surealis  menambah erti sajaknya. Mabulmaddin, saya senang dengan usahanya  menggali mantera folklore Iranun.Bila beliau sendiri membacanya, terdengar suara misteri sehingga menarik  hati untuk mengkaji.Ini juga saya temui dalam gaya Nandra membaca sajak panjangnya.

UB:Apa yang Prof harapkan kepada seniman dan sasterawan di Sabah?

SZI: Kemudahan teknologi semakin  canggih. Seniman  Sastera, penyair, penulis pelukis, perlu bersuara bukan  hanya  untuk persembahan semusim. Penerbitan buku sastera bukan kerja isengan. Buku terperap tidak laku bukan alasan untuk merajuk, marah seniman perlu dihargai. Kitalah lebih lebih dulu menghargai  dan menghormati. Satu kampung satu puisi ... Kenapa tidak? Selamat datang atau selamat pulang ke kampung laman di sambut dengan larik puisi? Inilah yg dilakukan oleh Taufiq Ismail di Rumah  Puisi Air Angek. ..,, Insya Allah tanpa iri, dan benci ayuhlah ...sebab itulah kasih Sabah tetap kekal di hati Siti. Hingga Ramli Jusoh, Azmah Nordin dan yang termuda Puad Bebit terus berkarya di Negeri Bawah Bayu tidak terlintas untuk pulang ke Malaya haaaa

UB: Masih terlalu sedikit kajian dan penyelidikan mengenai budaya  dan etnografi Sabah. Apa komen Prof? Apa saranan kepada pengkaji, atau mahasiswa untuk menggali lebih banyak budaya Sabah?
SZI: Kajian penyelidikan dari kampus ada tapi tidak semua dihantar untuk terbitan. Saya bertegas agar pelajar kembali mengedit esei tugasan masing-masing tapi respon agak lambat. Namun kalau ada kerjasama penerbit, editor , saya fikir lebih lancar. Terbaru kajian etnografi ragam hias diterbitkan UMS hasil kerjasama pensyarah blok seni iaitu Prof Dr Ismail Ibrahim, Dr Humin Jusilin, Dr Fuad Bebit.

UB: Bagaimana Prof melihat tahap minat orang malaysia terhadap budayanya jika dibandingkan dengan orang indonesia terhadap budaya mereka. Dari segi pemuliharaan dan pelestarian, misalnya?
SZI: Pendidikan seni budaya Malaysia agak tercicir. Tidak membumi atau merakyat.Kerana mengejar teknologi, sastera budaya terpinggir. Ini berbeza dengan Indonesia. Walaupun mereka ahli teknologi, doktor, ulamak, tetap latar budaya mereka tumbuh sejak kecil.Hamka seorang ulamak juga menghasilkan novel, BJ Habibie, insinyur atau jurutera kapal terbang tapi mengkaji seni lukis, muzik.Seni mereka segar dengan ciri kearifan lokal.

UB: Apa yang Prof sukai di Sabah, sepanjang tiga tahun berkhidmat di Sabah?
SZI: Tamu dengan berbagai jenis buah yang tiada atau langka di Semenanjung terutama bambangan, durian merah.Kuih-kuih seperti penjaram dan segala macam sulaman dan anyaman.

Selain itu, lautan yang luas dan debur ombak yang memanggil.Kota lama yang cantik seperti Elopura di Sandakan,Rimba Sepilok yang ditata rapi, ya masih saya rindukan Pulau Bum-Bum, Pulau Sebatik yang saya masih terhalang untuk ke sana.
Ya, kajian tenunan Tubau belum pernah rasa selesai.Tapi bersyukur cadangan mendapatkan alat tenunan Rampayan Laut bersambut, dapat kami bawa ke bengkel di Johor