POTONG JARI SAYA, CABARAN BUAT SJN (B) JULIUS MA
“POTONG jari saya, kalau kamu dapat ke luar negara,” kata-kata itu terngiang-ngiang di mindanya. Cabaran itulah yang menguatkan semangat Sarjan (B) 47273 Julius Majulan untuk berlatih bersungguh-sungguh. Tekadnya cuma satu. Mahu mewakili Malaysia ke pertandingan di pertandingan di Peringkat Antarabangsa. Hajatnya tercapai apabila terpilih mewakili Malaysia untuk bertanding dalam acara lompat jauh Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Singapura pada tahun 1974. Beliau kemudian terpilih mewakili negara dalam Sukan SEA di Bangkok Thailand pada tahun 1975. Selepas itu, Julius adalah antara tujuh atlit yang terpilih mewakili Negara ke Kejohanan Track and Field di Korea pada 1975. Selepas hasratnya mewakili negara tercapai, beliau teringat cabaran pakciknya, Datuk Gabuh Piging. Dia pun pulang kampung kampung untuk mencari pakciknya dan memberitahu bahawa beliau berjaya ke luar negara mewakili Malaysia. Tetapi sebaik-baik melihat beliau muncul, pakcik tergesa-gesa menyembunyikan diri.Beliau mengejarnya, bukan untuk menunaikan janji potong jari sebaliknya mahu memeluk bapa saudaranya itu.
Sarjan (B0 47273 Julis Majulan dilahirkan di Tambunan pada 31 Disember 1950. Beliau mendapat pendidikan awal di St John Tobu Tambunan kemudiaan ke St David hingga tamat darjah lima. Pada tahun 1968, beliau memasuki perkhidmatan polis. Beliau pernah mewakili negara ke Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Singapura, Sukan Sea Bangkok dam Kejohanan Track and Field di Korea. Beliau sering mewakili Sabah dalam sukan PDRM. Malah lompatan sejauh 7.21 m dan catatan 3.68 meter dalam lompat bergalah masih bertahan hingga kini.
Sepanjang tahun 1975 hingga 1977, belia sering menang pingat emas dalam acara lompat jauh dalam kejohanan Olahraga Kebangsaan.Beliau mendirikan rumahtangga dengan Nuri bte Yagas dan dikurniakan enam orang anak iaitu Edmund,42 tahun; Emily, 40 tahun;,Edith ,38 tahun; Daniel, 33 tahun dan Jane Joanna 27 tahun. Kini saya juga mempunyai 15 orang cucu.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di salah sebuah hotel terkenal di Putatan baru-baru ini. Dalam kesempatan itu, beliau menceritakan serba sedikit pengalamannya ketika menceburi bidang olahraga. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba ringkas, latar belakang tuan?
JULIUS MAJULAN: Saya dilahirkan di Tambunan pada 31 Disember 1950. Saya anak kelima dari tujuh adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di St John Tobu Tambunan kemudiaan ke St David hingga tamat darjah lima. Pada tahun 1968, saya masuk jadi polis. Kemudian saya ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kepayan. Saya dinaikkan pangkat kopral pada 1982 manakala pada tahun 1999, saya mendapat pangkat sarjan.Saya bersara dari pekhidmatan polis pada 2000.
UB: Bagaimana minat tuan timbul dalam sukan?
JM: Saya meminati bidang sukan sejak dari sekolah. Saya minat dalam acara lompat jauh dan lari 100 meter. Tetapi bila masuk polis, saya memilih sukan lompat jauh dan lompat bergalah saja.
UB: Bila tuan mula terlibat dalam sukan?
JM: Ia bermula pada tahun 1970. Saya melibatkan diri dalam sukan olahraga Pasukan Polis Sabah. Pada mulanya saya mewakili pasukan saya dalam sukan antara pasukan polis seluruh Sabah seterusnya mewakili Pasukan Polis Kontinjen Sabah ke sukan Pasukan Polis Malaysia dalam acara lompat jauh dan lompat bergalah. Sepanjang penyertaan saya dalam kejohanan, saya sentiasa mendapat tempat pertama dalam kedua-dua acara itu dalam Sukan Pasikan Polis Malaysia dan Sukan Kebangsaan (MAAU).
UB: Apa kejohanan yang pernah tuan sertai? Jika masih ingat?
JM: Kejohanan-kejohanan olahraga yang pernah saya sertai ialah Kejohanan Sukan PDRM. Saya memperolehi pingat emas dalam acara lompat jauh apabila saya berjaya melompat sejauh 7.21 meter. Dalam acara lompat bergalah, saya juga menang pingat emas dengan catatan 3.68 meter. Kedua-dua rekod itu masih kekal bertahan dalam sukan PDRM sehingga kini.
Dalam tahun yang sama, saya menang pingat emas dalam acara decathlon Sukan Kebangsaan ke-52. Waktu itu saya mencatat 6,784 mata. Di Singapura, pada tahun 1974, saya mendapat tempat kedua dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa Singapura dengan catatan 7.35 meter. Tahun berikutnya, saya hanya mendapat gangsa dalam acara lompat jauh dengan catatan 7.15 meter. Sepanjang tahun 1975 hingga 1977, saya sering menang pingat emas dalam acara lompat jauh dalam kejohanan Olahraga Kebangsaan.
UB: Bilakah tuan mewakili negara?
JM: Saya mula mewakili negara dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Singapura pada tahun 1974. Saya menduduki tempat kedua dalam acara lompat jauh. Pada tahun 1975, saya mewakili negara negara dalam track and field dalam sukan Asia di Korea dan Sukan Sea di Bangkok dalam acara lompat jauh. Bagaimanapun, saya mendapat tempat ketiga.
UB: Apa pencapaian paling tinggi dalam karier?
JM: Pencapaian paling tinggi saya dalam karier ialah ketika mendapat pingat perak dalam acara lompat jauh dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Singapura pada tahun 1974. Saya mencatat 7.35 meter. Setahun selepas itu dalam sukan SEAP di Bangkok Thailand, sungguhpun mencatat lompatan sejauh 7.15 meter, saya mendapat pingat gangsa.
UB: Siapa orang paling banyak memberikan galakan kepada tuan?
JM: Pakcik saya. Tetapi sebenarnya ia bermula apabila beliau mengajak saya agar ikut beliau berlatih dalam sukan. Tetapi saya enggan. Dia marah saya.Suatu malam kami bergaduh hingga bergelut. Mujur ada orang yang meleraikan kami. Katanya, potonglah jari saya, kalau kamu boleh ke luar negara. Itulah yang terngiang-ngiang di kepala saya. Sepanjang malam itu saya tidak dapat tidur mengenangkan cabaran pakcik saya itu. Akhirnya saya berlatih. Sungguh-sungguh berlatih agar terpilih mewakili negeri seterusnya negara.
Setelah berjaya mewakili negara dan dapat bertanding ke luar negara, satu hari saya cuti dua minggu.Saya sengaja pulang kampung untuk berjumpa pakcik saya. Bila dia melihat saya, dia terus lari. Tapi kemudian saya mengejarnya. Saya katakan bukan saya mahu potong jari pakcik sebaliknya saya mahu memeluknya menyatakan rasa terima kasih kepada pakcik kerana kalau pakcik tidak mencabar saya dan tidak memalukan saya pada hari itu, mungkin saya tidak boleh berjaya. Kerana hasil cabaran pakcik itulah saya berlatih dan menang dan terpilih mewakili negara. Baru kau tahu, kata pakcik saya.
UB: Siapa nama pakcik tuan itu?
JM: Datuk Gabuh Piging. Beliau pernah mewakili North Borneo dalam Sukan Olimpik Melbourne pada 1956 dan Rome. Sering mewakili Sabah antara tahun 1956 hingga 1962 dalam sukan bertaraf antarabangsa.
UB: Waktu itu berapa usia tuan?
JM: Usia saya waktu itu sekitar 24 atau 25 tahun. Darah masih panas. Itu sebabnya saya rasa tercabar betul bila beliau katakan, potong jari saya kalau kamu dapat keluar negara. Selepas dia mencabar saya itu, saya terus lari dan berlatih. Dari jam 1 atau dua pagi hingga pagi. Selepas kerja saya tidak langsung pulang. Saya pusing round padang, kemudian berlati hingga jambatan petagasa, kemudian balik ke padang polis, sampai pagi.Satu tahun lebih saya buat begitu, hingga saya terpilih mewakili Sabah. Saya terus belatih sehingga tercapai hasrat wakil polis, wakili negeri dan wakil negara.baru saya senang hati.
UB: Selain tuan, siapa lagi anggota keluarga yang terlibat dalam sukan?
JM: Abang saya Paulus majulan, pernah mewakili Sabah. Ayah saya juga, Majulan Konsuhat, bekas polis North Borneo kuat juga dalam bersukan.
UB: Siapa rakan seangkatan tuan yang terlibat dalam sukan?
JM: Angtaranya Zainudin Wahab, Dandi Jamal, Peter Marius. Zaniudin pernah wakili Malaysia di Olimpik Montreal.
UB: Mungkin ada pengalaman manis sepanjang penglibatan dalam sukan?
JM: Antara pengalaman manis yang saya alami ialah mendapat tempat kedua dalam Kejohanan Tempatan Antarabangsa Singapura dimana saya bertanding dengan peserta-peserta yang lebih kuat.
UB: Kalau ada pengalaman manis, tentu ada pengalaman pahit.Boleh ceritakan?
JM: Saya dijangkakan boleh mendapat pingat dalam acara decathlon dalam kejohanan Track and Field di Korea tetapi malangnya lembing yang direjam tidak terpacak dan menyebabkan penyertaan saya dibatalkan.
Pada Sukan Sea di Bangkok dalam acara lompat jauh, saya terpaksa meninggalkan keluarga untuk mewakili negara dimana isteri saya waktu itu sedang sarang mengandung anak kedua. Saya tidak dapat tidur. Besok saya mahu lompat, ini malam anak saya, Emily lahir. Waktu itu, saya minta abang saya yang menghantar isteri saya ke hospital. Kebetulan isterinya pun mengandung dan melahirkan. Saya tidak dapat menumpukan perhatian kerana kurang tidur. Itulah yang menyebabkan prestasi saya jatuh di Bangkok. Hanya menduduki tempat ketiga padahal orang yang mengalahkan saya di Bangkok pernah saya kalahkan di Singapura.
UB: Tahun berapa tuan bersara dari Olahraga?
JM: Apabila saya mengalami kecederaan lutut yang serius pada tahun 1977, itulah yang menghalang penglibatan saya dalam sukan. Saya terpaksa bersara dan hanya menumpukan perhatian terhadap tugas saya sebagai anggota polis dalam PDRM.
UB: Tentu banyak simpan pingat di rumah?
JM: Hanya beberapa yang terselamat. Medal saya satu peti musnah dalam kebakiaran. Ini saja yang selamat.Baju,Piala, sijil, sekepinng gambar, itupun yang tersisip di fail. Itu saja yang selamat.
UB: Apa aktiviti tuan sekarang?
JM: Selepas bersara, saya menceburi bidang pertanian secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan memandangkan tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.
UB: Berdasarkan sumbangan yang begitu besar kepada negeri dan negara, mungkin tuan boleh beritahu mengenai pingat atau bintang yang diterima sepanjang perkhidmatan.
JM: Saya belum menerima apa-apa pingat atau bintang. Mungkin tuan tidak percaya tetapi itulah hakikatnya. Saya gembira melihat ramai-ramai kawan-kawan seangkatan saya mendapat kurnia pingat atau bintang kebesaran sebagai satu pengiktirafan kepada jasa-jasa mereka. Penghargaan itu penting supaya generasi muda lebih bersemangat untuk menceburi bidang olahraga.
UB: Siapa rakan-rakan tuan sewaktu mewakili Malaysia ke Korea?
JM: Sewaktu kami mewakili negara ke Korea, jumlah kami hanya tujuh orang. Iaitu Isthiaq Mubarak,Koh Chong Bing, Ramli Amat, Saya Julius Majulan, Marina Chin, Irene wan, Salmiah Abdullah.Ramai rakan rakan sudah dapat gelaran datuk. Saya Satu butir bintang pun tiada.Mungkin terlepas pandang.
Kalau anugerah, saya pernah dianugerahkan Diploma Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia dalam Kejohanan Olahraga MAAU yang ke 52 di Ipoh Perak pada 1974.
UB: Sebagai bekas atlet, apa pandangan tuan mengenai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb)?
JM: Setelah menjadi ahli, saya dapat melihat peranan Yakeb sebagai yayasan yang mengiktiraf sumbangan bekas atlet dengan mengambil berat kebajikan bekas atlet. Bagi saya, ini adalah satu usaha untuk menghargai sumbangan bekas atlet agar semua bekas atlet negara tidak dilupakan begitu saja dan menambahkan lagi keyakinan seluruh rakyat Malaysia untuk menceburi bidang sukan dan memajukan dan meningkatkan lagi kualiti bidang sukan di negara kita.
UB: Apa nasihat tuan kepada generasi muda?
JM: Berani hadapi cabaran untuk jadi yang terbaik. Kepada orang muda , cubalah ikut sukan, apa saja bidang sukan. Untuk menjadi cemerlang dalam sukan, kuncinya ialah mesti berdisiplin, buat latihan yang cukup, ikut arahan jurulatih.Jangan malu-malu menuntut ilmu