Khamis, 31 Disember 2015

MENCATAT SEMULA UCAPAN ARIFIN ARIF DI PERKAMPUNGAN SASTERAWAN

Tags


MENCATAT SEMULA UCAPAN ARIFIN ARIF DI PERKAMPUNGAN SASTERAWAN


Perkampungan Sasterawan kesembilan yang diadakan di Intan Kampus Sabah pada 13 hingga 15 November, bagi saya adalah satu peristiwa yang besar dan penting bagi golongan penulis dan sasterawan di negeri ini.
Lebih 120 penulis tanahair menghadiri Perkampungan Sasterawan kali ini yang bukan sahaja menjadi wadah mempertemukan penulis Malaysia dari pelbagai pelosok negeri, sama ada dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia tetapi juga satu program yang bermakna dan menyerlahkan dan memberikan sumbangan besar terhadap peningkatan profesionalisme dalam bidang penulisan.
Saya tertarik dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Datuk Haji Mohd Arifin Arif, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa san Pustaka (DBP) Malaysia merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.
Beliau yang juga seorang cendikiawan Islam dan penyair terkemuka di nusantara berkata bahawa sejarah membuktikan bahawa dunia persuratan adalah wadah yang berkesan untuk melontarkan idea yang bernas demi kepentingan rakyat.
Malah, dunia persuratan pernah memberikan sumbangan yang besar dalam memerdekakan pemikiran rakyat daripada belenggu anasir luar yang menjajah sewaktu zaman prakemerdekaan negara.
Katanya, tokoh pejuang kemerdekaan memanfaatkan media bercetak yang berasaskan penulisan seperti akhbar dan majalah untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap nilai kemerdekaan.
“Kini dalam era teknologi maklumat. Dunia persuratan tetap terus relevan biarpun peranan bahan bercetak semakiin berkurangan setelah kemunculan buku berbentuk digital,” katanya.
Hal ini demikian kerana pelbagai media sosial yang menjadi kegilaan masyarakat waktu ini seperti facebook, laman sesawang, dan blog pada dasarnya masih berteraskan persuratan.
Bahkan, kata Arifin lagi, kuasa persuratan itu kian membesar apabila khalayaknya bukan lagi terhad semata-mata kepada pembaca yang membaca sesebuah karya bercetak tetapi menjangkaui seantero dunia apabila sesebuah karya itu disiarkan di alam maya.
Justeru itu, Arifin menyarankan agar bakat seni persuratan yang dimiliki oleh insan seni sewajarnya diiktiraf. Bakat ini adalah salah satu daripada elemen kesedaran pelbagai (multiple intelligence) yang perlu dipupuk dan digilap dsecara berterusan terutamanya dalam kalangan golongan muda kini.
Beliau mengingatkan agar penulis seharusnya memanfaatkan bakat kurniaan Allah yang istimewa itu ke arah kebaikan. Bahkan beliau sempat mengulangi bahawa bakat kurniaan Allah itu seharusnya dimanfaatkan dan disalurkan ke arah kebaikan.
Karya hasil cetusan rasa yang lahir daripada jiwa yang murni bukan hanya dapat memberikan manfaat kepada diri penulis secara khusus malah mampu menyumbang ke arah pembentukan generasi yang kreatif dan bertamadun.


Golongan penulis mesti meletakkan objektif yang betul sewaktu berkarya. Beliau mengakui bahawa dunia persuratan juga mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya diceburi secara serius, namun yang lebih penting ialah peranan penulis sebagai individu yang merakam latar kehidupan sesebuah masyarakat dan mampu membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara.

Dalam hal ini, Arifin berkata, penulis perlu bersifat amanah dan bertanggungjawab terhadap setiap maklumat yang dikemukakan supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat. Sebaliknya, penulis yang tidak amanah akan terdorong untuk mengeksploitasi maklumat sebenar demi kepentingan agenda peribadi sesetengah pihak.
Sikap sebegini, katanya, bukan sahaja mampu mengundang fitnah yang besar dalam masyarakat bahkan boleh menggugat keharmonian hubungan kaum yang terjalin sekian lama.
Itulah antara pesan yang disampaikan Arifin ketika merasmikan perkampungan sasterawan itu. Perkampungan itu sendiri memberikan nilai sentimental kepada saya kerana ia adalah program terawal yang saya sertai ketika mula berjinak-jinak dalam dunia kesusateraan iaitu ketika menjadi peserta program itu kira-kira 29 tahun lalu sewaktu ia diadakan di Sandakan.
Namun saya teringat pesanan cendikiawan dan penyair Arifin Arif agar bakat kurniaan Allah itu seharusnya dimanfaatkan dan disalurkan ke arah kebaikan.