SEPOTONG KENANGAN DI KOTA MALANG
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
TUHAN menghancurkan yang batil, menegakkan yang benar.
Itulah kata-kata yang tidak dapat saya lupakan ketika singgah sehari di Kota Malang, kota kedua terbesar di Jawa Timur selepas Surabaya. Memang, ada sedikit rasa menyesal kerana memperuntukkan waktu yang relatif singkat untuk meramahi kota itu.
Sepatutnya perlu dua atau tiga hari atau lebih lama lagi, untuk benar-benar merasai denyut nadi kota berpenduduk seramai 857,891 orang itu. Saya tidak menyangka, kota Malang begitu besar dan bersejarah. Sebab itu, saya tidak dapat berkunjung ke semua tempat di kota yang dijuluki sebagai Paris Van East Java kerana pemandangan alamnya yang indah, sejuk tetapi bersih tertata.
Malang kucecwara, kata-kata yang tertulis dalam lambang Kota Malang, yang bererti Tuhan menghancurkan yang batil, menegakkan yang benar. Asal usul kata Malang itu sendiri dikatakan berasal dari perkataan itu. Ada juga ahli sejarah yang mengatakan kata Malang itu, bermaksud membantah atau menghalang-halangi,dilontarkan oleh Sunan Mataram ketika meluaskan pengaruhnya di Jawa Timur mendapat penentangan ketika cuba menduduki daerah Malang.
Selain menjadi kota pendidikan, terdapat sekurang-kurangnya 14 buah universiti, antara yang terkenal termasuklah Universitas Brawijaya, Universitas Negeri Malang, Universitas Muhammadiyah Malang, Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang dan banyak lagi perguruan tinggi, Malang juga terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan di Jawa Timur.
Ia bukan saja terkenal kerana keramahan penduduknya, harga makanan yang murah dan suasana yang elok dan tenang, Malang juga terkenal sebagai Kota Kuliner yang menyajikan pelbagai jenis makanan khas Malang juga terkenal sebagai sebagai kota sejarah, tempat lahirnya kerajaan-kerajaan besar seperti Tumapel Kanjuruhan, Singosari, Kediri, Mojopahit, Demak dan Mataram.
Malang juga ada terkenal kerana hasil pertanian seperti epal dan penternakan sapi. Kota yang dikelilingi pergunungan seperti Gunung Kawi-Panderman, Gunung Arjuno Welirang, Gunung Bromo Semeru, menjadikan Malang sebuah kota yang sejuk dan dingin kerana berada di atas ketinggian 440 hingga 667 meter di atas paras laut.
Setelah puas berkeliling kota Malang, melihat Alun-alun Tugu di hadapan Balai Kota Malang, berkunjung ke Toko Oen,yang menjadi tumpuan orang Belanda,saya mengajak pak Adi mencari buku di Gramedia. Jika mencari buku, hampir semua kota di Indonesia mempunyai toko-toko buku. Saya sempat membeli buku sekadar kenangan pernah singgah di Malang Walau bagaimanapun, saya tidak menemukan buku mengenai seorang tokoh penting Muhammadiyah, KH AR Fachruddin, seorang tokoh yang kagumi dan pernah menulis mengenai kebersahajaan dan kesederhanaan dalam hidupnya.
Sebagai kota plajar,Malang menjadi tumpuan ramai pelajar dari seluruh Indonesia terutamanya dari wilayah timur seperti Papua, Bali, Maluku, NTT, Sulawesi dan sebagainya.
Selain bahasa Indonesia, bahasa Jawa khas Jawa Timur dan bahasa Madura, ada satu lagi kebiasaan di kalangan masyarakat Malang untuk menggunaan bahasa terbalik (boso walikan) atau kata yang diucapkan secara terbalik seperti Malang disebut ngalam, bakso disebut oskab dan sebagainya. Bahkan akhbar Radar Malang tersiar mengenai seorang ustaz yang menggunakan boso walikan dalam ceramahnya.
Saya hanya sempat ke Muzium Brawijaya. Sebenarnya terdapat banyak muzium di Malang seperti muzum Bentoel, Muzum Mpu Parwa, Muzium Malang Tempoe Doeloe dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga banyak monumen dan tugu peringatan. Antaranya Monumen Tugu Malang, Monumen TGP Tentera Genie Pelajar, Monumen Juang, Monumen Dedes. Sayang sekali saya tidak sempat ke Monumen penyair Chairil Anwar di Jalan Basuki Rahmat.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Surabaya, Pak Adi mengajak saya untuk berkunjung ke Candi Singosari, peninggalan kerajaan Singhasari di Kecamatan Singosari, kira-kira 10km dari kota Malang. Menurut Negarakertagama,Candi ini dikatakan sudah berdiri sekitar tahun 1292. Menghadap ke arah barat, candi berukuran 14x14 meter dengan ketinggian 15 meter mempunyai kedudukan yang penting dalam sejarah Kerajaan Singhasari.
Kalau mahu ke Singosari, salah satu tempat yang wajib dikunjungi kerana kehebatannya kulinernya ialah di Sandiva cafe, saya teringat kata-kata Pak Andhika, sehari sebelumnya.
Sandiva Cafe yang pada awalnya sebuah galeri lukisan dan pebagai koleksi milik Rumilah Ulifa Sandiva, masih keturunan Singosari dan memegang teguh adat istiadat dan budaya Singosari. Kini Sandiva Cafe yang terletak di Jalan Kertanegara Barat No.4 menjadi tumpuan kerana pelbagai menu makanan yang disediakan.
Ya, sebentar lagi saya akan meninggalkan kota Malang, tetapi kata-kata Malang Kucecwara, yang bemakna Tuhan menghancurkan yang batil, menegakkan yang benar, tetap membekas dalam fikiran saya.
Sambil menunggu kenderaan untuk tiga jam perjalanan ke Surabaya, saya sempat merasai betapa nikmatnya rasa kopi di Sandiva Cafe. Tidak cukup hanya sehari, Lain kali, saya harus ke Malang lagi.
Rabu, 19 Ogos 2015
SEPOTONG KENANGAN DI KOTA MALANG
✔
abd naddin
Diterbitkan 1:49 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)