Ahad, 26 April 2015

AKHMAD DH IRFAN, SELALU MENCARI PERSAMAAN BUKAN PERBEZAAN

Tags



AKHMAD DH IRFAN, SELALU MENCARI PERSAMAAN BUKAN PERBEZAAN

KALAU tidak jadi tukang masak, saya mahu jadi tukang jahit. Kalau tidak jadi tukang jahit, saya mahu jadi tukang foto, kata Bapak Akhmad DH Irfan mengenai cita-cita masa kecilnya.

"Saya mahu jadi tukang masak kerana saya suka makanan yang enak," katanya. "Saya mahu jadi tukang jahit kerana saya suka berpakaian rapi. Saya mahu jadi tukang foto kerana saya suka melihat pemandangan alam yang indah," katanya lagi. Tetapi tidak satupun daripada tiga cita-cita masa kanak-kanaknya itu yang ditekuninya secara serius. Di kemudian hari, beliau masih suka memasak, suka menjahit dan suka bidang fotografi di celah-celah kesibukannya sebagai seorang diplomat. Sejak Januari 2015, Akhmad DH Irfan dilantik sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu.

Akhmad DH Irfan atau nama penuhnya Akhmad Daya Handasah Irfan dilahirkan di Jakarta pada 2 Disember 1959.Beliau tumbuh sebagai warga Jakarta yang akrab dengan budaya Betawi, walaupun ayah dan ibunya adalah seorang pendidik yang berasal dari Jawa Barat. Beliau mendapat pendidikan rendah di SD Cenderawasih sebelum melanjutkan sekolah di Sekolah Menengah Negeri Bulungan. Selepas iitu, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Hukum Jakarta manakala pada sebelah petangnya mengikuti kuliah di Universitas Muhammadiyah Jakarta.

Sebaik tamat kuliah, beliau sempat bekerja sebagai Pegawai Penjara sebelum berpindah ke Kementerian Luar Negeri. Sepanjang kerjayanya sebagai diplomat,beliau pernah ditugaskan di Sepanyol, Korea Selatan, Negara Brunei Darussalam dan Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Ketua Perwakilan Republik Indonesia di KJRI Kota Kinabalu.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Bapak Akhmad DH Irfan pada satu pagi yang tenang di pejabatnya di Karamunsing. Ikuti petikan temubual bersama tokoh yang rendah hati dan suka berjenaka ini.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.Kami juga mengucapkan selamat bertugas. Mungkin ramai yang ingin tahun mengenai latar belakang bapak. Boleh ceritakan sedikit?

AKHMAD DH IRFAN: Saya dilahirkan di Jakarta Selatan kira-kira 55 tahun yang lalu. Pada masa itu, kampung saya masih daerah pinggiran. Banyak hutan kecil. Jalan masih berdebu ketika kemarau atau berlumpur ketika hujan.Belum ada banyak kawasan perumahan sampai tahun 1975, seingat saya, baru dibina kawasan Pondok Indah dan Gandaria. Dulu kawasan itu masih hutan.

UB: Sekolah dimana?

AKHMAD: Saya bersekolah di SD Cenderawash sebelum melanjutkan di Sekolah Menengah Negeri Bulungan, Jakarta. Dari rumah berjalan kaki. Kami perlu menempuhi jalan raya berdebu atau berlumpur kira-kira 150 meter jauhnya.

Kalau pergi ke sekolah, dari rumah kami pakai sandal. Kalau hujan, kami bawa sesuatu dalam plastik untuk dipakai di jalan aspal. Kami terpaksa menempuhi jalan raya yang becak ketika hujan. Tapi kami rasa gembira. Malah sehabis waktu sekolah, kami bermain bola di jalan raya yang dijadikan padang bola.

UB: Selalu main bola? apa posisi?

AKHMAD: Saya selalu main sebagai defender.

UB: Selepas Sekolah Negeri Bulungan, , saya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Sekolah Tinggi Hukum Jakarta. Saya sekolah di dua tempat. Pagi saya sekolah di Akademi Ilmu Kemasyarakatan, Ilmu Kepenjaraan-ilmu mengenai hal ehwal penjara, pada sebelah petangnya saya bersekolah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Muhamadiyah, Jakarta.

UB: Tahun berapa selesai kuliah? Kerja dimana selepas itu?

AKHMAD: Tahun 1981. Selepas itu, saya lima tahun dipenjara. Ada orang bertanya, apa pasal saya lima tahun dipenjara? Sebenarnya saya bertugas di Penjara.Tugas saya di Penjara kerana menjadi Pegawai Penjara.

UB: Selepas dari penjara, dimana bapak bertugas?

AKHMAD: Saya berpindah ke Kementerian Luar Negeri pada tahun 1988. Pada 1991, saya mengikuti kursus untuk diplomat asing di Kampus Intan Kuala Lumpur. Selepas itu, saa balik bertugas di Departemen Luar Negeri (DEPLU) dari tahun 1991 hingga 1993. Selepas itu, saya ditugaskan di Sepanyol.Ketika bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Sepanyol dari tahun 1993 hingga 1997, saya sempat bersekolah di Sekolah Keprotokolan, diplomatik dan bahasa Sepanyol.

UB: Lama di Sepanyol? Di sana kan banyak kelab bola sepak? Apa pasukan favourit?

AKHMAD Pasukan favouritsaya ialah Atletico Madrid. Tapi saya terpaksa menyokong Espanyol yang dimiliki oleh Konsul Kehormat Indonesia di Barcelona. Jika Espanyol bertanding, beliau menyediakan tiket percuma untuk kami menonton bola. Saya berada di Sepanyol kira-kira empat tahun.

UB: Selepas itu, dimana bapak bertugas?

AKHMAD: Pada tahun 1998, saya ditugaskan di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Kemudian Pada tahun 2003, saya dilantik sebagai Minister Counselor di Kedutaan Besar Indonesia di Korea. Dalam perkhidmatan diplomatik susunannya seperti ini; selepas Atase, Setiausaha Tiga, Setiausaha Kedua dan Setiausaha Pertama. Selepas itu Konsul. Selepas jawatan konsul, minister counselor, minister. Selepas itu, saya bertugas sebagai Minister Counselor, Penerangan dan Sosial Budaya di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur. Saya juga dilantik sebagai Jurucakap KBRI Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Sabah, sebagai Konsul Jenderal.

UB: Bulan berapa mula bertugas secara rasmi sebagai Ketua Perwakilan Indonesia di Kota Kinabalu? Apa perasaan bapak?

AKHMAD: Saya mula bertugas pada Januari 2015. Saya rasa amat gembira sekali. Rakyat Sabah amat ramah. Banyak pemandangan cantik.Kalau kita berjalan, mereka tidak tanya orang apa. Tahap penerimaan mereka terhadap warga asing agak tinggi. Mereka tidak bertanya, orang apa? Asal dari mana? Walaupun pertanyaan ini lazim di tempat lain.

UB: Pernah datang Sabah sebelum ini?

AKHMAD: Saya pernah mendaki gunung Kinabalu sewaktu bertugas di Brunei. Saya selalu katakan saya bertuah kerana dapat bertugas di Sabah. Apa sebab saya dapat kembali? Kerana sebelum ini saya sudah minum air Kinabalu. Kata orang tua, kalau sudah minum airnya, pasti datang kembali.

UB Khabarnya bapak melanjutkan pengajian di UMS?

AKHMAD: Saya baru saja mendaftar sebagai calon PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Asalkan ada kesempatan untuk meningkatkan kompetensi, kami diizinkan untuk belajar.

UB: Ada pengalaman yang paling unik yang boleh diceritakan kepada pembaca?

AKHMAD: Sebagai seorang Islam, saya ingin menunaikan haji di Mekah. Walaupun sudah memohon berkali kali, tetapi selalu tidak ada kesempatan kerana tugas. Bagaimanapun, dengan takdir Allah, pada tahun 2002, saya berpeluang menunaikan haji sebagai jemaah haji dari Brunei. Saya rasa itu yang paling unik.

UB: Kalau boleh tanya, apa cita-cita bapak Konjen sewaktu kecil dahulu?

AKHMAD: Cita-cita saya ingin jadi tukang masak. Kalau tidak jadi tukang masak, saya mahu jadi tukang jahit. Kalau tidak boleh jadi tukang jahit, saya mahu jadi tukang foto. Saya ingin jadi tukang masak kerana saya suka makan enak. Saya selalu tunggu ibu saya memasak untuk kami adik beradik kerana beliau pandai memasak yang enak. Saya mahu jadi tukang masak agar mampu masak seperti ibu saya.

Sebenarnya, sewaktu kecil dahulu saya ada tiga cita-cita. Kalau tidak jadi tukang masak, saya mahujadi tukang jahit.Kalau tidak boleh jadi tukang jahit saya mahu jadi tukang foto.

Saya ingin jadi penjahit kerana ketika menonton tv, saya lihat orang berpakaian rapi. Saya suka berpakaia rapi. Malah saya mahu jadi designer. Kalau ada kain, saya suka potong-potong, kemudian jahit lagi.

Saya suka jadi tukang foto kerana saya suka melihat lanskap yang indah. Kalau untuk memotret lanskap, saya selalu gunakan Nikon. Saya guna rumus 361. Guru saya Darwis, salah seorang fotografer terkenal di Indonesia, selalu menasihatkan agar jangan takut untuk mengambil banyak gambar sesuatu subjek. Pasti daripada 36 kali ketik, pasti ada satu foto yang menarik.

UB: Kenapa suka jadi tukang masak?

AKHMAD: Saya mahu jadi tukang masak kerana saya suka makanan yang enak. Saya suka sambal yang dibuat oleh ibu saya. Sambalnya enak. Saya dapat mewarisi bakatnya membuat sambal.Isteri saya bilang, sambal yang saya bikin enak.

UB: Tentu ada rahsianya?

AKHMAD: Sudah tentu. Cara membuatnya. Orang selalu menumbuk sambal sekaligus dalam satu lesung. Saya menumbuknya satu-satu supaya rasanya enak. Begitu juga kalau membancuh kopi. Bapa saya seorang penikmat kopi. Dia selalu minta saya buat kopi.Cara buat kopi yang enak ialah tuang air panas dahulu kemudian baru masukkan gula dan kopi. Itu baru enak dan kopinya wangi.bukan sebaliknya. Begitu juga cara sembelih kambing. Ada daging kambing yang berbau selepas disembelih. Ada yang pandai sembelih. Untuk menjadikan daging kambing tidak berbau, sembelih lah kambing itu sewaktu ia membuang nafasnya. Perhatikan urat nadinya. Kalau nafasnya keluar, ketika itu baru sembelih kambing.

UB: Berapa adik beradik?

AKHMAD: Kami adik beradik, enam orang. Saya anak yang kedua.

UB: Apa makanan yang yang selalu bapak tunggu?

AKHMAD: Saya selalu tunggu opor ayam, dengan sambal khas. Ibu saya terkenal kerana rasa sambalnya. Kalau di Jawa Barat, untuk cari menantu selalu ditanya rasa sambal yang dibuatnya. Enak atau tidak? Jikalau sambalnya enak, perempuan itu dikatakan pandai layan suami. Selalunya yang diuji ialah rasa sambalnya. Kalau sambalnya enak, orangnya pasti hebat dan pandai layan suami. Tapi kalau sambalnya pahit, ia susah dijadikan menantu. Dalam budaya di Jawa Barat, kalau orang tua mahu cari menantu, selalunya ditanya apakah calon menantunya itu sudah pandai bikin sambalnya yang enak.

UB: Maafkan saya pak. Saya tertarik dengan nama bapak, Akhmad Daya Handasah Irfan. Daya itu maksudnya apa pak?

AKHMAD: Daya itu ertinya tenaga atau power dalam bahasa Inggeris. Dalam filsafat orang tua, kalau mahu hidup sejahtera dunia akhirat, harus ada tujuh syarat. Pertama orang itu, punya asa atau punya harapan. Oleh sebab itu beliau menambahkan Asa dalam nama abang saya. Kedua orang itu ada Daya, ertinya orang itu harus punya daya. Beliau berikan nama saya, Daya. Ketiga, orang itu harus punyai nur atau cahaya. nama adik saya Nur. Keempat, orang itu harus ada Dana. Beliau menamakan adik saya Dana. Kelima, orang itu harus miliki Data. Dalam mencipta sesuatu kejayaan, kita mesti memiliki data. Dan satu lagi, orang itu harus ada Amal. Sebab itu, beliau menamakan adik saya dengan nama Amal. Cita-cita orang tua tercermin pada cara ia memilih nama untuk anak-anaknya. Orang tua saya seorang kepala sekolah atau guru besar , istilahnya di Malaysia. Ibu saya juga seorang guru.Ayah saya mahu kami bekerja mandiri, bidangnya terserah, apa saja. Jadi ada yang jadi diplomat, ada yang kerja di swasta, ada yang kerja di bank dan sebagainya.

UB: Apa hobi bapak di masa lapang? Sukan apa yang digemari?

AKHMAD: Kalau ada masa lapang, saya suka bermain golf. Saya bermain golf kerana saya suka berkawan.Di sekolah dulu, saya suka bermain sepak bola atau bolasepak. Saya sering di Stadium Gelora Senayan. Saya sering jadi anak gawang. Tahu apa itu anak gawang? Tukang ambil bola kalau bola offside. Saya juga pernah jadi juara pertandingan badminton antara diplomat ketika bertugas di Sepanyol.

UB: Apa prinsip bapak dalam kehidupan?

AKHMAD: Dalam kehidupan, saya tidak mencari musuh. Jika ada pertentangan, saya selalu mencari penyesuaian. Saya tidak cari perbezaan. Saya cari persamaan. Saya selalu melihat dari sudut yang positif.