Selasa, 4 November 2014

OKK AMIR DATUK ARIF, KETUA DAERAH YANG SARAT PENGALAMAN

Tags



OKK AMIR DATUK ARIF, KETUA DAERAH YANG SARAT PENGALAMAN

Di sebalik namanya, terserlah sifat kepimpinan yang arif. Apatahlagi, beliau bukan sebarang orang sebaliknya beliau adalah tokoh yang dberi kepercayaan untuk menjaga adat resam dan segala hal ehwal berkaitan Anak Negeri di Keningau. Setiap bulan, beliau menangani purata 400 kes yang diadukan oleh pelbagai anggota masyarakat pelbagai etnik di daerah pedalaman itu.

OKK Md Amir Datuk Haji Arif dilahirkan di Bingkor pada 17 Ogos 1950. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Bingkor sebelum melanjutkan pelajaran di St Francis Xavier Keningau. Beliau kemudian meneruskan persekolahan di Sabah College. Selepas itu, beliau terbang ke London untuk melanjutkan pelajaran di Concord College For Foreign Student, Acton Burnell Shrewsbury Shropshire UK dan Centre For Economics & Political Studies London dalam bidang pemasaran.

Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1981, beliau bekerja di Perkasa Trading, anak syarikat Sedco . Bagaimanapun, dalam tahun 1982, Md Amir bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan (KBS) Bahagian Residensi Pendalaman selama enam tahun. Beliau meletak jawatan pada tahun 1986 untuk bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket Parti Berjaya namun kurang bernasib baik. Selepas itu beliau bekerja sendiri sebelum kembali aktif dalam politik dengan menyertai parti UMNO pada tahun 1991.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Bahagian UMNO Keningau. Mewarisi bakat kepimpinan ayahnya, Datuk Haji Md Arif Salleh yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sabah Dalam selama dua penggal, Md Arif terus melibatkan diri dalam kepimpinan siasah dan masyarakat. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Evelyn Leong dan dikurniakan dua cahayamata. Sejak tahun 2005, beliau diberi kepercayaan sebagai Ketua Daerah Keningau bergelar Orang Kaya-Kaya (OKK) sehingga kini.

"Saya akan berkhidmat selagi diperlukan," katanya kepada Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN yang berpeluang menemuramah beliau di pejabatnya di Keningau baru-baru ini. Dalam temubual itu, beliau menceritakan pengalamannya ketika zaman persekolahan, sehingga bersekolah di luar negara, bekerja di jabatan kerajaan dan kini berkhidmat sebagai Ketua Daerah Keningau. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih diucapkan kepada OKK kerana sudi memberi ruang kepada Utusan Borneo untuk sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Boleh ceritakan sedikit dimana OKK menerima pendidikan awal?

OKK AMIR: Saya mendapat pendidikan awal di GPS Bingkor, yang terletak dua atau tiga ratus rantai saja dari rumah kami. Kemudian saya melanjutkan pellajaran di St Francis Xavier. Sewaktu bersekolah di sana, saya tinggal di tempat nenek di Kampung Bariawa. Berjalan kaki ke sekolah berpuluh batu. Tetapi sekarang tempatnya terasa lebih jauh berbanding dahulu.

UB: Lepas itu, dimana OKK melanjutkan persekolahan?

OKK AMIR: Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah yang pada ketika itu dikenali sebagai Sabah College. Antara rakan sekolah saya ialah Ibrahim Kassim, Mashud Kalong, Sandra Said. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia adalah junior saya di Maktab Sabah. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman pula adalah senior saya. Saya ingat beliau adalah seorang pelari jarak jauh yang handal. Selalu mendahului dalam acara merentas desa atau Cross Country. Selain itu, antara senior saya ialah Mendiang Datuk Mark Koding. Haji Awang Tengah Haji Amin, Sabardin Haji Ombra dan lain-lain-lain lagi. Datuk Abdul Ghani Rashid adalah senior kami. Antara rakan sekolah saya ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Luar, Datuk Haji Anifah Aman. Mantan ADO Kota Belud, Mohd Yakin Haji Abd Mumin pula junior saya.

UB: Di mana OKK sekolah selepas Maktab Sabah?

OKK AMIR: Saya bekerja sekejap sebelum melanjutkan pelajaran di England. Iaitu di Concord College For Foreign Student, Acton Burnell Shrewsbury Shropshire UK, sebuah sekolah yang didirikan oleh bekas tentera British yang pernah bertugas di Sandakan. Kemudian saya meneruskan pelajaran di Centre For Economics & Political Studies London dalam bidang pemasaran.

UB: Dimana OKK bekerja selepas kembali dari seberang laut?

OKK AMIR: Saya bekerja di Perkasa Trading, sebuah anak syarikat SEDCO. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan (KBS) Bahagian Pedalaman yang merangkui Keningau, Labuan, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu. Pada masa itu, Pengelola Kebudayaan KKBS ialah Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, kini sudah meninggal dunia. Pengelola Belia pula ialah Cikgu Mohd Nin Jali manakala pengelola sukan ialah Datuk Balwant Singh. Dulu sewaktu bertugas di KBS, kami menganjurkan banyak kursus drama dan tarian. Orang kuatnya ketika itu ialah Ismaily Bungsu dan Kassim Yunus. Kita juga selalu mengadakan Kursus orientasi Asas belia dan beliawanis. Jika tidak silap , masa itu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ialah Datuk Ayub Haji Aman

Saya bertugas di Keningau bagi menggantikan Ahmad Yakub yang bersara. Sebagai seorang pegawai kebudayaan, belia dan sukan bahagian pedalaman yang merangkumi banyak daerah, saya dibekalkan sebuah kereta beserta seorang pemandu.

UB: Berapa tahun bertugas di KKBS?

OKK AMIR: Saya bertugas selama enam tahun di KKBS. Pada tahun 1986, saya meletakkan jawatan kerana diminta bertanding atas tiket parti Berjaya di Keningau, tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Walaupun kalah, saya tidaklah kehilangan wang deposit. Lawan saya pada masa itu ialah Datuk Robert Evans. Masa itu, arus terlalu kuat. Pada mulanya saya agak enggan untuk bertanding. Tapi atas galakan rakan-rakan saya mencuba nasib. Datuk Ahmad Shah Tambakau kata kepada saya `kau pergilah cari pengalaman, bila lagi mahu tanding? Sebenarnya saya bukanlah orang baru di Keningau.Ayah saya, Datuk Haji Arif pernah menjai Ahli Parlimen Sabah Dalam selama dua penggal pada tahun 60-an. Masa itu,Kawasan Parlimen Sabah Dalam merangkumi Keningau hingga Pensiangan. Parlimen yang merangkumi kawasan yang agak luas. Dulu terdapat semacam persefahaman. Datuk GS Sundang bertanding untuk kerusi DUN, OKK Undan Andulag dan OKK Angian jadi Ahli Dewan Negara.

UB: Sebelum itu, pernah OKK terlibat dalam parti politik?

OKK: Dulu saya menjadi Ahli Pemuda USNO Bahagian Keningau pada tahun 1967-1968. Saya pernah ikut dalam rombongan ke Semenanjung untuk program lawatan sambil belajar. Sebelum bertanding saya juga adalah Ketua Pemuda Parti Berjaya Bingkor pada 193 hingga 1985. Pada 1986, saya menjadi calon parti Berjaya lawan PBS pada masa itu.

UB: Selepas kalah, apa yang OKK lakukan?

OKK AMIR: Saya kerja sendiri. Saya juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat Parti Rakyat Sabah (PRS). Apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, pada 1991 saya menjadi salah seorang anggota penaja. Masa itu, Datuk Haji Mohd Dun Banir dilantik Ketua Penaja UMNO di Keningau. Antara orang-orang kuatnya ialah Datuk Haji Sairin Karno sebagai Timbalan, Haji Azlan Kinjawan, Naib Ketua Bahagian Damson Tung, sebagai Setiausaha Datuk Arif Salleh, jadi Bendahari.

Dalam persidangan UMNO Bahagian yang pertama, saya bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian dan menang. Saya menjadi Naib Ketua Bahagian dari tahun 1992 hingga 1995. Pada pemilihan berikutnya iaitu pada 1996, saya kalah tetapi dilantik sebagai Ketua Penerangan Bahagian. Selepas itu, pada 2004 hingga 2005, saya hanya menjadi ahli jawatankuasa bahagian. Pada tahun 2005 hingga 2009, saya terpilih lagi sebagai Naib Ketua Bahagian. Begitulah proses jatuh bangun saya dalam politik

UB: Apa yang OKK ingat mengenai arwah ayah OKK yang dikenal sebagai seorang tokoh pemimpin yang disegani dan banyak berjasa?

OKK AMIR: Beliau seorang yang prihatin terhadap masyarakat. Orangnya tinggi.Suaranya lantang dan tegas. Waalu dia garang hatinya begitu penyayang.Bagaimanapun beliau seorang yang pemurah kepada rakyat. Dulu sapinya banyakBeliau juga selalu mengingatkan betapa pentingnya pelajaran. Beliau sangat mengutamakan pendidikan buat anak-anaknya. Daripada beliau saya banyak belajar. Beri komitmen kepada masyarakat. Ibu saya pula, Jainah Abd Rahim. Atuk saya, Abdul Rahim guru besar yang pertama di pekan Keningau.Dulu sebahagian Bandar Keningau ini milik keluarga mereka.

UB: Berapa adik beradik?

OKK Amir: Kami semuanya 14 adik beradik satu bapa. Kakak dan adik saya, alhamdullillah, semuanya mempunyai kedudukan yang baik.

UB: Apakah OKK juga terlibat dalam kegiatan NGO selain politik?

OKK AMIR: Saya banyak terlibat dalam persatuan. Pada tahun 60-an iaitu 1966 hingga 1967, saya terlibat dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) Keningau. Kini saya juga adalah Presiden Persatuan Dusun Kwijau Sabah PDKS) sejak 2003.

UB: Dalam sukan?

OKK AMIR: Dalam sukan, saya adalah Pengerusi Persatuan Boling Padang Keningau Saga pada 2003-2004. Saya juga adalah Ketua Kontinjen Pasukan Daerah Keningau dalam sukan Saga.

UB: Tentu sekali OKK terlibat dalam banyak kegiatan kemasyarakatan. Apa diantaranya?

OKK AMIR: Antaranya, saya pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Keningau pada 1982-1986 dan menjadi Jawatankuasa Pencantikan Bandar, Jawatankuasa Perlesenan, Jawatankuasa Lalulintas dan Jawatankuasa Tender Board. Dari tahun 1995-1999, saya juga adalah Pengerusi Juvana Daerah Keningau. Selain itu, pada 1997 hingga 2000, saya adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat Henry Gurney, Daerah Keningau dan masih menjadi Ahli Lembaga Pengurusan SK St Francis Xavier Keningau dari tahun 2000,pernah jadi Timbalan YDP PIBG SRK St Francis Xavier Keningau dan , Pengerusi Pertubuhan bagi orang-orang Buta Pedalaman Keningau dari tahun 2009. Selain iyu, Pada 2006 hingga 2009, saya menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Keningau. Dari tahun 2007 hingga kini, saya menjadi Timbalan Presiden, St JohnAmbulans bagi kawasan Pedalaman Keningau

UB: Oh ya. Sejak bila OKK dilantik jadi Ketua Daerah?

OKK Amir: Sejak 2005 lagi hingga sekarang.. Saya bersyukur kerana masih diperlukan.

UB: Berapa jumlah aduan yang diterima dalam satu hari?

OKK AMIR: Banyak juga. Purata hingga 400 aduan dalam satu bulan Ia meliputi urusan seperti tuntut waris tanah, pelanggaran adat resam, urusan perkahwinan, menjatuhkan marah, memfitnah, menggangu kubur, gagal membayar berian atau hantaran kahwin dan berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama atau `lapau', kes-kes berkaitan Ordinan Mahkamah Anak Negeri dan memproses permohonan anak angkat.

Selain itu, ada juga banyak kes-kes yang unik, kes sogit dan sebagainya.Bersekududukan dengan isteri orang, berjalan bersama-sama ditempat yang menimbulkan kecurigaan dan sebagainya boleh dikenakan sogit. Tapi bagaimanapun adalah menjadi kewajiban kita agar semua pihak mendapat keadilan.
.
UB: Bolehkah OKK bercakap sedikit mengenai Batu Sumpah?

OKK AMIR: Batu sumpah adalah monumen penerimaan rakyat Malaysia di pedalam sebagai `equal partner' dalam persekutuan Malaysia. Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1964 oleh Tan Sri V Manickavasagam, Menteri Kabinet yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan. Turut hadir pada masa ituialah Dato Donald Stephen, Ketua Menteri Sabah, Dato GS Sundang, OKK Sedomon, Dato Angian Andulag, Datuk Arif Salleh, Datuk Undan, Chu Shin Kee @ Endiu, Haji Arshad Abdul Rahim dan lain-lain.

Batu-batu dipilih dengan hati hati di sungai ulu senagang dan di bawa ke Keningau oleh bekas pegawai daerah, Tan Sri Richard Lind. Ia ditempatkan dan ditanam di tapak dekat bekas pejabat daerah keningau, diiringi dengan upacara oleh tiga bobolian diketuai Gulim Ada,mewakili dusun kwijau dan Gana, KK Dimal Bandayan dari suku Liwan KK Baliku Murin dari suku Murut . Beberapa ekor haiwan ternakan juga disembelih sempena peletakan batu sumpah itu. Bagaimanapun pada 1982, ia terpaksa dipindahkan kerana pembinaan jalan raya. Ia juga pernah dilawati oleh DYMM TuankuTuank Syed Putra Ibini Almarhum Syed Hasasn Jamalulai dan permaisuri pada 1964, Tun Datu Haji Mustapha, Toh Puan Rahmah, Toh Puan Rahima , Temenggung Jugah, Dato Sardon Haji Jubir, Richard Lo, Tan Sri Wong Pau Nee dan lain-lain.

UB: Terima kasih OKK kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk temubual ini.

OKK AMIR: Terima kasih kembali.