Ahad, 6 Julai 2014

Ya, tak pernah kudendam padamu

Tags

Ya, tak pernah kudendam padamu

 

Sebenarnya banyak perkara yang mengganggu fikiran saya ketika sedang menulis ini. Walaupun saya gembira kerana pasukan kegemaran saya, Jerman mengalahkan Perancis di Estadio Maracana, Rio de Janiero melalui gol yang dijaringkan Mats Julian Hummels, pemain pertahanan Borussia Dortmund pada minit ke-13 dalam Perlawanan Piala Dunia 2014 tetapi saya dirundung kesedihan mengenangkan hal yang terjadi di sekeliling saya.

Bukan kerana Neymar tidak dapat bermain lagi dalam sisa perlawanan Piala Dunia kerana kecederaan meskipun Brazil berjaya mengalahkan Columbia 2-1 melalui Thiago Silva dan David Luiz. Bukan itu sebabnya.

Saya sebenarnya agak tersentak kerana kurang memahami rasional disebalik cadangan tidak membenarkan orang ramai memberi bantuan kepada kaum pengemis dan gelandangan di Bukit Bintang.

Mungkin kerana gelandangan memberikan imej buruk dan negatif kepada kebersihan di bandaraya tetapi saya fikir kita harus prihatin terhadap nasib mereka dan mengambil langkah menanganinya secara manusiawi.

Saya bersetuju dengan Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang meminta supaya Kementerian Wilayah Persekutuan mengkaji semula cadangan pelaksanaan tidak membenarkan pemberian bantuan kepada gelandangan.

"Kita perlu pertimbangkan mengenai nasib gelandangan ini berbanding kebersihan," kata Rahman. Bagi saya, selagi mereka tidak melakukan jenayah besar, kita harus lebih prihatin terhadap mereka., katanya.

Saya fikir, masalah gelandangan di bandar-bandar besar memang perlu ditangani secara bijaksana. Jika tidak ditangani sebaiknya, ia bukan saja memberi gangguan malah mengancam ketenteraman orang ramai. Kita rasa tidak selamat untuk melalui kawasan pinggir jalan atau jejambat di ibu kota. Di Kota Kinabalu juga, anak-anak gelandangan ini bukan saja mencemarkan imej bandaraya di mata pelancong malah menimbulkan kerisauan kepada kita sendiri.

Ada yang menjadi gelandangan tanpa semahu mereka. Mereka terpaksa merempat kerana kemiskinan dan tidak berdaya. Tetapi bagi saya, orang atau pihak yang ingin memberikan bantuan tidak sepatutnya dihalang.Malah NGo sepatutnya diberi kemudahan dan galakan untuk turut sama membantu menangani masalah ini.

Saya fikir,tindakan pihak berkuasa untuk menyaman pemberi wang kepada peminta sedekah dan menetapkan jarak minimum untuk keperluan dapur umum sejauh 2 kilometer dari pusat bandar adalah tindakan yang kurang bijak.

Itu antara yang mengganggu fikiran saya. Selain itu, saya juga berfikir tindakan sesetengah pihak atau individu mengeluarkan kenyataan yang menggores pihak lain, membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial seperti facebook perlulah dihindari. Ia boleh membangkitkan perasaan tidak senang dan memicu kemarahan apatahlagi jika kenyataan itu dibuat dengan niat yang serong.

Selain itu, saya juga agak sedih dan turut berduka kerana pemergian biduanita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar. Penyanyi berusia 61 tahun itu kembali ke rahmatullah di Damansara Specialist Centre sekitar jam 1.26 pagi kerana masalah kesesakan nafas. Beliau mula menyanyi pada tahun 1968 selepas menang Bintang Radio Televisyen Singapura dan selepas itu muncul dengan puluhan album yang menarik ramai peminat.

Pemergian Sharifah Aini adalah satu kehilangan besar kepada negara. Beliau seorang biduanita yang boleh dikatakan seorang tokoh yang hebat melalui lagu-lagunya.

Moga roh allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.Al-Fatihah.

Saya teringat satu lagu nyanyian beliau. Saya lupa tajuknya. Lagu itu agak menarik, kalau tidak silap bertajuk Nafasku yang Terakhir. Tetapi antara senikatanya yang saya paling suka ialah "kini saat yang terakhir,kupinta maaf kepadamu, jauh dari lubuk hatiku, tak pernah ku dendam padamu".

Ya, kupinta maaf kepadamu. Jauh dari lubuk hatiku, tak pernah ku dendam padamu.